MEMPERLIHATKAN nilai estetika tersendiri.
BERPERANAN sebagai pangkin untuk berehat.
TURUT dijadikan anjung dengan teduhan menarik.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Ketika zaman Rom kuno, pergola adalah struktur kayu yang digunakan untuk tanaman anggur.

Perkataan pergola pula dikatakan berasal daripada bahasa Latin iaitu ‘pergula.’

Dalam perkembangannya, pergola membawa maksud semua struktur naungan atau peneduh yang ditambahkan pada bangunan atau rumah.

Binaan tiang baik kayu, besi atau simen bagi menyokong tumbuhan menjalar dipanggil pergola.

Peranan pergola bukan sekadar membantu membentuk susunan pokok menjalar menjadi sebahagian landskap diinginkan, malah ada kalanya ia menjadi pelengkap rekaan taman itu sendiri.

Tidak dinafikan struktur pergola dibina pada sudut tertentu boleh berubah fungsinya sama ada sebagai teduhan, pagar, laluan atau dinding pemisah.

Menurut Perunding dan Pengasas Ummie Garden dan Landskap Sharifah Sidah Syed Ali, elemen penting yang memberi kekuatan pada setiap pergola adalah pemilihan materialnya.

“Tidak dinafikan kebanyakan kita mencari pilihan lebih ekonomi hingga mengabaikan penilaian dari segi kualiti material pergola.

“Oleh itu, saya sentiasa sarankan supaya lebih memberi perhatian kepada aspek kualiti supaya tumbuhan menjalar dapat hidup subur seperti yang diinginkan.

“Kayu bermutu tinggi seperti belian dan jati lebih sesuai dalam memastikan pergola menjadi struktur landskap tidak mudah patah atau rosak hingga akhirnya menjejaskan tumbuhan.

“Ketika ini kayu masih menjadi pilihan popular sebagai material asas selain logam dan binaan simen. Sementara bagi tumbuhan menjalar yang sesuai diletakkan pada pokok boleh dipelbagaikan mengikut keinginan serta konsep diidamkan,” katanya.

Sharifah Sidah berkata, dulu bunga antara tanaman popular untuk diletakkan pada pergola, tapi trend hari ini sudah beralih kepada tumbuhan herba atau makanan pada struktur itu.

“Jika dulu pokok bunga kertas dilihat sesuai untuk menghiasi pergola berbentuk melengkung yang biasanya menjadi pintu gerbang taman.

“Namun kini, ramai gemar menempatkan pokok berbuah atau herba menjalar seperti anggur, markisa, sirih dan labu,” katanya.

Katanya, rekaan pergola turut dipengaruhi peredaran zaman apabila struktur itu direka terdiri daripada kombinasi kayu dan plastik membolehkan ia menjadi teduhan menarik di taman.

“Nilai estetika pergola yang diserikan dengan elemen tumbuhan menjalar, membuatkan ia turut berfungsi sebagai bumbung atau dinding.

“Tapi ada juga yang inginkan pergola kayu diubah suai menggunakan plastik atau gentian kaca warna-warni sebagai bumbung. Ia sesuatu yang berbeza.

“Bagaimanapun, anda perlu tahu konsep taman yang ingin diketengahkan supaya pergola itu menjadi pelengkapnya,” katanya ketika ditemui di Ummie Garden dan Landskap di Kepala Batas, Pulau Pinang.

Malah dia berkata, ruang terhad seperti kawasan perumahan, biasanya disarankan supaya membina penambahan yang menyerupai anjung sebagai ruang pelbagai fungsi, selain struktur seperti pagar yang membantu mewujudkan ruang peribadi antara kediaman anda dengan jiran.

“Kelebihan lain ialah trek menggunakan struktur pergola yang menjadi laluan menarik selain hiasan taman.

“Jadi bukan isu luas atau sempit sebaliknya sejauh mana anda boleh memanfaatkan rekaan pergola untuk mengindahkan taman,” katanya.

Berkenaan pergola yang dihasilkan syarikatnya Sharifah Sidah berkata saiz standard antara 2.4 x 2.4 meter (m) hingga 3 x 3 m.

Bagi kerja penyelenggaraan pergola kayu, antara tip dikongsinya ialah cat dan syelek struktur itu yang boleh membantu ia tahan lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 4:55 AM