RASHIDI membuat pelepasan pulang peserta ke garisan permulaan.
RASHIDI mengalu-alukan kedatangan peserta yang berhenti untuk menikmati juadah di rumahnya.
GELAGAT peserta sekitar kayuhan.
ANTARA peserta yang berjaya menamatkan kayuhan.
SUMBANGAN basikal kepada anak yatim dan yang kurang berkemampuan.
Noor Hidayah Tanzizi
metahad@hmetro.com.my


Berkayuh secara santai beramai-ramai tidak kira dekat mahupun jauh, pasti meninggalkan pengalaman riadah paling menggembirakan. Kayuhan santai boleh dianggap detik paling menyeronokkan dalam arena berbasikal apabila peserta tidak perlu mengerah tenaga untuk membuktikan keupayaan diri.

Dek keseronokan itulah, seramai 250 peminat sukan berbasikal menyertai Jom Kayuh Komuniti Manjung 2017 baru-baru ini. Kayuhan anjuran Kelab Berbasikal Manjung Perak (KBM) dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung, Majlis Perbandaran Manjung (MPM), pejabat Belia dan Sukan daerah Manjung dan Pejabat Daerah dan Tanah Manjung membabitkan jarak 17 kilometer (km).

Acara pelepasan disempurnakan Timbalan Ketua Polis Daerah Manjung Deputi Superintendan Chong Bhoo Khim pada jam 7.45 pagi di pekarangan IPD Manjung, Seri Manjung. Dalam kayuhan itu, peserta dibawa ke rumah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang Datuk Rashidi Ibrahim dengan kejutan pelbagai menu untuk sarapan sebelum berpatah balik ke tapak pelepasan. Rashidi juga melakukan pelepasan kedua di rumahnya di Kampung Pasir Panjang.

Presiden KBM Shahrul Nazmie Sharudin berkata, kayuhan itu tidak hanya mengumpulkan peserta dewasa, ia turut menarik minat anak kecil.

Menurutnya, memilih kayuhan yang tidak jauh adalah untuk menggalakkan ibu bapa berkayuh secara santai bersama anak yang dapat membudayakan gaya hidup sihat.

“Selain itu, kayuhan juga bersempena sambutan kemerdekaan serta Hari Malaysia untuk menyemarakkan semangat kenegaraan kepada semua komuniti di sini.

“Secara tidak langsung kayuhan komuniti ini dapat memperkenalkan kelab kami kepada warga Manjung dan menarik minat mereka menyertai sukan berbasikal,” katanya.

Shahrul Nazmie berkata, pengalaman menarik kayuhan itu apabila Rashidi menawarkan pekarangan rumahnya sebagai ‘water station’ dengan membuat kejutan menyambut ketibaan dengan menyediakan sarapan untuk peserta dan kru.

“Tidak hanya mengeratkan perpaduan dalam kalangan komuniti kayuhan ini juga memberi peluang kepada peserta beramah mesra dan mendekati pemimpim tempatan dengan lebih dekat. Jika dilihat melalui aspek jarak diakui kayuhan ini tiada cabaran yang ekstrem, namun apa yang penting matlamat kayuhan santai ini berjaya dicapai.

“Pastinya pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini menjadi riadah yang mengasyikkan,” katanya.

Menurut Shahrul Nazmie, program juga menyaksikan pemberian sumbangan lima basikal daripada sebuah syarikat kepada anak yatim yang terpilih di sekitar daerah ini.

Peserta, Riduan Ismail, 38, berkata, biarpun kayuhan tidak jauh dan tiada cabaran khusus, itu bukan pengukur untuk mereka ‘enjoy’ kerana sesekali memerlukan kayuhan secara santai.

“Peminat sukan berbasikal pasti menggemari cabaran yang menguji kelasakan dan kelajuan, namun kayuhan santai juga antara detik menyeronokkan kerana ia lebih menenangkan. Kayuhan seperti ini adalah jalan pembuka kepada mereka yang baru berjinak-jinak dengan aktiviti berbasikal dan ia bagus untuk menarik minat mereka dalam sukan ini,” katanya.

Menurutnya, lebih menarik program juga disertai peniaga ‘car boot sale’ yang menjual pelbagai barang termasuk peralatan berbasikal bagi pertambahan ekonomi penduduk setempat.

Peserta Mohamad Sharil Salihan, 35, dari pasukan berbasikal MPM, berkata kayuhan itu memberinya peluang mengenali dunia basikal memandangkan dia masih baru dalam aktiviti itu.

“Bagi mereka yang sudah biasa mungkin tiada cabaran dalam kayuhan ini, namun ia sangat mencabar bagi saya kerana perlu mengawal stamina dan cara kayuhan yang betul biarpun jaraknya dekat.

“Aktiviti seperti ini berkait rapat dengan kerjaya saya yang terbabit dalam komuniti supaya kami kakitangan pihak berkuasa tempatan (PBT) jelas dengan kehendak masyarakat dalam menyemarakkan perpaduan dan integrasi kaum,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 September 2017 @ 12:01 AM