PELABUHAN nelayan Vollendam kini marina bot persendirian.
DERETAN kafe dan restoran di pekan tepi laut Vollendam.
LALUAN dibina di atas dijk untuk kenderaan lalu-lalang.
DIJK memisahkan tanah tebus guna dengan laut yang lebih tinggi arasnya.
TUGU nelayan menanti pengunjung pekan ditepi
PETUGAS di bahagian jualan sedia membantu pengunjung.
HANS menerangkan perihal clog sebelum menunjukkan cara pembuatannya.
PELBAGAI jenis keju untuk dijual.
Zulkifli Ibrahim
zulkiflibrahim@hmetro.com.my


Belanda negara unik. Andai ia diibaratkan manusia, ia pasti bertubuh kecil dan kerdil. Keluasannya besar sedikit berbanding Pahang dan kebanyakannya kawasan rendah, malahan ada yang bawah aras laut. Rakyat negara itu menggelar tanah air mereka Nederland yang makna mudahnya ‘tanah rendah’.

Betapa rendahnya tanah yang dimaksudkan dapat saya lihat dalam kunjungan bersama rombongan pelancong ke Vollendam, baru-baru ini. Letaknya tidak jauh dari ibu kota Belanda, Amsterdam, tetapi bezanya ialah Vollendam adalah kawasan penempatan dan perladangan yang tenang.

Kehebatan bandar ini dapat kita rasai andai kita faham makna namanya. Amsterdam bermakna ‘ampangan di Sungai Amstel’ manakala Rotterdam bersempena ‘ampangan di Sungai Rotte’ tetapi kita tidak akan bertemu Sungai Vollen kerana Vollendam bermakna ‘ampangan sudah terisi (tanah)’.

Benar sekali apa yang kita nampak di Vollendam segala-galanya adalah tanah laut yang ditebus guna ratusan tahun lalu. Ia asalnya perkampungan nelayan dan pelabuhan bagi bandar Edam (jika ingin tahu, Sungai E memang wujud). Apabila pelabuhan lebih besar dan maju dibina berhampiran Edam, kawasan sekitar pelabuhan lama ditebus guna dan dibina tambak besar (dijk atau dyke) bagi memisahkannya dengan laut.

Dijk di situ cukup lebar bagi memuatkan dua lorong kereta lalu-lalang dan cukup kukuh dibina kedai dan restoran kayu di atasnya.

Tatkala bersiar-siar di atas dijk sambil memerhatikan laut dan burung camar mencari makan di kiri dan di kanan pula bumbung rumah dan tanah ladang, penulis teringat kisah popular mengenai dijk yang diceritakan guru ketika di sekolah. Ia mengenai seorang budak Belanda yang diraikan sebagai wira selepas menyelamatkan kampungnya daripada banjir.

Sedang budak lelaki itu berjalan kaki di atas dijk untuk ke sekolah, dia ternampak lelehan air pada rekahan di dinding tambak itu. Dia tahu rekahan itu boleh membesar menyebabkan lebih banyak air laut mengalir melaluinya hingga dinding tanah pecah dan dijk akan runtuh. Menyedari akibatnya kampung itu akan banjir, budak itu menyumbatkan tangannya ke lubang berkenaan dan air laut pun berhenti mengalir.

Begitupun, oleh kerana tiada siapa yang lalu di situ, terpaksalah budak itu melekapkan tangannya berjam-jam sambil menahan sejuk dan lapar. Menjelang senja barulah kehilangan budak itu disedari dan orang kampung beramai-ramai mencarinya. Sudah tentulah mereka menemuinya dan budak itu seterusnya dijulang sebagai wira yang berani dan berhati waja.

Penulis sempat bertanya pada seorang peniaga di atas dijk mengenai kisah berkenaan, adakah benar atau sekadar dongeng rakyat? Peniaga itu tergelak dan berkata, memang ramai pelancong asing bertanya perkara sama. Menurutnya, kesudahan cerita memang betul tetapi permulaannya tidak begitu. Kata peniaga berusia itu lagi, budak yang dianggap wira itu sebenarnya nakal dan suka ponteng sekolah.

