MENGGUNAKAN tiub tayar dialas jaring dan diikat tali panjang untuk menyeberangi laut.
GONZALES berpaut pada tali untuk menyeberangi laut.
GALVEZ mengikis permukaan batu menggunakan pencungkil.
BAJA guano kaya dengan nutrien.
GONZALES dan Rodriguez mengangkat beg dipenuhi guano.
BEG dipenuhi guano dikumpul di satu kawasan sebelum dibawa ke kedai untuk dijual.
Agensi

Juan Carlos Galvez bersama dua rakannya, Antonio Gonzales dan Manuel Rodriguez, mencari rezeki sebagai pengumpul guano - najis kering burung laut yang menjadi buruan petani untuk digunakan sebagai baja .

Tiga rakan itu menghabiskan seharian mengembara di sepanjang pantai Lautan Pasifik menaiki kereta buruk mencari batu putih di tepi pantai malah ada kalanya turut pergi ke kepulauan kecil berhampiran tanah besar.

Namun, untuk sampai ke pulau kecil itu, mereka perlu menunggu sehingga laut tenang sebelum menyeberanginya menggunakan tiub tayar yang dialas jaring dan diikat tali panjang.

Tiga rakan itu dengan teliti mengikis najis berkenaan menggunakan pencungkil yang besar dan tajam. Setiap seorang mampu mengumpul antara lima hingga 15 beg sehari bergantung kepada permukaan batu yang dipilih.

Lokasi batu ditemui juga mempengaruhi betapa cepat mereka mampu ‘membersihkannya’. Tempoh diperlukan tidak menentu - antara seminggu hingga beberapa bulan.

Semakin sukar tempat itu dijejaki, semakin lama masa diambil, terutama jika terpaksa menunggu masa sesuai untuk menyeberang laut.

Menurut Galvez, satu beg seberat 25 kilogram dijual dengan harga 7,000 Peso Chile (RM42). Hasil jualan itu kemudian dikongsi sama rata mengikut bilangan hari mereka bekerja.

Setiap kali satu kawasan siap dikikis, mereka perlu menunggu enam bulan lagi untuk memastikan ia sekali lagi dipenuhi najis. Dalam masa itu mereka akan berpindah ke kawasan lain.

Pekerjaan mereka bukanlah mudah, malah ada kalanya berbahaya.

Mengumpul najis burung laut adalah kesalahan jenayah di Chile kerana dianggap mengganggu habitat semula jadi burung laut.

Jika ditangkap, segala hasil titik peluh mereka sia-sia kerana semua najis itu pasti dirampas atau dibuang ke laut.

Sebaliknya, walaupun risiko ditangkap lebih rendah semakin terpencil tempat mereka mencari guano, ia membahayakan nyawa mereka.

Ada pengumpul guano mati lemas ketika menyeberang laut atau terjatuh ketika memanjat batu besar akibat permukaan licin.

Malangnya, kematian seumpama itu tidak dilaporkan kerana melakukan pekerjaan haram di sisi undang-undang.

Bagaimanapun, Galvez dan rakannya tetap gigih mengumpul guano kerana itu satu-satunya punca rezeki mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:06 AM