CUACA cerah menarik ramai pengunjung ke Keukenhof.
SUASANA tenang dan mengasyikkan di Zaanse Schans.
Zulkifli Ibrahim
zulkiflibrahim@hmetro.com.my


Rombongan kami masih dalam rangka lawatan ke kawasan tanah rendah Belanda. Tidak sampai 30 minit perjalanan bas dari Vollendam terletak pula perkampungan Zaanse Schans. Kali pertama terdengar ia disebut ketua rombongan, penulis terfikir, “Apa, kita mahu pergi kampung Genghis Khan?”

Di situ kita boleh lihat satu lagi kehebatan kejuruteraan Belanda (sebenarnya bukan satu tetapi tujuh yang nampak pada mata penulis). Kincir angin gergasi yang menjadi lambang kemegahan negara itu. Gambaran awal kincir angin yang diingat penulis adalah sebesar kuku jari yang tertera pada label tin susu pekat popular di negara kita.

Kini apabila di depan mata, barulah tahu ia setinggi bangunan empat tingkat tidak termasuk empat bilah kipas yang setiap satunya sebesar sayap kapal terbang.

Zaanse Schans adalah muzium terbuka di tepi Sungai Zaan, dalam perbandaran Zaandam. Ia adalah perkampungan tradisional dipenuhi rumah kayu comel pelbagai rupa yang dipulihara.

Ia contoh terbaik bagi memahami masyarakat lama negara berkenaan. Semua rumah dan kedai di sini berumur lebih 100 tahun dan dibawa ke sini dari kawasan lain di Belanda. Tentulah ada yang sudah mereput dan mahu runtuh tetapi dicabut, dibaiki dan dibina semula di sini.

Ada juga yang diangkut sebuah-sebuah menggunakan lori atau feri. Yang penting, bentuk rupa dan seni binanya terpelihara. Mungkin juga rumah-rumah ini masih didiami kerana kelihatan ramai kanak-kanak dan remaja bermain-main dan berbasikal ke sana sini.

Banyak juga kedai menjual cenderahati aneh, kedai roti, restoran dan kilang-kilang kecil mengadakan demonstrasi cara membuat keju, coklat, biskut, clog serta pertukangan kayu dan besi.

Semua itu contoh perusahaan kecil yang membangunkan Belanda pada abad ke-19. Namun, kerana kesuntukan masa, kami tidak dapat hendak meninjau keseluruhan Zaanse Schans yang luas ini.

Ramai daripada rombongan kami berjalan-jalan sambil merakam gambar kenangan di sana sini dan tidak kurang juga menyewa basikal.

Bagi penulis, cukup sekadar minum coklat panas di luar kedai sambil mata tertumpu pada sekumpulan itik berenang-renang dan terbang di sungai sementara dalam benak fikiran, terbayang betapa sibuknya penduduk di sini lebih 100 tahun lalu. Namun kini, persekitarannya tenang dan sungguh mengasyikkan.

Berselirat di celah-celah bangunan rumah, bangsal ternakan dan ladang, boleh kita lihat terusan kecil dan besar, banyak bot kecil dan besar, sesetengahnya berenjin, berlayar dan juga berpendayung. Kalau ada banyak masa, boleh menaiki bot sewa memudik Sungai Zaan.

Di beberapa tempat strategik kelihatan kincir angin gergasi seolah-olah penjaga yang memerhatikan keadaan di sekeliling. Semua kincir angin berkenaan diselenggara rapi dan masih berfungsi dengan baik. Semua kincir ini bukti betapa efisiennya penduduk Belanda zaman dahulu.

Mereka meraih tenaga semula jadi yang bukan sahaja bersih, malah percuma iaitu angin kencang yang tidak henti supaya melakukan tugas paling penting iaitu mengangkut air laut yang melimpah ke terusan dan mengalirkannya semula ke laut.

Ini bagi mengelakkan malapetaka banjir yang boleh merosakkan tanah tebus guna di kawasan berkenaan. Harus diingat kawasan itu bawah aras laut dan andai banjir melanda, punahlah kehidupan di sini.

