TERIMA permintaan tinggi.
BOLEH diwarnakan mengikut cita rasa peribadi.
KAYU getah lebih tahan lasak.
MELALUI dua proses rawatan utama.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Menurut statistik Eksport Produk Perkayuan Utama dikeluarkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) sepanjang 2017, nilai eksport negara bagi industri perabot kayu menyumbang sebanyak RM8.1 bilion dengan 34.7 peratusan tertinggi.

Menerima pengiktirafan dunia, tiga negara pengimport terbesar perabot kayu buatan Malaysia adalah Amerika Syarikat, Jepun dan Australia.

Menariknya, perkembangan industri perabot berasaskan Hevea brasiliensis atau kayu getah Malaysia pula meraih perhatian negara berbeza seperti China dan Thailand.

Pengurus Operasi Impressive Transforms Sdn Bhd, Mohd Raffi Ngah Abdul Wahab mengakui, permintaan tempatan dan luar negara terhadap bekalan kayu getah tinggi berdasarkan trend terkini.

“Sejak dua dekad yang lalu, industri perabot tempatan sudah diiktiraf sebagai pengeluar dan pengeksport perabot berkualiti dan bertaraf dunia.

“Antara faktor kejayaan itu adalah pendekatan atau nilai strategi melalui reka bentuk asal yang menarik, jenama, identiti pelbagai fungsi dilakukan secara konsisten.

“Selain itu, tindakan memanfaatkan kemahiran teknologi, pengurusan moden dan aspek estetika dalam reka bentuk perabot menjadi rahsia kejayaan produk tempatan ke peringkat antarabangsa.

“Bagi memastikan pertumbuhan industri perabot tanah air berada pada tahap membanggakan, pemain lapangan ini perlu tampil dengan idea reka bentuk asal yang lebih segar dan menarik,” katanya ketika ditemui.

Jelasnya, sekitar 60 tahun lalu, kayu getah tidak dikenal pasti nilai atau kelebihannya dalam industri perabot, justeru kebanyakan kayu getah dieksport mentah ke luar negara.

Berkongsi kelebihan ditawarkan perabot kayu getah, Mohd Raffi berkata, kayu jenis ini lebih mesra alam, fleksibel dan tahan lasak.

Hasil daripada kriteria ini, kayu getah boleh menghasilkan perabot yang berkualiti tinggi dan tahan lama mencecah lebih 20 tahun.

Memiliki warna putih kekuningan dan boleh diwarnakan mengikut cita rasa peribadi, pereka bentuk ini turut menyifatkan pokok kayu getah berusia 25 tahun ke atas mempunyai kualiti terbaik bagi pembuatan perabot.

Antara rekaan perabot yang popular dihasilkan daripada Hevea brasiliensis adalah meja makan, katil dan almari kerana ia tahan lasak, sederhana keras serta mudah dibentuk.

Bagi memastikan ketahanan dalam pembuatan perabot kayu sederhana keras yang berkualiti tinggi, dua kaedah rawatan perlu dilaksanakan termasuk rawatan tekanan dan tanur pengeringan.

“Kayu getah perlu diproses dalam tempoh 24 jam. Pada peringkat pertama proses pengeringan kayu, papan basah akan dimasukkan dalam mesin rawatan tekanan bertujuan merawat dan melindungi kayu daripada serangan fungus serta serangga selama 45 minit.

“Bahan yang digunakan bagi proses rawatan ini adalah asid borik. Selepas dirawat, papan ini akan diasingkan mengikut kualiti.

“Kualiti dinilai berdasarkan ketebalan kayu, jaluran biru, cabang dalam kayu, kulit dan keretakan.

“Menerusi proses tanur pengeringan, papan yang dirawat disusun secara berjarak bagi memudahkan haba panas memasuki setiap ruang papan. Pemberat pula diletakkan ke atasnya bagi mengelakkan papan membengkok.

“Dua jenis tanur pengeringan digunakan iaitu Teknologi Bio-Organik dan konvensional. Kaedah konvensional menggunakan suhu pembakaran sekitar 80 darjah Celsius yang mengambil masa kira-kira lapan hingga 12 hari bergantung pada ketebalan kayu. Sementara bahan bakar digunakan adalah sayung dan habuk kayu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 2:12 PM