PINTU masuk ke kaki Gunung Baling.
ANTARA trek mencabar kerana akar banir berselirat.
MENGALAS perut selepas mendaki.
MERAKAM gambar dengan pemandangan menakjubkan.
MERAKAM kenangan di puncak gunung.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Gunung Baling di Kedah berketinggian 420 meter dari aras laut antara tarikan pendaki yang mahukan laluan lebih santai mahupun sekadar memanaskan badan.

Justeru, bagi AdventureHolic Hikers disertai dua pendaki lelaki dan empat perempuan, mereka tidak mensasarkan pendakian sehari suntuk, sebaliknya sekitar dua hingga tiga jam untuk naik dan turun.

Bagaimanapun, Ketua Program Mohd Arshad Abdullah tidak memandang mudah pendakian itu, sebaliknya masih menitikberatkan bekalan penting antaranya makanan ringan serta kit ubat-ubatan bagi memastikan perjalanan mereka lancar.

Kata Arshad, tidak dinafikan pendaki yang terdiri daripada pendaki berpengalaman tetapi setiap daripada mereka tidak menolak destinasi itu mempunyai cabaran tersendiri.

“Mendaki Gunung Baling tidaklah sesukar Gunung G7 kerana ketinggiannya tidak melebihi 500 meter dan sehari sudah memadai untuk menyempurnakan pendakian. Namun, rendah mana pun gunung, kami masih menitikberatkan keselamatan kerana ini kali pertama kami mendakinya.

“Seperti biasa persiapan dilakukan membuat kajian mengenai gunung termasuk bentuk muka bumi dan ‘pitstop’ atau pusat sehenti yang ada. Boleh menggunakan sumber menerusi Internet atau bertanya pada rakan pendaki mahupun malim gunung yang pernah mendaki gunung ini.

“Biasanya seminggu sudah memadai untuk merancang termasuklah tempahan penginapan kerana kumpulan kami tidak tinggal di daerah ini,” katanya.

Arshad yang juga Pegawai Bomba menyifatkan persiapan lengkap mengurangkan kadar insiden membabitkan sukan lasak.

“Bukan jasmani dan persiapan pakaian saja perlu ada, pendaki baru terutamanya harus penuhkan dada dengan ilmu keselamatan dan ‘survival’ (ikhtiar hidup). Saya sendiri sentiasa berkongsi ilmu keselamatan atau kebombaan bersama rakan pendaki. Mereka belajar mengenai ikatan mahupun menolong pendaki cedera.

“Boleh dikatakan aktiviti seperti mendaki bukit dan merentas hutan, mereka perlu bersedia dengan ubat-ubatan serta pengetahuan,” katanya.

Melalui ekspedisi ini juga, kata Arshad, kumpulannya membantu pendaki cedera akibat terseliuh ketika pulang dari puncak.

Pendaki perempuan, Nor Liyana Satar berkata, cabaran trek Gunung Baling adalah laluan licin dan berbatu yang memungkinkan risiko tergelincir dan terseliuh.

“Gunung Baling kategori ‘limestone outcrops’ atau batu kapur. Puncaknya terdiri batu kapur dan hablur. Kebetulan malam sebelum kami mendaki, hujan turun menyebabkan jalan lebih licin.

“Kami mengambil masa lebih sejam mendaki disebabkan faktor itu. Selain itu batuan rapuh berhampiran puncak menyukarkan pergerakan pendaki. Kami hanya perlu mengatur kaki dengan berhati-hati mengelak terjatuh mahupun menggelongsor,” katanya.

Mengenai peralatan mendaki, kata eksekutif swasta itu, tiada peralatan teknikal diperlukan dan hanya mengenakan pakaian sesuai serta ‘first-aid’ bekalan dalam misi pendakian kali ini.

“Persiapan kali ini lebih ringkas kerana ia hanya sehari dan tidak memerlukan saya membawa muatan untuk bermalam.

“Bagi saya, memadai persiapan dengan senaman ringkas selain joging agar stamina konsisten,” katanya yang pernah menawan puncak Rinjani di Lombok, Indonesia.

Rakannya, Jafarina Jaafar berkata, Gunung Baling mempunyai pesona tersendiri apabila diliputi pokok menghijau sekali gus memberi ketenangan.

“Perasaan di hutan ini lain rasanya kerana tiada bunyi enjin, tiada kesesakan dan tiada kesibukan. Apa yang ada ialah keindahan, kehijauan serta udara segar membuatkan tekanan atau stres hilang. Penggiat seperti saya rasanya boleh ‘demam’ kalau sebulan tidak jumpa gunung.

“Seminggu pun kalau tidak memanjat bukit atau lakukan aktiviti rentas, rasanya boleh lembik. Selain itu faktor ingin luangkan masa dengan kawan juga penyebab saya dan rakan terjebak. Menerusi aktiviti ini kita dapat mengenali sikap sebenar kenalan kita.

“Alhamdulillah, sepanjang mendaki bersama dengan kenalan dalam AdventureHolic Hikers, kami sepakat dan tidak pernah meninggalkan antara satu sama lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:04 AM