BENGKEL Cosplay menarik peserta dalam kalangan warga kampus.
RUANG aktiviti mewarna batik.
PAMERAN menarik peminat seni.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Pengamal perubatan didedahkan dengan ciri holistik serta pelbagai kebolehan yang membolehkan mereka bukan saja mengubati aspek fizikal malah merawat emosi pesakit.

Bersandarkan alasan itu pihak pengurusan Universiti Perubatan Antarabangsa atau International Medical University (IMU) berasa penganjuran festival seni dinamakan IMU Festival Art membantu pelajarnya menguasai cabang lain selain sains perubatan.

Menerusi festival itu pelajar dapat mengekspresi bakat selain mengetahui kaedah lain membantu meningkatkan kemahiran mereka apabila tamat belajar kelak.

Program sehari itu bukan saja menarik pelajar malah pihak pengurusan IMU serta orang awam bagi memeriahkan pelbagai program membabitkan seni persembahan mahupun hasil kerja kreatif.

Terbuka bersama pihak luar

Pengerusi Program, Dr Sheba D Manil berkata, tahun ini penganjuran festival seni itu berlainan kerana diadakan secara terbuka bersama pihak luar.

“Setiap tahun kami akan mengadakan IMU Festival Art sebagai platform pelajar untuk menampilkan bakat selain ekspresi minat mereka terhadap cabang bidang berbeza dengan yang dipelajari.

“Biasanya kami adakan secara tertutup dan hanya mengehadkan penyertaan dalam kalangan pelajar mahupun warga IMU.

“Tetapi tahun ini kami buka penyertaan awam serta bekerjasama dengan badan kebajikan terpilih seperti Rumah Titian Kasih serta Dignity For Children Laut Education Centre.

“Pentingnya bakal pengamal perubatan atau pelajar kami berinteraksi dengan pihak luar menerusi kaedah serta ‘setting’ berbeza.

“Secara tidak langsung memberi nilai tambah kepada kemahiran mereka contohnya penggunaan seni sebagai terapi atau ruang interaksi bersama klien mereka satu hari nanti,” katanya.

Dr Sheba berkata, dalam program itu 10 bengkel ditawarkan selain 12 gerai pameran dengan pelbagai aktiviti berasaskan seni.

Tingkat kemahiran pelajar

Wakil pelajar IMU Thin Shang Yu, berkata, pengalaman sebagai sukarelawan serta menyertai secara langsung dalam karnival seni seperti ini membantu dia lebih relaks selepas sibuk dengan jadual belajar.

“Saya turut membuat persembahan boneka untuk pengunjung. Maklum balas saya terima terutama kanak-kanak daripada rumah kebajikan terpilih menyatakan mereka terhibur dengan persembahan.

“Bagi saya ia memberi gambaran kepada situasi lain atau tugas lain yang boleh saya main apabila berada pada lapangan kerja nanti. Dalam sudut lain ia membantu mengurangkan tekanan belajar.

“Kami pelajar perubatan bukan semata-mata belajar mengenai anatomi atau penyakit mahupun ubat malah perlu ada kemahiran lain yang dapat meningkatkan kualiti hidup klien.

“Seni antara medium boleh diguna pakai kerana dari segi konteks sosio serta emosi juga elemen penting berkait dengan kesihatan seseorang. Kesimpulannya kami perlukan pengalaman ini dan berharap lebih ramai lagi dapat manfaat daripada program festival seni ini,” katanya.

Platform perkenal seni tradisi

Sementara itu pencanting batik, Zakaria Idris menyifatkan festival seperti ini membantu artis batik mahupun penggiat industri seni sepertinya berkembang dengan baik dalam kalangan generasi muda.

“Saya banyak terbabit dengan pelbagai jenis program baik pameran korporat, sebagai pengajar mahupun menyertai festival sebegini. Pastinya masing-masing mempunyai kebaikan tersendiri.

“Kalau dalam aktiviti sebegini, saya dapat memperkenalkan seni batik serta mendorong mereka untuk menyukai lukisan batik itu sendiri.

“Mereka dapat merasai sendiri peluang mewarna serta belajar mengenai teknik betul membabitkan batik. Terutama dalam universiti ini yang mempunyai ramai pelajar antarabangsa, semestinya dapat mengangkat serta mempromosi seni warisan tradisi ini,” katanya.

Dia berharap lebih banyak institusi pengajian tinggi mengambil inisiatif berkolaborasi bersama penggiat seni sepertinya supaya generasi muda dapat mengenali serta menghargai seni warisan bangsa.

Dalam karnival itu selain Zakaria, beberapa kolektif seni lain antaranya KL Sketch Nation, Origami Academy, Nomadica Art Space, Japan and I Dance Studio, Big Nose Productions dan ramai lagi memeriahkan karnival terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:58 PM