PENULIS bersama kapal PLTD Apung 1.
PERSEMBAHAN kebudayaan rakan siswi dari Universiti Ar-Raniry.
PAYUNG kanopi boleh dilaras disediakan di masjid.
BOT terapung.
Aman Shah Arbain
metahad@hmetro.com.my


Sudah lama saya impikan untuk berkunjung ke lokasi dikenali dengan Serambi Makkah, Aceh.

Jika sebelum ini khabar mahu pun Kota Banda itu hanya saya ketahui menerusi kisah tsunami yang melanda daerah itu sehingga mengorbankan 250,000 nyawa malah hingga hari ini ada antaranya masih tidak ditemui, rasa teruja tidak terungkap apabila berpeluang menjejak kaki ke lokasi itu.

Kesempatan diperoleh apabila menjadi sukarelawan program kemanusiaan bersama rakan dari Sekretariat Mahasiswa Fakulti Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknologi Mara Shah Alam baru-baru ini.

Seawal ketibaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, hati sudah ‘dijentik’ rasa kagum kerana lapangan utama bandar itu tersergam indah dengan unsur seni bina Islam.

Meskipun perjalanan kami menyampaikan sumbangan kemanusiaan di lokasi dipanggil Lhok Puuk di Pidie Jaya sudah memakan sehari selain slot bersama teman siswazah dari Universiti Ar-Raniry dan Universiti Syiah Kuala, kesempatan kami melawat sekitar Aceh tidak dinafikan apabila turut dibawa ke lokasi terkesan dengan tragedi tsunami.

Hari ketiga kami di sini, kami dibawa bersiar-siar di kawasan bot yang terapung di atas rumah akibat tsunami pada 2004 lalu. Kawasan ini bertempat di kampung Lampulo, Kuta Alam. Kedudukan kapal teguh terletak di bumbung tingkat dua rumah sedikit sebanyak memberi gambar betapa besarnya ombak laut ketika itu.

Malah menurut pemandu pelancong kami, ketika itu jarak lokasi kampung terbabit dengan laut tidak kurang dua kilometer. Di lokasi sama, beberapa gambar dipamerkan selain nama terkorban turut diabadikan untuk tatapan pengunjung.

Tidak cukup dengan itu, kami turut dibawa ke lokasi kapal PLTD Apung 1, kapal generator elektrik milik PLN di Banda Aceh yang dijadikan wisata. Kapal seberat 2.6 tan ini dihanyutkan semasa tsunami sejauh tiga kilometer ke daratan.

Melihat kapal besar itu tersadai di tengah kampung membayangkan betapa besarnya ombak mahupun gelora tsunami ketika itu. Dalam kapal itu ada simulasi bagaimana kapal berkenaan tersadai dan akhirnya menjadi galeri untuk dilawat pengunjung sehingga hari ini.

Rasanya kunjungan kami tidak lengkap andainya tidak menjejak kaki ke Masjid Raya Baiturrahman. Rasa kagum melihat masjid tersergam indah itu turut dipenuhi dengan jemaah dari pelbagai pelosok kota mahupun luar Aceh berpusu-pusu mengambil kesempatan menunaikan solat di sini.

Malah ketika kunjungan kami bagi menunaikan solat Zuhur, masjid berkenaan turut dalam proses penambahbaikan bagi menambah payung yang boleh dilaras bagi kemudahan jemaah. Banyak kisah ajaib atau dalam erti kata lain kebesaran-Nya ditunjukkan ketika insiden bencana itu.

Setiap kali saya mahupun ahli rombongan singgah di masjid, kami sering diberitahu oleh jemaah mahupun imam bahawa ketika gempa mahupun tsunami berlaku, bangunan yang terpelihara mahupun tidak mengalami kerosakan hebat ialah masjid. Malah boleh dikatakan masjid menjadi pusat pelindungan bagi kebanyakan penduduk ketika itu selain bukit mahupun gunung. Tidak lupa fakta lain mengenai masjid terbabit ialah ia pernah dibakar Belanda pada 1873.

Eksplorasi kami diteruskan dengan melawat Muzium Ulee Lheue yang memperkenalkan sejarah masyarakat Aceh seperti rumah, barang mahupun pahlawan Aceh cukup digeruni oleh penjajah satu ketika dulu.

Malah satu menarik mengenai Aceh ialah sebalik kesantunan serta kemuliaan tinggi diberikan pada wanita Aceh, ada juga panglima melawan penjajah dipimpin oleh golongan itu. Malah satu kisah dikongsikan oleh pegawai muzium itu ialah kisah Cut Nyak Dien. Dia berperang di sisi suaminya Tueku Umar sehingga menjadi janda. Meskipun kehilangan suami dan bepisah dengan anak, tokoh wanita itu tidak berhenti hinggalah melarat dan hidup di hutan selama enam tahun.

Selain melawat lokasi sejarah, semestinya waktu paling menggembirakan ialah berpeluang merasai hidangan di sekitar bandar ini. Nasi Acheh ialah hidangan nasi campur bersama gulai kari dan pilihan lauk juga pada kadar sangat berpatutan.

Kalau kembali ke Malaysia, semestinya hidangan kari kepala ikan merah mencecah belasan mahupun puluhan ringgit. Tetapi di sini hidangan terbabit dapat dinikmati bawah RM10 lengkap bersama air dan lauk pauk lain.

Selain itu saya dan rakan sempat menikmati hidangan warung Wong Solo atau itik goreng. Tidak cukup dengan itu peluang merasai pelbagai makanan tepi jalan seperti sate ikan, sate, roti bakar dan bakso semestinya pengalaman mengujakan kerana harga murah dan rasanya enak.

Sebelum bergerak pulang, kesempatan mengunjungi ke Masjid Rahmatullah serta menikmati keindahan dengan pantai pasir putih serta laut biru kehijauan dilengkapi bukit berbatu menjadikan lokasi ini sesuai untuk mereka peminat laut.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 1:26 AM