HIMPUNAN peserta GFNY yang melalui salah satu pekan lama di Perak.
BARISAN pelumba GFNY terdiri daripada pelumba profesional dan amatur.
Farah Suhaidah Othman
metahad@hmetro.com.my


Siri maraton lumba berbasikal bertaraf antarabangsa, Gran Fondo New York (GFNY) di Ipoh, Perak berlangsung penuh debaran apabila rata-rata peserta menunjukkan aksi terbaik menawan jalan raya di bandar itu.

Biarpun dipecahkan kepada dua kategori iaitu 90 kilometer (km) dan 160 km, persaingan sengit dapat dilihat sepanjang perlumbaan, biarpun ada peserta terpaksa bersaing dengan pelumba berpengalaman serta bertaraf profesional.

Ini dapat dilihat apabila sebaik peserta melalui laluan lurus serta menuruni bukit, mereka cuba memintas peserta lain dan mewujudkan aksi kejar mengejar yang cukup dramatik.

Disertai 400 pelumba termasuk dari luar negara, GFNY di Ipoh satu venue perlumbaan dalam siri jelajah GFNY yang berakhir di New York, Amerika Syarikat (AS).

Anjuran Destination Perak, sukan lumba basikal bertaraf antarabangsa itu juga sebagai simbolik pembukaan program Ipoh Cycle Fest 2017.

Menggunakan slogan ‘Be A Pro For A Day’, GFNY memberi pengalaman berbasikal umpama atlet berbasikal profesional dalam acara sukan antarabangsa itu.

Seramai kira-kira 400 peminat sukan berbasikal dari 21 negara menyertai GFNY Malaysia bagi merebut tempat untuk menyertai kemuncak acara GFNY di New York.

Ketua Eksekutif Destination Perak, Abdul Raheem Muhamad yang diberi tanggungjawab menganjurkan sukan berbasikal di negara ini berkata, acara perlumbaan itu adalah satu daripada 14 siri jelajah yang diadakan di beberapa negara termasuk Indonesia, Mexico, Argentina, Itali dan Brazil.

Menurutnya, acara yang diadakan di bandar ini disertai penggemar acara berbasikal tempatandan dari negara jiran yang mahu mengalami sendiri kejohanan bertaraf antarabangsa itu.

“Menariknya dalam acara GFNY Malaysia ini, peserta dibawa menjelajah beberapa lokasi menarik sekitar Perak termasuk Manjung, Gopeng dan Hutan Simpan Royal Belum sebelum perlumbaan bermula.

“Bagi peserta yang tidak pernah ketinggalan menyertai semua siri jelajah GFNY di beberapa negara sebelum ini, mereka berpeluang mengutip mata sekali gus layak beraksi di acara kemuncak di New York sekiranya berjaya meraih mata tertinggi dalam keseluruhan siri jelajah,” katanya.

Seorang peserta orang kurang upaya (OKU), Chuah Yey Lay, 58, berkata, minat mendalam dalam sukan berbasikal sejak di bangku sekolah tidak pernah padam meskipun kakinya terpaksa dipotong berikutan me­ngalami kemalangan pada usianya 30 tahun.

Dia yang kini menggunakan ‘kaki besi’ meneruskan kemaraannya hingga ke garisan penamat sejauh 160 km meskipun mengalami kesukaran ketika mendaki bukit.

“Saya menyertai acara berbasikal sejak usia 16 tahun malah pernah mewakili Perak ketika zaman sekolah dulu, jadi cuaca panas atau cabaran yang datang perkara biasa dalam perlumbaan.

“GFNY suatu acara yang bagus kerana membabitkan peserta dari pelbagai negara dan secara tidak langsung saya dapat bertukar-tukar pendapat dengan rakan baru dari negara asing,” katanya.

Sementara itu, peserta dari Jerman yang kini menetap di Singapura, Stefan Ansorge, 47, berkata, dia terpaksa mengerah tenaga hingga ke tahap maksimum dalam keadaan cuaca yang panas.

“Saya difahamkan perjalanan mengambil jarak 160 km saja tetapi tambahan enam kilometer, namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk teruskan perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:49 PM