ALENA anggap Malaysia negara kecil mudah untuk melancong.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Sebaik melangsungkan perkahwinan di Russia pada 2007, Alena Belozertseva bersama suami meraikan kemanisan bulan madu di Malaysia selama beberapa hari.

Percutian tanpa dirancang, sekadar persinggahan sementara perjalanan dari Russia ke Jepun bagaimanapun mencipta keistimewaan tersendiri di hati pasangan ini.

Apabila suaminya menerima tawaran kerja di Malaysia, wanita ini mengikuti pasangannya ke sini.

1. Kali pertama menjejakkan kaki ke Malaysia dan tujuannya?

Kali pertama saya datang ke Malaysia pada 2007 ketika dalam perjalanan dari Russia ke Jepun, iaitu kampung halaman suami.

Transit selama beberapa hari di Malaysia memberi peluang kepada kami bercuti ke Pulau Langkawi untuk berbulan madu. Sebenarnya suami saya sangat menyukai Malaysia.

Jadi apabila dia menerima tawaran kerja di Malaysia sekitar 2008, kami sekeluarga berpindah ke sini, tambahan pula, saya baru menamatkan pengajian di universiti di Jepun.

2. Sejauh mana pengetahuan anda mengenai Malaysia sebelum berada di sini?

Ketika berada di Russia, tidak banyak saya ketahui mengenai Asia Tenggara mahupun Malaysia.

Apabila melanjutkan pengajian ke Jepun, baru saya mengetahui kewujudan pelbagai negara di Asia Tenggara.

Yang pastinya, persepsi di fikiran saya mengenai negara Asia Tenggara adalah cuaca panas sepanjang tahun.

3. Cabaran yang anda lalui sepanjang berada di Malaysia?

Paling saya tidak boleh lupakan apabila suami disahkan terkena demam denggi beberapa tahun yang lalu.

Ia pengalaman menakutkan buat kami sekeluarga. Suami terlantar dan kehilangan lebih 10 kilogram berat badan.

Tambahan pula, saya memiliki dua anak, pasti bimbangkan kesihatan mereka.

4. Memori menarik sepanjang berada di Malaysia?

Malaysia sebuah negara yang kecil dan kedudukannya strategik di rantau Asia Tenggara.

Ini memberi kelebihan kepada kami sekeluarga melancong ke destinasi menarik di Malaysia, termasuk beberapa pulau di Semenanjung Malaysia dan Sabah.

Keunikan alam semula jadi jauh berbeza dengan tanah air saya. Selalunya kami akan melancong menggunakan kereta ataupun kereta api.

5. Destinasi pilihan anda?

Kuala Lumpur, Pulau Perhentian dan Pulau Langkawi.

6. Sajian tempatan pilihan anda?

Saya suka makanan Cina, roti canai dan kari.

Dulu, saya langsung tidak boleh menjamah makanan pedas tetapi kini, ia satu kemestian buat saya.

7. Malaysia pada mata anda?

Saya sayang Malaysia. Dua anak saya belajar di sekolah jenis kebangsaan Cina, jadi saya berharap mereka dapat mempelajari kepelbagaian dan keharmonian antara kaum daripada Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Jun 2017 @ 4:24 AM