Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


BANCIAN pada 2011 mendapati jumlah penduduk Malaysia yang menetap di Kuala Lumpur mencecah angka dua juta, sementara Selangor melangkaui dua juta menjadikan kepadatan populasi di ibu kota dan bandar utama meningkat sekali ganda menjelang 2020.

Penghijrahan dipengaruhi peluang pekerjaan yang ditawarkan di ibu kota membuatkan permintaan terhadap kediaman di kawasan tumpuan meningkat dua hingga tiga kali ganda.

Situasi itu mendorong harga pasaran rumah di kawasan bandar melonjak dua hingga ke tiga kali ganda tidak sepadan dengan peningkatan pendapatan perkapita penduduk.

Berdasarkan isu komuniti inilah, Pertubuhan Akitek Malaysia (PAM) bekerjasama dengan Lembaga Arkitek Malaysia menjayakan Pameran The Malaysian Future Housing Case Studies (MY.HSE) sempena Kuala Lumpur Architecture Festival 2018 di Damansara City Mall di Pusat Bandar Damansara, baru-baru ini.

Dalam pameran itu 12 model rumah masa depan diketengahkan 17 firma membabitkan agensi terkemuka antaranya Hijjas Architects +Planners With Web Structures dan IENS Consultants, Garis Architects, Team 02DA dan Arkitek M Ghazali.

Antara konsep menarik yang diketengahkan termasuk projek The highway Cruise Block oleh Team 02DA dari firma o2 Design Atelier mencadangkan pembinaan kediaman di tengah laluan utama trafik iaitu lebuh raya dan landasan tren aliran ringan di tengah bandar raya Petaling Jaya.


1. MEMANFAATKAN struktur jalan raya sebagai asas pembinaan kediaman bertingkat.

2. PELAN menarik mengenai perkongsian ruang pada struktur sedia ada.

3. THE POTPOURRI cadangan mengoptimumkan ruang.

4. ANTARA pengunjung yang mengamati model kediaman masa depan.

5. ANTARA model rumah menarik.

6. TETAMU kenamaan meneliti konsep atau idea rumah oleh firma yang mengambil bahagian.

7. MODEL rumah pada masa akan datang.

Rekaan yang diketengahkan firma terbabit berkenaan rumah masa depan iaitu pembinaan kediaman, pusat sosial dan taman komuniti di lokasi dikenal pasti. Berdasarkan kajian, didapati 45 peratus ruang di zon itu dibazirkan untuk jalan raya dan kawasan parkir.

Selain itu, sistem penggunaan ruang secara bestari turut dipraktikkan pada konsep rumah masa depan yang diperkenalkan itu.

Begitu juga dengan idea seperti The Potpourri oleh Garis Architects dan GADE Design Workshop, Alm Architects menerusi The Communion dan Rumah Kongsi-Semula A&A Architects yang dilihat menyarankan perkongsian ruang komuniti, hiburan mahupun sosial.

Di samping itu, pemilikan individu berupa unit kediaman menawarkan fasiliti asas tandas dan bilik tidur membantu mengoptimumkan penggunaan ruang serta mengurangkan kos.

Pada masa sama konsep lain yang diperkenalkan dalam pameran itu ialah penambahbaikan teknologi idea pasang siap dalam pembangunan rumah menerusi projek Pick Your Pixel oleh Hijjas Architects +Planners With Web Structures dan IENS Consultants dan R:EVOLUTION: Re Imaging Affortability direka DP Architecs menekankan elemen fleksibiliti dalam sistem aplikasi sistem pembangunan industri (IBS) sedia ada.

Teknologi aplikasi IBS membantu menjimatkan 40 peratus kos operasi pembinaan dan kos pembangunan projek.

Pengasas dan Arkitek Hijjas Architects Hijjas Kasturi, turut mengusulkan pandangan berkenaan pentingnya kerajaan meneliti kembali polisi perumahan sedia ada.

“Jadi, kajian menyeluruh perlu dilakukan kerana kebimbangan kami iaitu keupayaan memiliki rumah bagi rakyat tempatan makin meruncing. Jangan pelik kalau satu masa nanti pada umur 40-an masih tidak mampu membeli rumah,” katanya.

Sementara itu, Presiden PAM Ar Ezumi Harzani Ismail menyifatkan pembinaan rumah mampu milik terutama untuk golongan berpendapatan rendah jumlahnya sangat kurang berbanding hartanah bernilai tinggi.

“Situasi ini mendorong kami menganjurkan pameran MY.HSE lebih kepada kajian perintis selain mencari penyelesaian kepada isu pembinaan hartanah baik dari peringkat pemilik hingga kepada pemaju,” katanya.

Turut hadir dalam perasmian pameran terbabit termasuk Patron Diraja KLAF 2018 Tengku Zatashah Sultan Sharafudin Idris Shah, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dan Pengarah KLAF 2018 Ar Ang Chee Cheong.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 September 2018 @ 12:21 AM