“Suatu hari budak itu sudah terlewat dan kerana takut dimarahi guru, dia memasukkan tangannya ke dalam rekahan supaya, andai ditanya kenapa dia lambat, dia boleh menjawab dan memberi alasan tangannya terlekat dalam lumpur dijk,” kata peniaga itu.

Penulis terpinga-pinga mendengar penjelasan terbaru itu. Peniaga itu makin kuat ketawanya apabila melihat raut wajah penulis yang keliru. Kalau begitu sebenarnya, apakah yang terlalu lucu hingga peniaga itu tertawa berdekah-dekah? Peniaga itu terus meminta maaf dan mengatakan, dia cuma bergurau.

Katanya, setiap kali pelancong bertanya kisah itu, begitulah jawapan diberi penduduk setempat. Lama-kelamaan temberang itu menjadi ‘sempurna’.

Hakikatnya, jelas peniaga itu, kejadian itu tidak pernah berlaku dan bukan kisah rakyat tempatan. Ia adalah nukilan novelis Amerika dan dipopularkan media negara berkenaan ke seluruh dunia termasuk diceritakan kepada kanak-kanak Belanda. Namun demikian, mereka tidak tersinggung sebaliknya berbangga kisah berkenaan popular ke seluruh dunia.

Ia mempunyai pengajaran baik iaitu semua masalah besar bermula dengan masalah kecil dan semua penduduk tidak kira tua atau muda, sama-sama bertanggungjawab mengangani masalah sebelum ia menjadi tidak terkawal dan mengancam orang ramai.

Giliran penulis pula ketawa mendengar penjelasan peniaga berkenaan, lalu kami berpisah dalam suasana ceria. Penulis meneruskan langkah meninjau deretan kedai di atas dijk sambil minda bercelaru ‘memproses’ maklumat terbaru diberikan. Kerana jelas kawasan berkenaan tumpuan pelancong asing, kebanyakan kedai sama ada menjual kemeja-T dan cenderamata atau restoran menyajikan makanan laut.

Kerana kesuntukan masa, penulis membeli cuma sebungkus ‘fish and chips’ untuk dimakan sambil berkejar menyertai rombongan yang bersedia untuk ke lokasi lain.

Berbeza dengan deretan kedai kayu tradisional di atas dijk, rumah kediaman di sekitar Vollendam kebanyakannya moden dan tampak hebat dengan kereta mewah di tempat parkir. Namun, kawasan mewah Vollendam hanya di pesisiran pantai. Jika kita bergerak sedikit ke pedalaman, pemandangannya terus berubah kerana kita memasuki kawasan perladangan.

Tanahnya rata dan lapang, dan dari tingkap bas, kelihatan tak ubah seperti sawah bendang di Kedah dan Kelantan sewaktu musim menyemai. Tanaman di tanah lembek dan berbecak di sini adalah trafoil dan alfalfa, bukan bijirin makanan ruji, sebaliknya rumput untuk lembu atau lebih dikenali sebagai ‘cowgrass.’

Memang keseluruhan Vollendam adalah padang ragut buat perusahaan tenusu dan sumber pendapatan penduduk yang dulunya perikanan kini adalah penghasilan susu dan keju. Kilang keju boleh dilihat merata-rata umpama bengkel kereta di tepi jalan raya. Kerana itu apabila tiba di sini, kunjungan ke kilang keju adalah agenda wajib rombongan kami di Vollendam.

Kebanyakan kilang keju di sini memberikan ceramah percuma, mengingatkan saya sewaktu melawat kilang teh di Beijing dan kilang ginseng di Seoul. Di kilang keju berkenaan, ahli rombongan kami dipelawa masuk ke satu ruang yang penuh dengan keju selain beberapa bangku panjang.

Selepas semua duduk diam di bangku, seorang wanita naik ke pentas kecil untuk berceramah.

Umumnya keju adalah susu yang dibiarkan mengering lama dalam persekitaran udara kering. Sambil wanita tadi bercakap dalam bahasa Inggeris, boleh dilihat di belakangnya sebuah bilik dengan ratusan butir keju tersusun di atas banyak pangkin. Wanita tadi menerangkan mutu keju ditentukan dengan tempoh berapa lama ia ‘diudarakan’.

