AHLI SBB membaca doa sebelum latihan.
SEDIA pemeriksaan barisan.
LATIHAN mengendalikan hos air.
RUTIN kawad menekankan disiplin tinggi.
AKTIVITI latihan dalam kumpulan.
Syazlyna Jamil
metahad@hmetro.com.my

Seramai 34 pelajar menjadi kumpulan pertama menyertai kursus Siswa Bomba Bantuan (SBB) sebagai kursus berkredit kokurikulum di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), baru-baru ini. Program kokurikulum kebombaan berkredit itu julung kali ditawarkan di universiti awam dan diselaraskan Pusat Pembangunan Kemahiran Insaniah (PPKI), kampus berkenaan.

Tujuan utama diwujudkan SBB untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa mengenai sains kebombaan, selain melengkapkan mereka dengan kemahiran menyelamat.

Komandan Siswa Bomba Bantuan USIM, Muhammad Haizuan Rozali berkata, langkah mewujudkan kursus ini sangat bertepatan kerana pelajar diterapkan dengan etika kerja dan juga kemahiran menangani risiko sering dihadapi masyarakat.

“USIM sedia maklum piawaian kemahiran profesional institusi bomba di negara ini diiktiraf pada peringkat dunia. Justeru manfaat besar andainya seawal peringkat universiti diberi peluang menyertainya. Selain diberikan pengetahuan, pelajar dibantu mengenai kaedah mengendalikan peralatan bomba yang berteknologi tinggi.

Silibus diguna pakai dirangka Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sendiri. Malah aspek penting iaitu pelajar yang mengambil kursus ini didedahkan kepada etika dan budaya kerja pasukan bomba yang sentiasa bersedia pada tahap tertinggi berdasarkan risiko latar bidang kerja mereka sangat mencabar.

“Malah pelatih SBB juga diajar mengenai teknik membuat keputusan dalam suasana kritikal berdasarkan analisis suasana kejadian dan reaksi semasa,” katanya.

Kata Haizuan, kejayaan kursus ini sememangnya bergantung pada komitmen dan kesungguhan tenaga pengajar daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia khususnya semua anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai, Negeri Sembilan.

Pegawai Bomba Kanan II Tuan Masdar Suminggu yang bertindak sebagai jurulatih SBB berkata, siswa didedahkan kepada pengetahuan cara mengawal kebakaran menerusi sesi pembelajaran teori dan praktikal berbentuk rekrut.

“Semua operasi mahupun latihan berkenaan dijalankan di lapangan Balai Bomba dan Penyelamat Nilai. Segala fasiliti serta ‘setting’ kita sediakan seperti latihan asas sering dilakukan anggota. Kami mewakili Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia mahu melihat SBB di USIM ini terus berkembang.

“Malah dijangka pada September akan ada satu skuad lagi bagi menambah jumlah ahli SBB. Aktiviti SBB sudah berjalan sejak semester lalu memberi penekanan aspek pengenalan mengawal dan mencegah kebakaran.

“Harapan pihak kami selaku tenaga pengajar mahupun pegawai latihan SBB, supaya pelajar SBB dapat mempraktikkan latihan yang dipelajari sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.

Antara pelajar yang ditemui berkongsi rasa teruja menyertai SBB yang menyediakan bentuk latihan seperti menyelamat, memadam kebakaran selain berkawad berlainan daripada badan beruniform lain.

Bagi pelajar tahun pertama Fakulti Syariah Undang-undang, Nur Azreen Ahmad Refa’i, program ini memberi ilmu baru, selain membentuk diri menjadi lebih berdisiplin serta mematuhi arahan ketua pasukan.

“Saya teruja menggunakan alatan yang berteknologi tinggi yang jarang sekali mendapat peluang ini melainkan mengikuti modul yang disediakan mahupun mengikuti latihan pasukan keselamatan itu.

“Walaupun latihannya memenatkan, semangat setiakawan menebal ditunjukkan rakan sepasukan mahupun sokongan tenaga pengajar membuatkan saya bertahan sehingga tamat latihan,” katanya.

Pelajar tahun satu Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Wan Muhamad Waez Wan Rosli pula berkata, pengalaman menyertai Unit SBB ini membolehkan dia belajar cara menyelamat dan pengendalian alatan pemadam api terutama penggunaan hos air dengan betul.

“Sebelum ini saya hanya didedahkan kepada cara menyelamatkan diri ketika melakukan latihan kebakaran. Berbeza rasanya selepas menyertai Unit SBB ini apabila mengetahui lebih dalam mengenai cara penyelamatan yang betul.

“Mungkin sesetengah orang awam menganggap pengendalian hos bomba ini seperti menggunakan paip biasa. Sebenarnya tidak, kerana ianya memerlukan kekuatan fizikal dan komunikasi antara ahli pasukan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini seperti ‘water hammer’.

“Selain itu saya mempelajari penggunaan sistem radas pernafasan (BA - breathing apparatus) iaitu antara alatan terpenting dalam misi menyelamat mangsa di dalam bangunan,” katanya.

Di samping itu, faktor lain menarik minat Waez menyertai SBB ini ialah peluang menimba ilmu daripada jurulatih berpengalaman terutama menjalankan misi penyelamat sesuatu yang tidak diperoleh dalam badan uniform lain.

“Pada semester terdahulu, saya sudah menjalani latihan di BBP Nilai. Antara latihan yang dijalankan termasuklah teknik menyelamat dalam bangunan sambil memakai topeng. Topeng muka khas diguna menutup bahagian ‘visor’ sebagai simulasi sebenar ketika proses menyelamat dilakukan.

“Kemudian saya dan pasukan dibawa ke suatu tempat yang kami sangkakan ianya terlalu luas disebabkan kami mengambil masa lebih 40 minit mencari mangsa di kawasan. Sedangkan bilik berkenaan hanya sebesar ruang tamu sahaja.

“Kesimpulannya tugas ahli bomba sangat berat. Bayangkan sekecil-kecil bilik boleh menjadi seluas-luas tempat apabila kebakaran berlaku kerana tahap penglihatan amatlah terhad.

“Ia meniupkan semangat untuk lebih berani kerana kerja penyelamatan tidak mudah dilakukan. Saya amat menghargai dan memahami tugas pasukan bomba ketika menjalani misi sehingga ada antara mereka terkorban,” katanya

Tidak lupa Waez mengenai kewibawaan, sikap, disiplin serta komitmen yang terbaik yang dipamerkan tenaga pengajar sendiri banyak menerbitkan rasa hormat yang tinggi, selain melihat profesion bomba ini pilihan kerjaya harus dipilih mahasiswa selepas tamat pengajian nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2017 @ 12:15 AM