Istana Kayu milik Mohd Fozi Kasim.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Alunan merdu suara seniman dan seniwati legenda tanah air, Aziz Jaafar dan Noormadiah mendendangkan lagu Sumpah Tanda Setia, petikan daripada filem Gergasi yang ditayangkan pada 1958 mengiringi sesi temu bual penulis bersama pemilik rumah tradisional Perak, Rabu lalu.

Perkara paling mengujakan apabila piring hitam itu diperdengarkan menerusi corong radio antik yang dipercayai digunakan sejak tahun 1920-an, gramofon (peti nyanyi) berbentuk bunga raya.

Aksesori keperluan dan hiasan klasik itu berjaya membangkitkan nostalgia ‘orang lama’ bertepatan dengan konsep teratak warisan masyarakat Perak yang dibina semula di pinggir ibu kota ini.

Pemiliknya, Mohd Fozi Kasim berkata rumah yang digelar Istana Kayu ini memiliki keistimewaan tersendiri malah ia turut menjadi ‘mercu tanda’ kejayaan hidup diharungi lelaki berusia 47 tahun ini.


DIBINA daripada kerangka utama dari Sungkai, Perak.

“Saya berkecimpung dalam industri landskap dan nurseri sudah lama. Pada masa sama, saya sememangnya tertarik dengan seni bina rumah warisan Melayu sejak 20 tahun lalu, namun tiada kesempatan untuk merealisasikan impian berkenaan.

“Istana Kayu ini memiliki sejarah unik membabitkan tanah air kerana ia pernah dijadikan markas tentera Jepun yang pernah menjajah Tanah Melayu.

“Lebih menarik, kerangka atau struktur utama rumah warisan ini sebenarnya dibina sejak 1905 di Sungkai, Perak.


STRUKTUR dinding luaran dipasang secara melintang bagi mencipta ilusi kontra.

“Tertarik dengan sejarah di sebalik rumah terbiar ini, saya bertemu pewaris rumah ini untuk mendapatkan keizinan membina semula teratak kayu warisan ini di lot tanah sendiri di Sungai Buloh.

“Tugasan membuka struktur utama rumah yang dibina daripada kayu cengal ini bukanlah satu kerja mudah, ia memerlukan kesabaran untuk menjayakannya, sebelum ia dipindahkan dari Sungkai ke Sungai Buloh.

“Kerangka utama ini bermaksud tiang utama, kasau, rasuk bawah dan atas serta alang rumah tidak termasuk dinding dan lantai yang kebanyakannya sudah rosak rumah ini dibiarkan tanpa penjagaan,” katanya yang membina Istana Kayu ini sejak dua tahun lalu.


KELARAI menyerlahkan lagi ruang dalaman.

Meskipun usianya mencecah 113 tahun, struktur utama teratak kayu ini masih utuh menongkah perubahan tahun kerana generasi lama menggunakan material binaan yang tahan lasak seperti cengal.

Jelas Mohd Fozi, hampir 70 peratus daripada Istana Kayu dibina semula menggunakan kayu cengal bagi struktur dinding, digabungkan bersama kayu balau dan kempas untuk lantai.

“Rumah lama perlulah memiliki kriteria klasik dengan sentuhan seni yang mencerminkan ketinggian peradaban Melayu.


BANGKITKAN warisan Melayu.

“Oleh itu, bagi memastikan nilai kesenian itu terpelihara, saya turut melakukan sedikit kajian dan bekerjasama dengan ramai pihak untuk mendapatkan maklumat, pengetahuan serta pengalaman.

“Contohnya, anyaman kelarai bercorak bunga tanjung yang dijadikan siling rumah ini dihasilkan masyarakat orang Asli di Perak menggunakan buluh bertam yang tahan lama.

“Oleh kerana bentuk atap rumah ini bersegi, saya mengambil masa agak lama untuk memasang kelarai bagi disesuaikan bentuk berkenaan.

“Berfungsi untuk mengalirkan udara sejuk ketika siang dan malam, pemasangan kelarai berjaya mencipta ilusi ruang dalaman Istana Kayu lebih unik.


TURUT menggunakan suis lama.

“Pemasangan dinding rumah kayu berbeza dengan rumah batu, tambahan pula ini adalah struktur rumah lama. Setiap kayu lama mempunyai perbezaan kecil bagi saiz kerana zaman dulu, orang memotong menggunakan kudrat bukannya mesin seperti hari ini.

“Jadi, bagi memastikan tiada ruang atau lubang pada dinding, setiap lapisan kayu perlu dipotong berasingan.

“Dinding luaran dipasang secara melintang bagi mencipta kontra dengan daun jendela dan pintu masuk, sementara dinding dalaman pula dipasang secara menegak,” jelasnya yang menyifatkan kerja kayu memerlukan fokus dan ketelitian yang tinggi.


UKIRAN lampu dinding simbolik kepada penggunaan pelita.

Keunikan jendela besar mempunyai empat daun diserlahkan lagi dengan pemilihan langsir berona kuning raja, yang juga sinonim dengan masyarakat Melayu terutama dalam kalangan pembesar Melayu.

Memiliki ruang tamu, tiga bilik utama, ruang rehat dan dapur, Istana Kayu ini juga mengekalkan kewujudan beranda di pintu masuk utama bersama tangga enam mata dengan kecerunan 45 darjah.


HIASAN dekorasi antik jadi pilihan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Jun 2018 @ 8:20 AM