PENGALAMAN diceritakan anggota veteran VAT69 diharap akan dibukukan.
PENERANGAN mengenai beg yang biasa digunakan anggota.
TERDAPAT juga jualan barangan.
SEMANGAT peserta cilik mengibarkan Jalur Gemilang.
PEMENANG menerima hadiah.
BERSAMA peserta cilik.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@yahoo.com.my


Pendekatan berbeza MK Holdings Berhad dalam meraikan bulan kemerdekaan menerusi Santai Merdeka membabitkan Veteran VAT69 Komando. Program berlangsung di tapak Residensi Suasana @ Damai, Damansara Damai ini membawa tema ‘The Unsung Hero’ ternyata memberi kesempatan kepada bekas anggota pasukan itu berkongsi pengalaman mereka ketika memerangi komunis dalam memastikan keamanan serta kesejahteraan negara.

Bermula jam 10 pagi, Santai Merdeka turut menampilkan pelbagai pengisian antaranya tayangan video pendek sejarah dan perjuangan VAT69 komando selain memberi peluang kepada orang ramai beramah-mesra dengan pejuang berkenaan.

Pengurus Besar Kanan MK Land, Mustafa Kamal Hawari berkata, tarikan program kali ini pastinya pengalaman dikongsi bekas anggota VAT69 mengenai perjuangan mereka yang tidak pernah diceritakan dalam sejarah sebelum ini.

“Penganjuran program ini bersempena sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-60 sebagai tanda MK Land menghargai jasa-jasa pejuang yang sanggup menyabung nyawa atas nama keamanan.

“Pasukan berkenaan ditubuhkan sejak 1969 itu bagi memerangi petualang negara terutamanya gerila komunis ketika itu yang menggugat tampuk kepimpinan negara, selain mengancam keselamatan awam.

“Penganjuran ini disifatkan satu kerjasama tanggungjawab sosial kerana kami menyediakan platform kepada pejuang berkongsi pengalaman pertempuran mereka, salah satunya Operasi Indera Khas 1980.

“Bagi orang awam pula, ini kesempatan mereka mendekati dan mengetahui maklumat langsung berkenaan peristiwa sejarah mahupun kisah pertempuran satu ketika dulu.

“Malah dalam acara sama, orang ramai menyaksikan 15 anggota berkenaan hadir bersama pakaian komando, selain melihat sendiri barang dan keperluan VAT69 ketika mereka dalam operasi,” katanya yang penganjuran berbentuk karnival itu julung kali diadakan bersama pasukan yang berdaftar di bawah Koperasi Veteran dan Anggota VAT69 Perak.

Kongsi pengalaman peribadi

Pengerusi Koperasi Veteran dan Anggota VAT 69 Perak, A Rahim Tukiman menyifatkan penyertaan dalam program komuniti begini dapat menaikkan imej pasukan selain memberi pemahaman kepada orang awam.

“Dalam program Santai Merdeka ini, ia satu kerjasama baik membabitkan korporat bersama persatuan mahupun koperasi membabitkan anggota keselamatan.

“Bagi kami veteran VAT69, meskipun program ini hanyalah santai tetapi peluang diberikan sangatlah besar kerana memberi ruang berkongsi pengalaman serta cerita yang jarang didendangkan kepada masyarakat umum mahupun catatan sejarah.

“Kalau diikutkan ramai lagi anggota pernah berkhidmat dalam VAT69 banyak berjasa tidak pernah diperdengarkan cerita mereka dan seakan-akan pengorbanan mereka disisihkan.

“Hakikatnya mereka antara anggota gigih bertempur dan tidak pernah mengejar imbalan, berjuang atas nama negara.

“Harapan saya, kisah kami dan rakan dapat dikongsi dan didengar biarpun dalam majlis santai kerana medium terhad seperti ini rasanya lebih ramai boleh mendengar mengenai perjuangan kami.

“Tidak lupa kami kongsikan pengalaman menerusi aktiviti seperti pemasangan khemah, resin iaitu pek makanan khas, hammock dan demonstrasi ringkas mengenai survival dalam hutan,” katanya yang juga pernah berkhidmat sebagai jurulatih pasukan itu lebih sedekad.

Pedoman generasi muda

Sementara itu, ahli veteran VAT69, Abd Rahim Baharum berkata, program sebegini penting buat generasi mengenali pejuangan pernah ditaburkan anggota keselamatan satu ketika dulu.

“Bukan wang ringgit mahupun pingat dikejar tetapi mahu ingatan generasi muda mengenai pentingnya mereka mengenang jasa generasi terdahulu.

“Kalau dikenang kesusahan dan kesukaran kerana ada antara rakan saya kenali terkorban ketika pertempuran, keamanan serta bagi kesatuan perlulah dijaga mengelak ancaman pastinya menggugat ketenteraman umum.

“Bukan mudah, dulu kami anggota semuanya ‘hati kering’ dan menyertai pasukan khas ini demi negara. Bukan imbuhan kami harap tetapi saya sendiri menawarkan diri menyertai VAT 69 kerana mahu berjuang,” katanya.

Pendapat itu disokong rakannya, Bosetamam Ali menyimpan harapan lebih banyak kisah anggota akan dicatat atau dibukukan bagi rujukan generasi muda.

“Program ini salah satu daripadanya saluran veteran VAT69 ada untuk kami uar-uarkan kisah perjuangan kami. Bukan tujuan mendabik dada sebaliknya sebagai pedoman betapa keamanan dulunya diperoleh dengan cagaran keringat dan darah pejuang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:02 AM