KETIKA sesi ‘hand on’ robot.
PENERANGAN mengenai sampel diperoleh kumpulan pelajar.
MENEMPUH pelbagai halangan ketika sesi Scavenger Hunt.
MENGENALI tumbuhan herba.
PROGRAM STEMazing yang berlangsung meriah.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Mahu menyemai perasaan minat kepada ilmu sains dan matematik dalam kalangan generasi muda terutamanya kanak-kanak mendorong Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menganjurkan program ‘STEMazing.

Program itu mensasarkan kanak-kanak berusia lima hingga 12 tahun sekitar Taman Sri Lalang Kluang Johor, memperlihatkan pendekatan interaktif antaranya slot robotik berpotensi mencapai misi berkenaan.

Kerjasama setempat seperti Rukun Tetangga serta UMNO Cawangan Taman Sri Lalang, Kluang, membuka jalan membantu peserta memahami signifikan ilmu berkenaan.

Timbalan Dekan (Alumni dan Hal Ehwal Pelajar ) Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan UTHM, Dr Mohd Zamani Ngali berkata, program berlangsung di Eco-Resort Gunung Lambak itu membuka potensi pelajar sekolah agar memiliki pemikiran kreatif, kritis dan inovatif.

“Program STEM ini ialah singkatan kepada ‘Science’, ‘Techonology’, ‘Engineering’ and ‘Maths’ membabitkan pelajar sekolah rendah selaku peserta manakala pelajar menengah dari tiga buah sekolah, Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Lalang, Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Hussein Onn berperanan sebagai fasilitator.

“Manakala pihak UTHM lima pelajar menjadi fasilitator dan moderator untuk program robotik. Semestinya kami berharap pelajar kami bukan semata-mata mahasiswa cemerlang akademik malah mempunyai kualiti dalam pembinaan sahsiah mahupun insaniah.

“Jadi platformnya ialah menerusi Program STEM yang mana mahasiswa berinteraksi dengan komuniti sekali gus kepentingan ilmu sains dan teknologi ini kepada masa depan negara,” katanya.

Buat pelajar tahun pertama Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Wan Ahmad Mustaqim Ahmad Zakhi, kemuncak kepada program terbabit ialah bengkel robotik.

“Perancangan awal slot robotik bermula jam 12 hingga 1 petang. Tetapi atas sebab tidak dapat dielakkan ditunda sejam kemudian.

“Dalam slot ini sepatutnya ada lima lego berfungsi, sekali lagi kami diuji apabila hanya tiga set robot boleh diturunkan dalam program itu.

“Biasalah benda ini berkaitan dengan teknikal dan program, ada saatnya ketika ‘coding’ lancar tetapi sebaik cuba menggerakkan lain pula halnya. Tetapi sesi ‘hand on’ tetap berjalan dengan lancar dengan semua peserta berkesempatan mengendali robot terbabit,” katanya.

Lebih mesra dengan panggilan Mus, program komuniti itu katanya memberi pengalaman mengenai kaedah perkongsian ilmu berkesan terutamanya robot bersama orang awam.

“Kumpulan kami hanya terdiri seramai lima orang, berdepan dengan peserta hampir menjangkau 60 orang terdiri daripada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun satu situasi sangat mencabar. Syukur kami dibantu pelajar menengah yang mengawal adik jagaan mereka dengan baik.

“Biasalah apabila teruja, keadaan boleh menjadi luar kawalan mahupun ada adegan berebut, tetapi pasukan saya mengambil pendekatan bertenang serta bekerjasama dengan fasilitator lain memastikan sesi bengkel berjalan dengan baik,” katanya.

Rakannya, Putra Nur Addin Abdullah, 20, tidak menolak sebaik saat dia serta pasukannya mengeluarkan model robot lego, peserta menjadi teruja dan masing-masing mahu menyentuh mahupun menekan alat kawalan robot terbabit.

“Masa sesi penerangan mulanya mereka tidak begitu teruja sehinggalah saat kami mula mengeluarkan dan membuat demonstrasi, boleh saya katakan perubahan ketara apabila masing-masing berlumba-lumba ingin bermain dengan robot terbabit.

“Robot yang kami bawa dari fakulti ialah di ‘coding’ dengan format kereta kawalan jauh. Peserta diberi peluang menggerakkan robot dan mereka sangat gembira melihat pergerakan robot kami bawa.

“Banyak soalan ditanya antaranya apa lagi robot ini boleh buat, sejauh mana pergerakkannya dan sehingga satu tahap ada bertanya harganya kerana mahu memiliki satu model robot terbabit. Ini jelas menunjukkan peserta sudah mula berminat.

“Sebenarnya perancangan asal kami mahu memberi peluang kepada peserta membina robot kerana fakulti ada model robot lego lebih besar. Mungkin ia dapat dilaksanakan dalam program lain kelak,” katanya.

Sementara itu wakil sekolah Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Intan menerusi gurunya Farahwahidah Abd Halim berkata STEM antara inisiatif pihaknya bersama UTHM kerana institusi pengajian tinggi itu mempunyai kepakaran dalam bidang berkenaan.

“Sebenarnya banyak program STEM yang dilangsungkan peringkat sekolah tetapi peringkat pelaksanaan masih terhad dan kurang penekanannya. Jadi daripada pihak saya selaku guru, hasrat tidak lain ingin beri bimbingan kepada pelajar sekolah menengah mengenai peranan mereka sebagai fasilitator untuk program peringkat setempat.

“Disebabkan UTHM mempunyai kepakaran dalam bidang kejuruteraan terutamanya, saya lihat kolaborasi ini penting dan berpegang pada konsep menyumbang kepada komuniti semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:13 AM