56 Leonard adalah ‘menara Jenga’ paling popular.
Susunan Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Permainan kemahiran fizikal Jenga yang dicipta Leslie Scott antara aktiviti popular dilakukan bersama keluarga dan teman untuk menghabiskan masa berkualiti.

Dikomersialkan Hasbro, pemain perlu mengambil giliran untuk mengalihkan satu blok Jenga daripada struktur binaan yang menggunakan 54 blok kayu berkenaan.

Setiap kali blok dialih dan diletakkan di bahagian atas struktur membentuk menara yang lebih tinggi namun kurang stabil.

Keunikan struktur binaan yang tercipta berdasarkan skil dan imaginasi mencetuskan idea inovasi dalam kalangan pemain industri seni bina secara global.

Ini terbukti dengan kewujudan beberapa bangunan pencakar langit di seluruh dunia.

56 Leonard, New York

Bangunan 60 tingkat ini paling dikenali sebagai ‘menara Jenga’ popular di kawasan kejiranan Tribeca, berhampiran Manhattan.

Struktur ini terdiri daripada satu siri kuboid (enam muka segi empat tepat) yang bertindak mengimbangi antara satu sama lain seperti permainan blok Jenga.

Dibina firma seni bina Switzerland, lantai konkrit yang turut dijadikan balkoni dipisahkan dengan sentuhan dinding kaca dari paras lantai hingga ke siling.

Bahagian atas menara ini turut disempurnakan dengan 10 emper yang disusun atur secara rawak dan menampilkan fasad berkaca berukuran 61 meter bagi setiap unit berkenaan.

MahaNakhon, Thailand

Bangunan pencakar langit 77 tingkat ini menjadi menara tertinggi di Thailand dan memiliki ciri cetakan modular mengelilingi struktur binaannya.

Direka arkitek terkenal, Ole Scheeren, lapisan dinding berlapis seperti Jenga adalah percubaan simbolik hubungan antara bangunan kediaman manusia dan fungsi bandar.

Uniknya, ‘kecacatan’ bangunan ini terletak di bahagian tengah dan atas menjadikan menara terletak di Bangkok ini sangat menarik.

Menara ini dilengkapi dengan 200 kondominium kendalian Ritz Carlton dan 150 hotel butik Bangkok Edition di bawah pengurusan Marriot International dan Ian Schrager, serta restoran dan butik mewah lain.


‘KECACATAN’ di bahagian tengah dan atas menjadi keunikan MahaNakhon.

The Interlace, Singapura

Disifatkan satu daripada ‘prototaip binaan penting’ bagi projek perumahan, binaan rekaan Ole Scheeren ini disusun secara serong dan bersilang antara satu sama lain sekali gus mencipta ilusi teres dan taman yang sangat menarik.

Scheeren menyifatkan kompleks berukuran 170,000 meter persegi itu adalah sebuah ‘perkampungan yang menegak.’

The Interlace terdiri daripada 31 bangunan pangsapuri yang disusun mengikut corak geometri sarang lebah bagi membentuk lapan heksagon bersaiz besar daripada pemandangan atas.


STRUKTUR The Interlace disusun secara serong mencetus ilusi yang menarik.

251 1st Street, New York

Tarikan pangsapuri di Brooklyn ini adalah suntikan idea balkoni terbuka bagi unit tertentu. Malah tidak mustahil bagi individu berbeza tingkat saling bertukar pandangan mahupun senyuman.

Terletak di kawasan kejiranan dan laluan penting, bangunan ini menitikberatkan idea mengekalkan pemandangan indah langit Manhattan menerusi saiz tingkap besar serta balkoni terbuka.

Fasad ini turut mempromosikan alternatif dan transformasi struktur bangunan kediaman secara berpusat di jalan komersil, berbanding lot bangunan sedia ada yang dibina berasingan.


251 1st Street perkenal konsep balkoni ‘terbuka’.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 September 2018 @ 12:32 AM