ALLA belajar dengan menonton drama setiap minggu ketika masih menetap di Moscow.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Berwajah eksotik dan fasih berbahasa Melayu membuatkan penulis tertarik untuk berbual dengan wanita berasal dari Moscow, Russia ini.

Menurut Alla Pavlenko, kekerapan menonton filem Melayu yang ditayangkan setiap Sabtu di televisyen Russia bersama sarikata membuatkannya fasih berbahasa kebangsaan.

Bukan sekadar bertutur, membaca serta menulis, bahkan wanita berusia 39 tahun ini sudah sebati dengan kehidupan masyarakat Melayu.

1. Kali pertama menjejakkan kaki di Malaysia dan tujuannya?

Saya berkenalan dengan seorang lelaki Melayu berasal dari negara ini, hubungan ini membawa kami ke ikatan perkahwinan.

Selepas menerima restu daripada kedua-dua keluarga, kami melangsungkan perkahwinan di Russia sebelum pulang ke Malaysia, pada 2003. Kini saya memiliki empat anak dan saya bertuah kerana memiliki keluarga mentua yang sangat mesra.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum berada di sini?

Sewaktu berkawan

dengan suami,tidak banyak cerita dikongsikannya mengenai Malaysia. Apa yang saya tahu, Malaysia negara yang sentiasa panas dan menjadi pilihan pelancong yang menggemari musim panas.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Sebenarnya sepanjang berada di sini, saya tidak mempunyai apa-apa masalah kerana suami dan keluarga mentua sentiasa berada di sisi untuk membantu.

4. Memori menarik sepanjang berada di Malaysia?

Memiliki empat zuriat dan hubungan rapat dengan keluarga mentua adalah pengalaman yang sangat menarik buat saya.

Keluarga suami dapat menerima kehadiran saya dengan hati terbuka malah sentiasa membantu sekiranya saya berdepan dengan masalah.

Saya bersyukur apabila rakyat Malaysia sangat baik hati, peramah dan mesra malah bertutur dengan suara yang lembut. Ini jauh berbeza dengan masyarakat saya di Russia.

Berkahwin dengan lelaki berbeza warganegara sebenarnya perkara yang menarik kerana wujudnya pertukaran bahasa, budaya dan gaya hidup.

Anak saya dididik dengan bahasa Melayu oleh suami manakala saya pula bertutur dalam bahasa Russia dengan mereka. Sekurang-kurangnya mereka mempunyai pendedahan budaya Malaysia dan Russia.

5. Destinasi pilihan anda?

Pulau Langkawi.

6. Sajian tempatan pilihan anda?

Saya sangat menyukai kari tetapi saya belum mahir menyajikannya kecuali menggunakan pes.

7. Malaysia pada mata anda?

Bagi saya, Malaysia sentiasa hidup 24 jam dan tidak pernah mati.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:45 PM