KOMBINASI warna kontra yang menyerlah.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my

Lari daripada imej sarat, transformasi seni reka dalaman dizahirkan menerusi konsep Scandinavia menjadi misi utama suri rumah berusia 40 tahun ini.

Simbolik kepada ‘penghijrahan’ dekorasi Sharifah Roziliana Mohd Ariffin, konsep segar dan ringkas ini seakan-akan memberi nafas baru buat kediaman yang dihuninya sejak tiga tahun lalu.

Menetap di rumah teres dua tingkat, wanita mesra disapa Ayu ini menyifatkan ruang dalaman yang luas dimilikinya bukanlah alasan untuk kembali ‘serabut’ dengan hiasan pelbagai motif.


SHARIFAH Roziliana.

“Sebelum ini, saya menampilkan konsep Inggeris kotej yang sarat dengan bunga-bungaan seperti mawar.

“Malah bagi menonjolkan imej itu, kebanyakan perabot dan hiasan memiliki rona dan motif yang hampir sama.

“Perubahan drastik 180 darjah ini, menjadi satu perkara yang baru kepada saya dalam mencari imej lebih ringkas, santai dan jauh lebih ringkas sama ada penggunaan atau susun atur perabot.

“Bagi saya, konsep Scandinavia ini mempunyai keunikan tersendiri apabila elemen utama tertumpu kepada material papan lapis, plastik, aluminium bersalut mahupun keluli mampat.

“Menariknya, susun atur perabot Scandinavia ini memberi kesan besar terhadap sesebuah ruang kerana ia lebih ringkas, tidak terlalu berat sebaliknya mengikut keperluan saja.

“Ini memberi peluang kepada saya untuk menggabungkan beberapa jenis perabot di ruang yang sama,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Setia Alam, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.


KERUSI malas digabung bersama bantal hiasan berbentuk tiga segi.

Konsep Scandinavia tidak lari daripada pemilihan skema warna yang natural, terang atau pastel sambil diselangi rona putih bagi menyerlahkan seri ruang.

Bagi ruang tumpuan keluarga, Sharifah Roziliana bijak memilih permainan warna kontra yang menarik pandangan.

Menjadikan warna bumi sebagai asas, hijau pelbagai skema melahirkan ketenangan sebaik melangkah masuk kediaman wanita ini.

Memilih warna hijau lumut gelap bagi fabrik sofa adalah idea tepat bagi penataan ruang utama ini.

Lebih menarik, susunan bantal kecil merah jambu, kelabu dan bermotif kaktus menghiasi sofa menjadikannya lebih berwarna-warni.


SUDUT kreatif dengan susunan ringkas.

Demi mengelakkan ‘tenggelamnya’ permaidani kelabu, kedudukan meja kopi bersaiz sederhana berwarna coklat terang menaikkan seri.

Mengurangkan penguasaan warna natural hingga mewujudkan atmosfera kelam, sepasang ‘wing chair’ kuning dijadikan penyelamat, sekali gus bertindak menceriakan sudut.

Tidak lengkap tanpa elemen putih, meja laci diletakkan di antara ‘wing chair’ sementara teknik pencahayaan juga menyerlahkan keistimewaan.

Beralih ke ruang menonton televisyen, penulis tertarik dengan gaya tatahias sentuhan Sharifah Roziliana apabila menjadikan tangga kayu bersama rak aluminium kuning sebagai hiasan bersebelahan televisyen.


HIASAN dinding yang menarik.

Menepati identiti Scandinavia, dua elemen utama iaitu tangga kayu dan rak kuning, kuantiti aksesori dihadkan bagi mendedahkan tarikan dua material berkenaan.

Menyingkap ruang privasi keluarga, bilik tidur utama menggunakan warna berbeza berbanding ruang tamu apabila menjadikan rona merah jambu, biru lembut dan putih tema utama.

Menyampaikan isi tersirat menerusi rona romantik itu, Sharifah Roziliana turut mewujudkan sudut kreatif buat dirinya mencari idea dekorasi baru. Memasuki bilik tidur sang puteri, mood ceria menguasai pandangan mata apabila susunan kemas pelbagai figura kartun berwarna-warni dan lebih ceria.


BILIK tidur anak nampak ceria dengan susunan patung berwarna-warni.

Menurut Sharifah Roziliana, konsep pilihannya mendapat sokongan positif suami, tambahan pula ia tidak kelihatan terlalu klasik mahupun nostalgia.

“Barangan pelengkap konsep Scandinavia sebenarnya tidak terlalu mahal. Sewajarnya kita bijak dalam membuat pilihan yang bersesuaian dengan cita rasa diri.

“Selain itu, kita tidak perlu membeli perabot set berangkai sebaliknya bermain dengan pelbagai jenis perabot, saya dapat berkarya lebih kreatif.

“Kebanyakan perabot dan aksesori saya dapatkan di kedai, selebihnya dibeli secara atas talian terutama barangan unik yang hanya terdapat di luar negara seperti Australia,” katanya yang lebih suka bermain dengan susunan imaginasinya dalam dekorasi.


BILIK tidur utama dengan suntikan mesej romantis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 7:47 AM