“Makin lama lagi bagus, tetapi kalau terlalu lama ia boleh menjadi bola boling,” kata wanita itu lalu ketawa sambil menggolekkan sebutir keju sebesar biji kelapa ke dinding. Penulis yang duduk di bangku belakang terdengar dentuman kuat, tetapi wanita itu dengan selamba mengutip keju itu dan menunjukkannya kepada hadirin.

“Lihat, tak rosak sedikitpun, tetapi terpulanglah kalau mahu memakannya atau tidak!” ujar wanita itu dan hadirin ketawa melihat gelagatnya. Lepas kira-kira 15 minit acara umpama ‘show and tell’ itu selesai dan kami dibawa pula ke tempat lain bagi melihat demonstrasi membuat clog, yakni sepatu kayu orang Belanda seperti terompah.

Bilik gelap itu tidak ubah bagai bengkel kecil dengan beberapa mesin memotong dan melarik kayu, beberapa bilah besi macam parang dan kacip manakala pada dinding tepinya tersusun ratusan clog kasar di atas para-para dan di lantai pula bersepah serpihan kayu. Andai tiada beberapa barisan kerusi untuk pengunjung, memang kami tidak ingin singgah untuk melihat di dalamnya.

Seorang lelaki berusia tampil, memperkenalkan dirinya sebagai Hans. Dia menerangkan dia adalah pembuat clog dan sudah berbuat demikian sejak remaja. Melihatkan rupanya, ini mungkin bermakna 50 tahun.

Dengan seketul kayu poplar di tangannya, Hans terus melangkah ke alat yang tampak macam parang tertambat di hujungnya.

“Ini cara lama membuat clog. Kita potong dulu kayu menjadi bentuk yang kita mahu,” kata Hans sambil mengerat hujung kayu berkenaan. Selepas beberapa kali kerat sambil memusing-musingkan kayu, akhirnya ia berbentuk macam sampan mainan.

“Seterusnya kita korek lubang untuk ruang dimasukkan kaki,” katanya, terus mencapai satu alat panjang yang pangkalnya bagai gerudi dan hujungnya macam sudu. Hans memacakkannya ke kayu dan mengetuknya macam mengetuk pahat. Selepas beberapa kali, dia memulas alat berkenaan dan mengorek keluar serpihan-serpihan kecil dari dalam kayu itu.

“Bagaimanapun, bila tiba zaman perindustrian, banyak mesin dicipta bagi memudahkan kerja membuat clog. Mesin yang ada ini sudah lama, umurnya berpuluh-puluh tahun,” ujar Hans sambil menunjukkan satu mesin di situ.

“Tapi masih banyak diguna walaupun sudah ada mesin lebih bagus.”

Hans menerangkan mesin itu umpama pendua. Dia ambil satu clog yang sudah siap dan memasangnya pada mesin dan di sebelahnya ditambat seketul kayu. Dia pun mula bekerja sambil mesin bising berdesing, dan serpihan kayu melayang merata-rata. Seminit kemudian dia menunjukkan hasil kerjanya, seketul clog sudah terbentuk.

Dengan itu usai sesi demonstrasi dan semua penonton keluar bengkel untuk ke ruang jualan. Di ruang jualan terpamer ratusan clog aneka rupa dan saiz. Harganya pula tidaklah semurah yang dibayangkan Hans.

Dari ruangan clog bersambung pula dengan ruang menjual keju. Di sini juga dijual jus buah dan biskut serta disediakan tempat bagi menjamah sampel keju dan merasa minuman berkenaan. Ruang seterusnya menempatkan pelbagai barang cenderamata daripada kayu, tembikar dan fabrik yang mungkin hasil kraftangan masyarakat tempatan.

Patutlah diberi demonstrasi percuma, rupanya kemudian harus membeli. Bagaimanapun, ramai ahli rombongan tidak melepaskan peluang membawa pulang sesuatu sebagai kenangan menjejaki tanah bawah aras laut ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:33 AM