PENATAAN ringkas tapi unik di bilik tidur.
RUANG di bahagian depan rumah turut memperlihatkan dekorasi menarik.
DEKORASI ruang diselarikan dengan keluasan.
SHAHRIL berpuas hati dengan penataan yang diketengahkan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com


Gambaran ketenangan dan jauh daripada kesibukan kota menjadi pengenalan utama kepada konsep rumah persinggahan yang diketengahkan ini.

Tidak ubah seperti rumah ladang terdapat di luar negara, pemiliknya Shahril Azli Yahya, 38, nyata memanfaatkan sepenuhnya peluang di depan mata.

Binaan cerobong asap pada bahagian bumbung rumah batu setingkat itu menjadi pelengkap kepada seni bina ala Inggeris.

Menurut Shahril, rumah ladang dengan nama Tehel Farm House itu terletak di Kampung Tehel Bemban Melaka, kini dijadikan sebagai inap desa khusus buat tetamu yang mempunyai keluarga kecil. Ini kerana rumah itu hanya berkeluasan kira-kira 34 meter persegi.

“Dulu saya bertugas di Johor Bahru dan membinanya sebagai rumah persinggahan keluarga setiap kali kami pulang ke kampung. Saya idamkan reka bentuk seperti rumah dalam ladang ala Inggeris.

“Inspirasi itu tercetus berikutan minat saya dan isteri melancong dan banyak terdedah dengan reka bentuk bangunan di luar negara termasuk kediaman. Lantas saya memasang impian memiliki rumah konsep sama supaya setiap kali pulang ke kampung suasana bagaikan sebuah percutian.

“Berbekalkan bajet agak terhad iaitu sekitar RM40,000, saya membina rumah terbabit secara berperingkat. Saya mencari idea rekaan rumah ini dan rujukan ketika itu sepenuhnya menerusi pencarian di Internet.

“Selepas mendapatkan rekaan yang sesuai dan memenuhi kehendak, saya terus merujuknya kepada kontraktor. Perincian pada bumbung antara struktur yang menelan belanja paling besar berikutan rekaannya sangat rumit.

“Berbeza dengan bentuk rumah batu tempatan yang lebih ringkas, struktur bumbung rumah inap ini kelihatan berlapis-lapis. Sementara itu, terdapat penambahan pada bahagian sama iaitu perincian cerobong palsu sebagai tumpuan dalam memberi nilai tambah kepada rupa rumah ini untuk tampil bagaikan kediaman di luar negara.

“Selain itu yang membuatkan ia tampak lebih menarik ialah susunan bata merah seolah-olah bercantum dengan binaan cerobong asap memberi sentuhan realistik kepada perincian terbabit,” katanya.

Meskipun pada awalnya menerima reaksi janggal dalam kalangan penduduk setempat, Shahril tetap positif dengan memilih konsep berkenaan kerana rekaan rumahnya unik berbanding rumah batu di kawasan sekitar.

“Biasalah apabila rumah ini siap, ramai datang menjenguk dan bertanya berkenaan rekaannya yang pelik berbanding rumah batu lain. Ramai tertarik kerana mereka tidak pernah menemui rekaan itu apatah lagi ada gaya Inggeris.

“Namun sebaik mengambil kira kawasan sekitar yang terletak dalam kawasan berhampiran ladang getah, ia secara tidak langsung melengkapkan keunikannya bagaikan berada di tengah ladang luar negara khususnya apabila menjadi latar belakang gambar yang dirakam.

Rumah berkenaan pernah tular pertengahan tahun lalu itu turut mempunyai satu bilik tidur, dapur dan ruang tamu yang ringkas selain satu bilik air.

“Menariknya rumah ini mempunyai satu bilik tidur yang memuatkan katil kelamin saiz ‘queen’ selain dapur ringkas dan satu bilik air. Sementara ruang tamu mempunyai pelbagai peranan termasuk mempunyai sudut makan menempatkan meja kayu bersama dua bangku.

“Kemudahan lain ialah televisyen selain sofa tiga tempat duduk bersaiz kecil. Ruang tamu ini hanya mampu memuatkan tiga hingga empat orang dewasa,” katanya.

Berkenaan perincian pada hiasan dalaman rumah terbabit kata Shahril, seiring dengan ruang sempit di kediaman berkenaan dia perlu lebih teliti apabila memilih perabot.

“Saya lebih selesa dengan rekaan ringkas dan moden sesuai keluasan rumah ini. Rona kuning lembut dipilih kerana ingin memberi ilusi luas manakala perincian pada perabot banyak menggunakan warna hitam dan merah.

“Tidak dinafikan, kebanyakan perabot saya beli menerusi Internet kerana sukar memperoleh rekaan sesuai dengan cita rasa mahupun saiz. Malah katil juga saya tempah menerusi Internet,” katanya.

Tambah tenaga pengajar Institut Latihan Industri Selandar Melaka itu, dia merancang melakukan kerja penambahbaikan menerusi pembinaan landskap termasuk kolam mandi untuk kanak-kanak selain taman mini haiwan bagi menjadikan ia seakan-akan rumah ladang sebenar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 4:17 AM