Mungkin elok bagi kita mengambil iktibar berikutan fenomena air laut pasang besar yang makin kerap berlaku di negara kita.

Namun demikian, kincir angin bukanlah tumpuan utama bagi sesetengah anggota rombongan kami. Memanglah kincir angin simbol istimewa Belanda tetapi ujar mereka, apa guna datang pada musim bunga kalau tak pergi tengok bunga! Kerana itu, kunjungan ke Keukenhof menduduki tempat utama itinerari lawatan kami.

Keukenhof adalah taman bunga tulip berhampiran bandar Lisse dan setiap tahun, dari pertengahan Mac hingga pertengahan Mei, ia adalah pasar bunga terbesar Eropah. Bila sebut pasar terbesar, ia memang menggemparkan baik dari segi kualiti mahupun kuantiti. Ia medan pertemuan pembekal dan pengedar seluruh Eropah membabitkan jual beli bunga berkoyan-koyan.

Begitupun, dengan bayaran 16 Euro (RM79.60) orang ramai boleh masuk ke Keukenhof dan melihat pameran, menikmati pemandangan dan menggunakan semua kemudahan di dalamnya. Paling mengujakan, bergambar sepuas-puasnya di dalam taman indah seluas 32 hektar ini.

Ratusan spesies dan varian pohon bunga ditanam tersusun dengan menarik di beberapa lot kecil dengan seni landskap indah. Rombongan kami datang pada pertengahan April yang dikatakan tempoh terbaik kerana kuntum tulip sedang mekar pada waktu berkenaan.

Kami tiba di Keukenhof pada awal pagi, ketika tubuh masih menggigil terkena angin dingin tetapi di hadapan pintu masuk ke taman itu sudah sesak dengan orang ramai yang berkumpul sebaik dibuka jam 8 pagi.

Meskipun sesak, pengunjung beratur penuh disiplin untuk masuk. Ramai yang datang berkeluarga, banyak juga rombongan pelajar sekolah dan kumpulan golongan OKU. Mujur ada lorong khas untuk pelawat OKU dan warga emas, semuanya masuk berkerusi roda yang boleh disewa.

Yang datang berkeluarga terus ke beberapa lokasi berkelah, yang berpasangan menuju beberapa bangku di tepi tasik dan terusan, kanak-kanak pula berkejaran ke taman permainan dan ‘petting zoo’.

Tidak kurang juga yang lebih gemar berjalan-jalan menghirup udara pagi yang segar kerana sungguhpun suasana dingin, matahari sudah naik dan bersinar terang.

Ada juga pengunjung serius, terutama golongan pencinta bunga. Mereka asyik melihat bunga umpama pengkritik lukisan meneliti karya seni agung. Lokasi tumpuan mereka di Keukenhof adalah beberapa pavilion dan kanopi besar yang menempatkan spesies bunga tertentu dan bertema.

Golongan serius kedua adalah ‘shutterbug’ bersama kamera canggih masing-masing. Sebaik masuk mereka terus mencari subjek kegemaran di merata-rata. Bagi kita, pengunjung santai yang cuma berbekalkan kamera telefon bimbit, pasti enggan ketinggalan. Halakan sahaja telefon ke segenap arah, pusing kiri dan petik, pusing kanan dan petik, dan sebelum melangkah ke depan, sempat petik lagi. Lepas swafoto di sana sini, lekas-lekas ‘edit’ untuk dipaparkan pada laman sosial masing-masing. Maklumlah, sekitar Keukenhof ada Wi-Fi percuma.

Dalam keghairahan petik-memetik di Keukenhof, jangan pula timbul keinginan memetik bunga tercantik di sini. Andai teringin memiliki kuntuman bunga, ia ada dijual di pondok tertentu. Kalau suka, benih dan tunas pun boleh dibeli tetapi tidak mungkin bunga iklim sederhana boleh hidup di rantau tropika.

Oleh yang demikian, memadailah dengan foto-foto aksi bermain dengan bunga dibawa pulang sebagai kenangan manis penuh warna-warni di bumi Nederland.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Julai 2017 @ 12:37 PM