PELBAGAI pilihan menu di Restoran Barra.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Kedai mamak bukan sekadar lokasi untuk ‘pekena’ teh tarik mahupun roti canai semata-mata, sebaliknya ia menjadi ‘port’ lepak mahupun bersantai bersama rakan. Tidak mengira usia, ‘trend’ atau konsep restoran ini sering dikaitkan dengan layanan pantas serta pilihan roti mahupun masakan dihidang panas, membuatkan ia sering dikunjungi pelanggan.

Tidak hairanlah Pengarah Restoran Barra Mohamad Isa Mohammad Noh memilih konsep kedai makan berkenaan sebagai konsep restorannya di Bandar Baru Bangi Selangor.

Kata Isa, meskipun sebahagian menu Restoran Barra seperti kedai mamak, namun segi rasa mahupun kualiti persembahan ada kelainannya.

“Sebelum memulakan perniagaan makanan saya sering menghabiskan masa bertemu rakan di kedai mamak. Melihat betapa popularnya kedai mamak setiap masa dipenuhi pelanggan, saya ‘ceduk’ konsep itu dan praktiskan di Restoran Barra sejak 2010.

“Lokasi pertama ialah Seksyen 7, Shah Alam kerana tumpuan pelajar. Kemudian dua tahun lalu kami berpindah ke Bandar Baru Bangi apabila melihat lokasi serta permintaan di sini jauh lebih baik selain kawasan ini turut popular sebagai ‘hab’ makanan,” katanya.

Kata Isa lagi, Restoran Barra bukan saja popular dalam kalangan belia malah digemari pelanggan yang datang bersama keluarga.

“Kami turut dikunjungi pelanggan datang bersama keluarga kerana pilihan menu pelbagai disediakan selain harga berpatutan. Malah ada pelanggan memberi maklum balas mereka berpuas hati dengan saiz hidangan setiap menu disajikan.

“Selain itu pilihan hidangan ala carte kami tawarkan cukup istimewa, antaranya nasi goreng ayam mahupun nasi goreng daging sering dipesan pelanggan berkunjung ke restoran kami. Malah kami turut mempunyai hidangan bermusim seperti nasi beriani ayam mahupun kambing yang hanya disajikan pada hari Jumaat.

“Meskipun sudah berpindah, ada pelanggan lama datang ke lokasi baru semata-mata untuk menikmati hidangan nasi goreng istimewa ini. Menu pelbagai dengan senarai lebih 50 pilihan membuatkan pelanggan tidak pernah jemu berkunjung ke Barra,” katanya.

Selain menu ala carte, hidangan roti nan cheese bersama ayam tandoori mahupun roti canai banjir telur kampung semestinya menggamit perhatian peminat menu terbabit apatah lagi dinikmati bersama teh tarik.

Restoran berkenaan turut beroperasi 24 jam mampu memuatkan sehingga 50 hingga ke 100 pelanggan dalam satu masa.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:42 PM