ALENA bayang masyarakat Malaysia ‘tertutup’ tapi terkejut rakyat berbilang bangsa.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Meninggalkan tanah tumpah darahnya pada usia 23 tahun, Alena Zhdanava memutuskan untuk merantau bagi mengumpul pengalaman, pengetahuan dan kenangan.

Selepas empat kali berkunjung ke Malaysia, akhirnya wanita Belarus ini menoktahkan perjalanannya sementara di sini. Kerap mengembara dan bercuti ke destinasi pelancongan tempatan, Alena mengakui ia membuatkan dia lebih dekat dan selesa dengan gaya hidup di Malaysia.

1. Kali pertama anda berkunjung ke Malaysia dan tujuannya?

Kali pertama saya datang ke Malaysia pada Februari 2014 selama dua hari. Ketika itu, saya baru saja pulang dalam satu pengembaraan panjang sebelum menuju ke Vietnam kerana ditawarkan pekerjaan di sana. Apabila berada di Vietnam, saya memutuskan untuk menolak tawaran berkenaan dan datang semula ke Malaysia.

Bercuti selama sebulan di sini, seterusnya saya pulang ke Belarus. Dua bulan kemudian, saya datang lagi ke Malaysia mencari peluang melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah doktor falsafah (PhD). Malangnya, universiti memaklumkan kuliah hanya bermula pada hujung tahun.

Enggan membuang masa begitu saja, saya mendapat tawaran kursus di Australia selama tiga bulan. Pada September tahun sama, saya kembali ke Malaysia untuk pengajian dipohon tetapi secara tiba-tiba tawaran ditutup.

Bagi menampung kehidupan di sini, saya mula bekerja dan mengumpul wang untuk menyambung pengembaraan saya ke Amerika Selatan. Lepas setahun, akhirnya saya datang semula ke Malaysia. Terkini, saya akan melanjutkan pengajian PhD di Universiti Malaya.

2. Sejauh mana anda mengenali Malaysia sebelum ini?

Pada 2011, saya menetap di China kemudian berpindah ke Thailand. Menerusi iklan pelancongan Malaysia, ‘Malaysia Truly Asia’ menerusi televisyen, saya tertarik dengan keindahan alam semula jadi yang dipromosikan. Apa yang saya tahu, Malaysia negara Muslim tetapi saya terkejut sebaik menjejakkan kaki di sini.

Malaysia negara Islam tetapi dihuni pelbagai bangsa, agama, etnik dan budaya tersendiri. Permulaannya, saya berpendapat masyarakat di sini tertutup dengan gaya penampilan saya, rupanya wujud kebebasan juga.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Bagi saya, kebanyakan urusan di sini berjalan perlahan berbanding di Eropah. Lebih banyak masa diperlukan untuk menyelesaikan sesuatu perkara.

4. Pengalaman menarik sepanjang berada di Malaysia?

Mengembara adalah jiwa saya. Setiap masa lapang, saya akan bercuti dan melawat ke destinasi baru, pastinya saya fokus pada lokasi tempatan.

Saya sukakan alam semula jadi terutama Pulau Tioman. Saya juga kerap ke Pulau Langkawi kerana ia satu-satunya destinasi wajib kunjung buat keluarga serta rakan yang menziarahi saya di Malaysia. Selain itu, saya juga bercuti ke Pulau Pangkor, Melaka dan Georgetown, Pulau Pinang.

Tidak lama lagi seorang teman akan berkunjung kerana dia ingin menyaksikan perlumbaan Formula Satu terakhir di Malaysia. Saya akan menemaninya nanti. Selepas itu, saya akan membawanya bercuti ke Pulau Langkawi selama tiga hari.

5. Destinasi pilihan anda?

Pulau Perhentian, Ipoh, Melaka, Taman Negara dan Pulau Langkawi. Saya juga merancang untuk mendaki Gunung Kinabalu.

6. Sajian tempatan kegemaran anda?

Saya seorang vegetarian. Selalunya saya berkunjung ke restoran vegetarian. Selain laksa dan tomyam, saya juga menggemari roti canai, kuah dal dan tauhu.

7. Malaysia pada mata anda?

Saya tidak pernah bermasalah sepanjang berada di sini. Kemungkinan besar, saya berkali-kali pergi dan balik ke Malaysia sebelum ini kerana saya tidak mempunyai ‘hubungan’ dengan masyarakat tempatan. Kini, saya juga mempunyai teman lelaki dan kawan tempatan.

Mereka membawa saya ‘masuk’ dalam masyarakat Malaysia, jadi saya berasa lebih dekat dan selesa buat masa sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 3:10 AM