CERIA kanak-kanak membuat persembahan.
PERSEMBAHAN oleh William.
BERBAKAT meskipun masih muda.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Bunyi petikan alat muzik menyerupai gitar ketika menyampaikan lagu Selamat Hari Raya cukup menyenangkan sehingga pengunjung di galeri Canary Garden Klang turut serta menyanyi dan mengiringi persembahan itu.

Biarpun saiz alat muzik itu lebih ‘genit’ berbanding gitar, ukulele mempunyai dentingan cukup kuat kerana berupaya memukau pengunjung Festival Ukulele 2017, baru-baru ini. Malah tidak puas rasanya mendengar persembahan sifu ukulele iaitu William Kok begitu santai dan gembira berada di pentas ketika sesi Bengkel Ukulele berlangsung.

Menurut Pengarah Urusan Ferris Music, Gan Zheng Xian, inisiatif menganjurkan festival itu bagi memperkenalkan instrumen itu kepada masyarakat umum serta mengumpul komuniti berkaitan.

Ukulele masih baru dalam lapangan persembahan muzik tempatan berbanding instrumen lain seperti piano dan bass. Begitupun, dia percaya dengan potensi serta kelebihan alat muzik itu sendiri sangat fleksibel membuatkan dia menganjurkan acara itu bersama komuniti.

“Ini tahun pertama kami anjurkan festival sebegini dan menyasarkan kumpulan peminat muzik sekitar yang mahukan pengalaman berbeza dalam mendalami ilmu mengenai instrumen.

“Hari ini kami juga menampilkan pemain ukulele berpengalaman membuat persembahan serta mempunyai kelab berpotensi untuk disertai peminat alat terbabit.

“Lihat saja hari ini pemuzik datang bukan saja dewasa tetapi juga kanak-kanak semuda lapan atau sembilan tahun yang tidak kekok memetik ukulele mereka.

“Malah mereka tiada asas, tidak sukar menguasai ukulele kerana ia tidak kompleks seperti instrumen lain. Kami mahu pusat muzik dikenali dalam kalangan peminat alat muzik berkenaan,” katanya.

Pengurus program, Kuck Swee Min, berkata dia terharu dengan sambutan diterima dalam kalangan peminat instrumen itu.

“Jam 1 petang mereka sudah memenuhi galeri memeriahkan festival ini meskipun acara hanya bermula sekitar jam 2 petang. Kami juga menampikan bakat-bakat unik sekitar Lembah Klang selain bengkel turut membantu memahami alat muzik berkenaan. Sambutan diterima mendorong saya untuk terus menguruskan acara seperti ini pada masa akan datang.” katanya.

Pemain ukulele, Kan Shen San, mengetahui mengenai ukulele sejak menonton filem 100 Dates menampilkan teraju utama memetik ukulele di kepulauan Hawaii.

“Saya tertarik setelah menonton Adam Sandler memetik ukulele antara instrumen sangat popular di pulau terbabit.

“Malah faktor lain ialah saiznya kecil serta ‘mood’ ketika bermain begitu santai menarik minat saya. Malah saya berharap satu hari nanti saya mempunyai ‘finger styling’ tersendiri membabitkan alat ini,” katanya.

Tambahnya, lebih mesra dengan panggilan Kristin Kan, menyifatkan ukulele mudah dipelajari.

“Kalau gitar atau bass biasa mempunyai lebih tujuh tali dan ianya sukar untuk wanita kerana menggunakan besi. Jadi jari mudah menjadi kasar.

“Berbeza dengan ukulele, biarpun terdapat lima jenis ukulele iaitu soprano, concert, tenor dan baritone, dari segi saiz mahupun permainannya masih sesuai dimainkan gadis mahupun kanak-kanak.

“Malah ia lebih santai sesuai dengan ‘mood’ seperti ‘music circle’ dan memetiknya jauh lebih selesa kerana tali ukulele ini diperbuat daripada nilon. Tidak menyakitkan jari serta wajar untuk mereka yang mahu mengenali alat muzik,” katanya.

Selain persembahan peserta tempatan, festival itu dimeriahkan juga dengan kehadiran pemain ukulele dari Amerika Syarikat, Dylon Martinez.

Jelas pemuda berusia 23 tahun itu, dia gembira dengan suasana komuniti pemuzik ukulele tempatan saling menyokong antara satu sama lain.

“Gembira melihat pengunjung dari usia kanak-kanak sehingga golongan emas berminat dengan permainan ukulele. Melihat potensi dimiliki pemain di sini cerah kerana ada bermula sejak usia kecil lagi.

“Malah kedatangan saya dalam festival ini untuk berkongsi teknik selain mengenali gaya petikan ukulele di Malaysia. Malah saya juga menggubah lagu, mahu juga mengenali irama dan melodi tempatan yang mempunyai daya tarikan tersendiri,” katanya berharap acara ini dapat diteruskan pada tahun akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:19 AM