SESI latihan sebelum ke lokasi sukar.
TREK licin selepas hujan.
HATI-HATI menuruni bukit.
BERGILIR-GILIR menuruni bukit.
PEMAKAIAN topi dan kasut wajib ketika mengendalikan ATV.
SUNGAI antara perlu diharungi peserta.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Penulis nyaris terbalik sewaktu menunggang motosikal beroda empat yang dikenali dengan ‘all-terrain vehicle’ atau ringkasnya ATV ketika mendaki bukit curam belukar berhampiran Nur Laman Bestari, Sungai Tua, Gombak.

Secara normal berhadapan detik paling mendebarkan itu pasti berasa serik, namun tidak bagi penulis yang ditemani jurufoto Mohd Khairul Helmy Mohd Din, berasa detik cemas itu suatu perkara menarik dan mengujakan sepanjang lapan kilometer menyusuri trek berkenaan.

Biarpun pernah menyertai aktiviti sama di lokasi lain, trek ATV disediakan pihak Nur Lembah Bestari tidak membosankan, sebaliknya satu lokasi wajar dikunjungi peminat sukan permotoran lasak.

Dalam ekspedisi kali ini disertai sembilan penunggang yang bukan saja meredah denai sempit, malah lereng curam selain sungai berbatu nyata menguji kemampuan pengendalian motosikal besar itu.

Pada awal tunggangan, taklimat ringkas ketua jurulatih Khairul Azhar Ahmad mengenai keselamatan begitu dititikberatkan termasuklah pantang larang menunggang iaitu larangan menurunkan kaki.

Kata Khairul Azhar, kecederaan boleh berlaku andai penunggang mengambil remeh arahan jurulatih ataupun jurupandu.

“Penting untuk penunggang mematuhi peraturan keselamatan iaitu mengenakan pakaian sesuai termasuk kasut dan baju sukan, selain aksesori lain seperti topi keselamatan atau helmet.

“Aksesori lain sarung tangan dan keperluan pihak kru termasuklah penyediaan ubat-ubatan serta bekalan minuman.

“Kami ada kru yang membawa keperluan teknikal antaranya peralatan membaiki, parang sehinggalah mesin gergaji andai terdapat keperluan memotong pokok tumbang. Semua aspek ini penting apabila membawa kumpulan penunggang ATV dalam hutan,” katanya yang turut dibantu pengurus teknikal Nava Suyitno Suparno dalam ekspedisi kali ini.

Peserta dari Gombak, Nur Hanisah Yahya mengakui laluan kali ini paling mencabar dan sukar.

“Sebenarnya selalu juga menunggang ATV tetapi laluan lebih santai. Jalan atau laluan bagi ekspedisi kali ini jauh dan mempunyai begitu banyak halangan mendaki serta menuruni bukit.

“Kalau sekadar turun di laluan kering tidak mengapa tetapi cabarannya ialah untuk melintas cerun ini terdapat sungai yang berbatu yang menyukarkan penunggang mengendalikan dengan lancar.

“Malah, cerun didaki juga tidak lurus, sebaliknya berselekoh dan terletak di lereng bukit memerlukan kami penunggang sentiasa berwaspada mengelak ATV terbalik atau terbabas,” katanya.

Sementara itu, rakannya, Nurafdzal Syazwan Mohamad Nasir pula berkata, pengalaman tersangkut mahupun terbalik dan sebagainya itu sudah menjadi asam garam buat penggemar sukan lasak itu.

“Pernah juga melalui pengalaman terbalik mahupun ATV tersangkut. Tetapi kebaikannya semua saling membantu dan bekerjasama.

“Ada faktor lain membuatkan aktiviti ini lebih mencabar iaitu keadaan trek selepas hujan membuatkan jalan bertambah curam dan licin. Secara tidak langsung lebih lama masa diambil untuk keluar iaitu dari tiga jam boleh memakan masa sehingga lima jam.

“Bagi saya tiada pula istilah sesal dan takut sebaliknya cabaran itu membuatkan aktiviti ini bertambah menarik dan mengujakan,” katanya menyimpan impian untuk mencuba aktiviti berkenaan di lokasi empat musim pula.

Sementara itu, Pengarah Urusan Nur Adventure Services Sdn Bhd Faizal Mohamed Hassan Mokhtar menyifatkan kedudukan resort eco berkenaan berhampiran sungai dan hutan memberi kelebihan kepada pihaknya menawarkan aktiviti itu kepada peminat sukan ekstrem.

“Biasanya kami menyediakan program luar seperti merentas hutan, memanjat dinding buatan, ‘flying fox’ dan aktiviti perkhemahan baik pelajar mahupun korporat. Dengan adanya ATV ini, satu lagi servis atau produk kami tawarkan buat peminat sukan permotoran berkunjung ke resort kami.

“Tambah pula lokasi kami berhampiran pusat bandar semestinya satu kelebihan dan ketika ini kapasiti kami kumpulan kecil iaitu tiga hingga empat orang dalam satu masa. Maksimum kurang daripada lapan orang kerana ketika ini kami mempunyai lapan ATV berkuasa 150cc dan dua 200cc bagi tujuan logistik serta teknikal.

“Waktu ialah sekitar jam 8 pagi hingga jam 5 petang bergantung pada permintaan pelanggan. Malah, terdapat pilihan jarak tertentu mengikut tahap kesukaran dan ada juga edisi Fun Ride untuk mereka berkeluarga.

“Perancangan pihak Nur Adventure ialah mewujudkan satu lagi pusat ATV iaitu di Sepang dan latar berbeza kerana ia menyajikan pemandangan berbukit. Mereka boleh menunggang ATV sampai puncak kemudian menikmati pemandangan dari atas.

“Kita berhasrat untuk menambah bilangan ATV selain memantapkan lagi servis dari segi trek. Malah sebenarnya kami mewujudkan aktiviti ini di resort eco atas permintaan pelanggan yang mahu merasai cabaran menunggang ATV,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 10:35 AM