PENULIS memberi makan kepada zirafah di Santuari Zirafah Nairobi.
BURUNG UNTA antara binatang yang boleh ditemui di Taman Negara Nairobi.
SEKUMPULAN antelop dan kuda belang bebas bergerak di Taman Negara Nairobi.
SEKAWAN singa berehat di Taman Negara Nairobi.
NORADZIMAH bersama Pengarah Urusan EZ Group, Ustaz Azhar Ab Shukur menyertai tarian sambutan oleh etnik Masai di hadapan Taman Negara Nairobi.
PENULIS bersama Noradzimah dan Ustaz Azhar di tugu peringatan gading gajah.
Mohd Firdaus Ibrahim
firdaus_ibrahim@hmetro.com.my


Bayangkan ketika menaiki trak, van atau kenderaan pacuan empat roda (4x4), anda dihampiri sekumpulan singa? Bayangkan anda bergerak di kawasan denai berlumpur, tiba-tiba bertempiaran lari sekumpulan rusa yang menyelamatkan diri daripada seekor cheetah?

Ini bukan cerita fiksyen atau fantasi dalam siri Animal Planet yang kita tonton menerusi siaran televisyen sebaliknya pengalaman dilalui sendiri penulis ketika berkunjung ke Taman Negara Nairobi, Kenya tajaan EZ Kembara Sdn Bhd, baru-baru ini.

Dimajukan di kawasan seluas 73 kilometer persegi, Taman Negara Nairobi menjanjikan kepuasan buat pengunjung yang berminat menyelami kehidupan dunia haiwan dari dekat. Dengan bayaran masuk AS$43 (RM180) untuk dewasa dan AS$22 (RM92) bagi kanak-kanak, ia pengalaman perlu dialami sendiri oleh sesiapa sahaja yang menjejakkan kaki di negara berkenaan.

Taman Negara Nairobi hanya terletak kurang 40 minit perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Jomo Kenyatta, ia pasti pengembaraan berbaloi walaupun pengunjung mempunyai masa terhad di negara berkenaan. Malah, setiap pengunjung akan disambut dengan tarian oleh sekumpulan Orang Asli etnik Masai di hadapan taman berkenaan.

Untuk rekod, sekurang-kurangnya ada 400 spesies burung di kawasan berkenaan selain 100 spesies mamalia. Antara tarikan terbesar Taman Negara Nairobi ialah zirafah, singa, harimau kumbang, babun, badak sumbu, kuda belang, rusa dan banyak lagi.

Bagi mereka yang berminat ke Nairobi, penulis cadangkan Julai dan Ogos kerana musim sejuk dan cuaca dingin 15 hingga 18 darjah Celsius pada waktu pagi dan 20 hingga 24 darjah Celsius pada tengah hari. Pada dua bulan ini, apabila cuaca dingin kita kurang berpeluh dan haiwan akan keluar serta bergerak ke tempat terbuka.

Penulis gembira kerana pada sesi melawat Taman Negara Nairobi, berpeluang melihat pasangan singa, kawanan zirafah, rusa dan pelbagai spesies hidupan liar termasuk burung yang hanya dapat ditemui di benua Afrika.

“Haiwan dipelihara dan dijaga bagaikan sebahagian keluarga manusia,” kata James, pemandu pelancong menggambarkan keadaan sebenar di Kenya yang mempunyai banyak taman seperti Taman Negara Nairobi.

Menurutnya, selain lawatan sedemikian, taman berkenaan juga menyediakan lokasi perkhemahan buat penggemar hidupan liar yang mahu merasai suasana malam bersama hidupan liar.

“Dari segi keselamatan jangan risau, anda akan dijaga renjer di kawasan perkhemahan itu,” katanya.

Sekadar berkongsi pengalaman, mana-mana pengunjung yang masuk ke Taman Negara Nairobi tidak perlu risau terlepas kelibat haiwan liar di kawasan berkenaan kerana pemandu pelancong akan berkomunikasi sesama mereka untuk mengetahui di kawasan mana haiwan tertentu muncul.

Empat jam meluangkan masa ‘menjarah’ kawasan taman berkenaan penulis terasa bagaikan sekejap kerana terpesona dengan spesies haiwan liar yang mendiami Taman Negara Nairobi.

Dari segi keselamatan, pengunjung tidak perlu risau kerana kawalan penuh dilakukan renjer yang menjaga kawasan berkenaan. Bukan saja berperanan melindungi pengunjung, mereka (renjer) juga bertanggungjawab menjaga semua spesies di taman berkenaan daripada diganggu manusia.

Bagi mereka yang berminat untuk ‘bermesra’ dengan zirafah, tidak jauh dari Taman Negara Nairobi terletak Santuari Zirafah Nairobi yang mana setiap pengunjung berkesempatan memberi makanan kepada binatang berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Urusan EZ Kembara Sdn Bhd, Noradzimah Hasanuddin berkata, lawatan ke Taman Negara Nairobi hanya satu daripada pakej pelancongan yang disediakan pihaknya.

Menurutnya, fokus utama EZ Kembara yang ditubuhkan pada 21 Julai 2011 itu adalah badal haji, percutian dalam dan luar negara, pelancongan khas (berkumpulan), program bakti siswa, program prihatin ummah dan program kembara korban.

“Kita di EZ Kembara tidak bergantung pada pakej tetap ditawarkan sebaliknya berupaya merancang perjalanan khas ke mana-mana negara yang mahu dikunjungi pelanggan.

“Pelanggan boleh menentukan negara mana mahu dikunjungi dan kita akan uruskan semua urusan seperti visa dan tiket penerbangan serta penginapan,” katanya.

Noradzimah berkata, penubuhan EZ Kembara sebenarnya bermula apabila wujud permintaan tinggi daripada peserta program korban yang mahu menyaksikan sendiri ibadah korban dilakukan di negara bergolak, miskin dan minoriti Islam seperti Bangladesh, Myanmar, Kemboja, Chad, Kenya, Mali, Somalia, Palestin, Indonesia, Thailand, Filipina, Laos, India, Sri Lanka, Ivory Coast, Maghribi dan Nigeria bersesuaian dengan tagline ‘Langkahmu Ibadah, Bertaut Ukhwah’.

“Mereka yang berminat boleh melayari laman web EZ Kembara di www.ezkembara.com bagi mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:14 AM