GELAGAT peserta yang bersedia untuk pelepasan kayuhan.
ANTARA peserta kanak-kanak yang turut sama berkayuh.
PELAJAR tahfiz menyambut mesra kehadiran peserta.
GELAGAT peserta yang mengambil juadah sahur.
NOOR Azam Aziz menyampaikan pek kotak rezeki kepada pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Aziz.
PESERTA merakamkan gambar kenangan bersama penghuni Madrasah Tahfiz Al-Aziz.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Menjalankan aktiviti berbasikal sambil beramal sudah menjadi antara acara tetap bagi kebanyakan peminat sukan berbasikal.

Peluang beramal itu diteruskan apabila 70 peminat sukan berbasikal tanpa mengira usia memanfaatkan kemuliaan Ramadan lalu menyertai Kayuhan Amal Madrasah Al-Aziz, di Kajang, Selangor.

Diadakan pada hari ke-22 Ramadan, kayuhan anjuran GSA Event Management itu sejauh 12 kilometer.

Biarpun diadakan sebelum Subuh, semangat peserta dipuji apabila kebanyakannya sudah sedia menunggu di kawasan pelepasan iaitu di padang Desa Seri Jenaris sejak jam 2 pagi lagi.

Sebaik dilepaskan pada jam 2.30 pagi diiringi pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), peserta tidak mengambil masa lama sampai ke penamat biarpun turut disertai kanak-kanak.

Tidak sampai 30 minit berkayuh sejauh lima kilometer disapa kedinginan malam, kehadiran peserta disambut mesra 35 pelajar tahfiz Madrasah Tahfiz Al-Aziz yang sedia menunggu.

Wajah ceria pelajar yang menerima kunjungan 70 peserta ini bukan sekadar melenyapkan rasa mengantuk sebaliknya turut menghangatkan suasana.

Wakil penganjur, Muhammad Nizam Mustapa Yahya berkata, kayuhan amal itu menjadi aktiviti tetap yang dilaksanakan mereka setiap Ramadan.

Katanya, penganjuran itu masuk tahun ketiga dan matlamatnya meraikan insan kurang bernasib baik serta yang memerlukan bantuan.

“Setiap tahun, lokasi dan penerima sumbangan ini kita tukar. Untuk tahun ini kita memilih Madrasah Tahfiz Al-Aziz.

“Kami berjaya menyerahkan sumbangan bernilai RM2,000 kepada pengurusan Madrasah Tahfiz Al-Aziz dan berharap membantu mengurangkan beban yang ditanggung mereka,” katanya.

Muhammad Nizam berkata, antara barangan diserahkan adalah beras, gula, minyak masak, tepung dan garam hasil sumbangan peserta serta syarikat swasta iaitu Kumpulan Litrak dan YZ Gym and Fitness.

Menerusi kayuhan itu juga, katanya sebanyak 20 pek #HMKotakRezeki2017 disumbangkan kepada pusat tahfiz berkenaan yang disampaikan oleh Pengarang Gen Y Harian Metro, Noor Azam Aziz.

Pek kotak rezeki itu mengandungi barangan keperluan seperti minyak masak, beras, tepung dan gula.

Sebagai meraikan pelajar serta pengurusan sekolah tahfiz itu, peserta turut bersahur bersama-sama sebelum mereka meneruskan semula kayuhan ke kawasan pelepasan sejauh 7 kilometer yang tamat sekitar jam 5.30 pagi.

“Sebenarnya, harapan kita bukan saja mahu beramal, sebaliknya mengharapkan agar aktiviti berbasikal ini terus aktif biarpun pada Ramadan dan tanda sokongan kepada aktiviti berbasikal. Ada pendapat menyatakan bila Ramadan saja, maka terhadlah aktiviti mereka.

“Jadi, penganjuran ini diharap dapat memberi peluang mereka merasai nikmat berkayuh dalam bulan Ramadan dan sekaligus dapat melaksanakan amal kebajikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Julai 2017 @ 10:20 AM