TERLETAK dalam kawasan pelabuhan
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Tidak mahu bangunan hanya mempunyai satu fungsi semata-mata, firma arkitek dari Denmark iaitu JAJA Architecs mencadangkan garaj parkir bertingkat di bandar Nordhavn, Copenhagen melalui proses transformasi di bahagian bumbungnya sebagai ruang awam.

Mengetengahkan rekaan malar hijau dan taman permainan, bangunan itu kini dikenali dengan Park ‘n’ Play turut mempunyai perincian warna merah bata sebagai mengekalkan ‘mood’ retro sesuai sejarah kawasan berkenaan yang dikenali sebagai zon perindustrian.

Pilihan reka bentuk ini menjadikan suasana persekitaran kelihatan lebih hangat dan mesra. Grid struktur bangunan itu ditonjolkan kerana ia sesuai dengan sejarahnya sebagai kawasan perindustrian di kejiranan Arhusgadekvarteret Nordhav iaitu daerah pelabuhan bersejarah terkenal.


TANGGA memberi tumpuan kepada rekaan seluruh bangunan.

Pengasas bersama JAJA Architecs Kathrin Susanna Gimmel berkata, peranan kumpulan perekanya ialah mencipta semula struktur tempat letak kereta dan menjadikan fasad serta bumbung mudah diakses selain mesra orang ramai.

“Struktur tempat letak kereta lama sebagai ruang urban kepada struktur tempat letak kereta baru sekali gus melengkapkan gambaran sebuah bandar yang baru dan aktif.

“Mengambil inspirasi Centre Georges Pompidou di Paris, Perancis yang mengetengahkan kawasan tangga di sisi sebagai visual penarik selain mesra persekitaran.

“Turut dimuatkan grafik bercirikan abstrak sesuai sejarah Nordhavn menerusi kerjasama dengan RAMA Studio,” katanya.


VISUAL pada fasad bangunan dengan kerjasama RAMA studio.

Lebih membanggakan, reka bentuk bangunan itu menampilkan ketelitian arkitek apabila pemegang tangga digelar ‘benang merah atau jalinan merah’ sebagai visual ‘magis’ membawa pengunjung ke bumbung dan menjadi sebahagian daripada arca seni bina.

Elemen itu menjadi asas bagi kebanyakan struktur permainan, bangku dan ciri-ciri ruang bumbung yang akhirnya menyokong pemegang tangga kedua.

Tidak mahu tampak terlalu geometri, tanaman hiasan yang hijau menjalar pada grid bangunan menyuntik sentimen segar kerana kawasan di atasnya berfungsi sebagai pusat rekreasi awam untuk kegunaan penduduk sekitar.


KAWASAN tumpuan sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 September 2018 @ 5:40 AM