PEKARANGAN penjara yang digelar penghuninya sebagai ‘lubang neraka.’
KEADAAN dalam sebuah sel di penjara itu.
ANGGOTA sindiket yang digelar Bali Nine yang ditahan di penjara itu, Matthew Norman (kanan) dan Si Yi Chen ketika sesi penggambaran untuk rancangan ‘Foreign Correspondent.’
SERAMAI 1,300 banduan ditempatkan di penjara ini empat kali ganda lebih ramai daripada yang sepatutnya.

Penjara Kerobokan, tempat pesalah dadah Schapelle Corby dan anggota Bali Nine ditempatkan, menarik perhatian rakyat Australia berdekad lamanya.

Selepas spekulasi selama beberapa tahun, kru Badan Penyiaran Australia (ABC) akhirnya dibenarkan melihat keadaan penjara itu buat kali pertama.

Wartawan, Samantha Hawley bersama penerbit Matt Davis dan jurugambar Phil Hemingway menghabiskan seminggu di dalam sel lelaki Kerobokan di Bali untuk merakam episod terbaru siri dokumentari mingguan Australia, ‘Foreign Correspondent.’

Sepanjang penginapan itu, mereka menemuramah ahli Bali Nine, Matthew Norman dan Si Yi Chen, yang menjalani hukuman penjara seumur hidup di situ.

Mereka mengaku menjadi keldai dadah untuk mendapatkan wang sebanyak AS$15,000 (RM64,000) apabila ditangkap pada 2005, selepas pihak berkuasa menemui bagasi mengandungi heroin di dalam bilik penginapan mereka.

Norman yang berusia 18 tahun ketika itu, menunjukkan sel tempat dia ditempatkan kepada kru ABC TV.

“Ya, inilah syurga kecil saya,” katanya.

“Sebaik sel ditutup dan dikunci, anda akan berfikir, ‘apa yang sudah aku lakukan?’ Bawalah saya pulang,” tambah Si Yi Chen dengan penuh emosi.

Penjara itu menempatkan 1,300 banduan empat kali ganda lebih ramai daripada yang sepatutnya selain turut digambarkan penghuninya sebagai ‘lubang neraka.’

Apabila pengumuman dan siren dibunyikan, banduan akan bersaing mendapatkan ruang di penjara yang sesak itu.

Rachel Dougall yang dipenjara setahun di situ kerana gagal melaporkan jenayah, memberitahu Daily Mail Australia pada Mac lalu, dia mengalami kerosakan saraf selepas dikurung bersama penagih dadah, banduan positif HIV dan lesbian yang agresif.

“Kebanyakan wanita di bawah pengaruh dadah hampir setiap hari. Jika anda mempunyai wang, pengawal penjara akan mendapatkan apa saja yang anda mahu.

“Banduan di sel lelaki berhampiran boleh membayar untuk mendapatkan khidmat pelacur,” katanya.

Rachel turut mendakwa dipukul beberapa kali sebelum dibebaskan pada Mei 2013.

Seorang rakyat New Zealand, Paul Conibeer yang dipenjarakan 10 bulan di situ berkata, kawasan itu terlalu sesak dan dipenuhi jenayah serta dadah.

“Apa yang paling mengecewakan adalah, banduan yang dimasukkan ke sini dikenakan hukuman mati kerana mengedar dadah, tetapi tempat ini sendiri penuh dengan bahan terlarang itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 4:26 AM