DOL Sot Bibimbap dipenuhi sayuran.
ENAK dimakan bersama mi.
SAJIAN halal mendapat kelulusan JAKIM.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Rimbunan pohon besar di tengah kafe, aksesori hiasan dinding menarik, susun atur meja yang ringkas serta lukisan unik di lantai, menerbitkan perasaan istimewa sebaik melangkah masuk ke SweeTree Restaurant.

Lebih menarik, sudut bergambar dalam kafe mempamerkan prop drama bersiri popular Korea, Descendents of the Sun untuk mencetus rasa romantis buat pelanggan.

Memiliki pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sejak 2015, SweeTree Restaurant menyajikan hidangan popular masyarakat Korea Selatan, di samping menu barat. Nama SweeTree Restaurant sangat dikenali penggemar menu Korea Selatan, selain berstatus halal dan enak, saiz hidangannya agak besar dengan harga berpatutan.

Menurut pemiliknya, Justin Park, idea memulakan perniagaan kafe bermula apabila wujudnya permintaan daripada kalangan masyarakat tempatan yang ingin mencuba sajian Korea.

“Bukan saja orang tempatan, bahkan rakyat Korea yang berada di sini turut menggemari hidangan SweeTree Restaurant. Selain menawarkan hidangan istimewa, saya juga cuba mempromosikan budaya Korea dalam kalangan pelanggan termasuk dekorasi kafe dan perkhidmatan.

“Bagi mendapatkan kelulusan daripada JAKIM, semua material digunakan adalah halal dan buatan Malaysia. Pastinya wujud cabaran buat saya dan isteri untuk menyediakan menu asli Korea tetapi selepas beberapa uji kaji, akhirnya kita berjaya mengolah resipi halal yang memiliki rasa sama dengan sajian di Korea,” katanya.

Menyifatkan hidangan berat seperti Jjambong atau sup makanan laut pedas memiliki cita rasa pedas dan berlemak, Park yakin dengan penerimaan rakyat Malaysia.

Kombinasi pelbagai makanan laut seperti lala, sotong kurita, udang dan kepah menyempurnakan selera apabila ia dijamu panas bersama nasi atau mi.

Ra Bok Gi atau ramyum bersama telur yang menggunakan pes cili merah (gochujang) resipi ciptaan Justin, antara pilihan popular pelanggan.

Ramyum berkuahkan sup merah pedas mengandungi ‘rice stick’ yang kenyal diperbuat daripada tepung beras, kek ikan dan lobak memberi kepuasan tersendiri kerana rasanya asli dari Korea.

Dol Sot Bibimbab adalah menu nasi campur bersama pes Gochujang yang mengandungi kimchi, hirisan telur, rumpai laut, kobis ungu, salad, cendawan, timun dan daging mahupun ayam.

Teknik sebenar menjamu sajian sihat ini adalah menggaulkan semua ramuan di dalam mangkuk dengan rata bagi memastikan pes Gochujang meliputi keseluruhan nasi putih.

Bagi menu santai pula, kimbab dan injeolmi Bingsu (ais kisar) pilihan tepat.

Bingsu sejenis ais kisar seperti air batu campur versi Malaysia, cuma uniknya Bingsu ini dikisar menggunakan ais berperisa susu disajikan bersama kekacang dan ‘rice cake’.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Julai 2017 @ 11:08 AM