ANTARA pasukan berbasikal yang menanti sejak petang.
ANTARA kanak-kanak yang turut berlumba.
AKSI peserta sepanjang kayuhan.
GELAGAT peserta yang menyertai perlumbaan waktu malam.
BARISAN kru yang menjayakan RHB Shimano Highway Ride @ LEKAS 2017.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


Laluan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) baru-baru ini menjadi medan perlumbaan sengit apabila kira-kira 4,300 peserta perlumbaan RHB Shimano Highway Ride @ Lekas 2017 berentap bagi membuktikan siapa juara sebenar basikal kategori lebuh raya (RB).

Biarpun trek membabitkan laluan lebuh raya sepenuhnya, cabaran sepanjang perlumbaan cukup hebat berikutan peserta perlu mendaki dua kawasan berbukit ada antaranya sejauh 500 meter dengan ketinggian hampir 250 meter. Jika tidak kuat semangat, alamat terpaksalah menolak jentera tunggangan masing-masing.

Tetapi, rata-rata tidak mempunyai masalah untuk melepasi halangan yang ada dan dapat menamatkan kayuhan yang diadakan pada waktu malam itu dengan jayanya.

Dipecahkan kepada lima kategori berdasarkan jarak perlumbaan berbeza iaitu kategori 105 kilometer (km), 78km, 17km, 12km dan 7km, perlumbaan anjuran Kumpulan Perbankan RHB dengan kerjasama Shimano, Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) dan GoSportz Sdn Bhd ini bermula jam 7.55 malam secara berperingkat.

Aksi mendebarkan dapat dilihat menerusi dua kategori utama iaitu 105km serta 78km yang kebanyakannya disertai pelumba berpengalaman dan penuh dengan babak kejar-mengejar terutama di kawasan lurus selain menuruni kawasan berbukit.

Untuk kategori 105km, ia disertai seramai 1,970 pelumba manakala kategori 78km disertai 2,080 pelumba.

Kategori 105km dipecahkan kepada lima perlumbaan berbeza iaitu Elit, Terbuka Lelaki, Lelaki Veteran, Terbuka Wanita dan Korporat/Kumpulan Terbuka menyaksikan persaingan sengit dengan jarak perbezaan masa hanya kurang seminit.

Masa paling pantas dicatatkan oleh Mohd Hafiz Hamid (Terbuka Lelaki) dengan catatan 2 jam 36 minit 24 saat diikuti Brian Christopher Johnsen (Lelaki Veteran) yang mencatat masa 2 jam 36 minit 28 saat dan Nur Aisyah (Terbuka Wanita) dengan catatan masa 2 jam 36 minit 30 saat.

Sementara itu, kategori 78km yang dipecahkan kepada lima perlumbaan iaitu Terbuka Lelaki, Veteran Lelaki, Terbuka Wanita, Remaja Lelaki dan Remaja Perempuan juga menyaksikan persaingan sengit.

Masa paling pantas dicatatkan oleh Muhd Laman Rosli (Remaja Lelaki) iaitu 1 jam 55 minit 54 saat diikuti Ng Yong Li (Terbuka Lelaki) dengan catatan masa 1 jam 57 minit 7 saat dan Hing Siong Chen (Lelaki Veteran) dengan catatan 1 jam 58 minit 2 saat.

Pengarah Perlumbaan GoSportz Albert Leong berkata, dua kategori itu adalah tumpuan utama perlumbaan bagi mencari siapa juara sebenar yang mampu menakluk lebuh raya LEKAS dalam aspek kepantasan.

Manakala tiga lagi kategori iaitu 17km yang dikhususkan untuk VIP, 12km dan 7km pula terbuka kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan diadakan secara santai dalam usaha menggalak serta menyemai semangat kesukanan dan menyokong aktiviti berbasikal.

“Penganjuran perlumbaan ini tidak sekadar mahu merancakkan sukan basikal lebuh raya sebaliknya sebagai medan kepada peserta untuk menguji kemampuan dan membuktikan keupayaan diri.

“Pada masa sama, kita selitkan kayuhan santai sebagai alternatif untuk menggalak serta menyemai minat sukan berbasikal sebagai satu aktiviti riadah yang baik untuk kesihatan,” katanya.

Menariknya, kayuhan ini turut disertai oleh Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) Datuk Ir Ismail Md Salleh yang turut melakukan pelepasan perlumbaan.

Bagi kategori 105km, juara membawa pulang RM1,000, jersi Raja Bukit dan medal manakala hadiah RM2,000 bagi perlumbaan Korporat/Kumpulan Terbuka.

Manakala bagi kategori 78km, juara membawa pulang RM600 (perlumbaan Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita dan Lelaki Veteran) dan RM500 bagi perlumbaan Remaja Lelaki dan Remaja Wanita. Mereka turut menerima jersi Raja Bukit dan medal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:16 AM