GABUNGAN cermin kecil memberi prespektif berbeza pada ruang makan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Sentuhan ‘magis’ pada cermin seperti dikisahkan dalam dongeng Puteri Salju tidak jauh beza peranan perhiasan itu dalam realiti sebenar apabila menjadi medium penting pemiliknya untuk merias diri.

Tidak hairan dalam rekaan perabot terutama bagi ruang beradu, cermin sering dimuatkan sebagai pelengkap rekaan dalaman.

Justeru, fungsi cermin itu sendiri sebagai aksesori dekorasi ruang besar impaknya kerana kemampuan elemen terbabit menerbitkan visual lebih luas bagi ruang sempit selain mengubah suasana.

Rekaan cermin yang biasa didapati ialah berbingkai empat segi dan bulat. Namun kini inovasi rekaannya makin berkembang apabila pelbagai bentuk dan motif dihasilkan tampil dengan nilai estetika tersendiri.

Menurut pemilik kedai atas talian House of Mirrors Nurjannah Jamaludin, masyarakat negara ini mempunyai aneka cita rasa terhadap rekaan cermin sebagai aksesori hiasan rumah apabila menimbang pelbagai aspek termasuk fungsi serta reka bentuk aksesori terbabit.

“Ketika masih bekerja dengan syarikat hiasan dalaman, saya dapati pemilihan cermin hiasan dinding sebagai pelengkap dekorasi, ruang lobi, lounge pejabat dan gimnasium semakin ‘trending.’

“Aspek penggunaan cermin bagi menghias sesuatu sudut secara fizikal saya lihat ia lebih praktikal dalam memberi ilusi ruang luas berbanding penggunaan kaedah dekorasi lain seperti kertas dinding atau cat bertekstur semata-mata.

“Selain itu, ia mampu menarik tumpuan kepada sudut diletakkan dalam pada masa sama menonjolkan cita rasa, gaya mahupun pesona ruang tanpa mengira jenis ruang dihias.

“Malah, selain menarik untuk dipandang, kalau ‘kena’ dengan cara dan sudutnya ia boleh memberi kesan pencahayaan semula jadi selain mencipta ‘helah’ apabila refleksi cermin berhasil memberi kesan dramatik,” katanya.

Meskipun tidak menghasilkan rekaan sendiri dan membekalkan cermin mengikut permintaan pelanggan, kata Jannah, tugas sebagai pusat sehenti bagi produk cermin hiasan dinding bukan sesuatu yang mudah.

“Sebagai pusat sehenti, kami menyediakan platform untuk pelanggan mendapatkan cermin siap dalam senarai katalog. Tapi, ada yang menggeamri rekaan selain dari ditawarkan.

“Kepelbagaian variasi rekaan dari klasik, minimalis hingga glamor semua jenis tema cuba kami ketengahkan. Ia bagi memenuhi kepelbagaian genre atau konsep hiasan dalaman.

“Tidak kurang juga nilai tambah iaitu ciri futuristik di mana cermin dilengkapi lampu LED dan fungsi lain. Termasuk didatangkan dengan rak untuk kegunaan dalam bilik air atau mempunyai perincian seni seperti khat,” katanya.

Nurjannah juga tidak menafikan antara rekaan paling popular ialah koleksi cermin hiasan bersaiz besar kebanyakannya untuk ruang makan, ruang tamu dan laluan.

“Selain koleksi cermin berlampu LED untuk bilik air dan meja solek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 4:09 AM