HANALLUNA hasil rekaan padanan busana dan celana ringkas.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Penampilan anggun, cantik dan menarik tidak seharusnya dititikberatkan ketika menghadiri majlis formal saja, sebaliknya persona harian turut diselitkan elemen yang sama.

Mengambil idea personaliti menarik setiap hari, jenama Hanalluna fokus menghasilkan rekaan padanan busana dan celana ringkas dan santai namun kekal elegan.

Pemilik dan pereka Hanalluna, Husna Mustaffa berkata, koleksi Hanalluna disifatkan pelengkap gaya harian buat wanita yang ingin tampil menarik tetapi tidak ‘keterlaluan’ dalam berfesyen.

Label Hanalluna fokus pada rekaan blaus dan celana menggunakan material selesa seperti kapas poliester dan ‘poly crepe’, manakala bagi rekaan eksklusif sempena perayaan, aksesori seperti renda, kulit dan hablur Swarovski.

Terbaru, koleksi Laila memperkenalkan kombinasi potongan labuh di bahagian belakang dan pendek di hadapan yang memberi efek tubuh langsing dan tinggi.

Gabungan bersama celana Nuna mengambil inspirasi kain belah tengah membuatkan pemakai lebih menonjol.

Terkenal juga dengan konsep suai dan padan, blaus Naina diperbuat daripada fabrik satin disempurnakan dengan perincian buluan tiruan dan taburan Swarovski di bahagian siku.

Blaus Naina tampak lebih menyerlah apabila ia dipadankan bersama palazo Muna yang memiliki ‘ruffle’ di sebelah kiri.

Menyuntik elemen reben bagi rekaan blaus Soraya dan celana Lana, kombinasi ini menyerlahkan gaya santai pemakai. Rekaan blaus Tania pula mengambil konsep kardigan dan tali di bahagian pinggang bertindak sebagai aksesori membuatkan wanita nampak lebih langsing.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 September 2017 @ 1:22 AM