Muhamad Adli Salihin Samsudin

Salam estetika semua. Kali ini saya ingin mengupas berkenaan keindahan tanaman penutup bumi yang sering digunakan dalam komponen utama untuk menyerikan kawasan taman. Malah tanaman tutup bumi juga memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu memelihara alam sekitar.

Ia turut membantu mengurangkan berlakunya masalah hakisan tanah jika ditanam di kawasan lereng bukit kerana tanaman tutup bumi mempunyai akar yang kuat dalam memegang partikel tanah. Selain membaiki struktur tanah secara semula jadi. Pada masa sama tanaman itu juga berupaya mengurangkan pencemaran udara dengan menyerap segala kotoran dan debu di udara.

Warna bunga dan daunnya yang pelbagai antara keunikan tanaman itu. Ini membuatkan tanaman itu kelihatan menarik dan terserlah nilai estetikanya jika ditanam di kawasan yang luas atau digabungkan dengan tanaman pelbagai warna.

Visual landskapnya bagaikan berada di hamparan tanah yang bercorak dan berwarna-warni. Dari segi ketinggian, tanaman tutup bumi mempunyai ketinggian purata maksimum hingga 0.3 meter menjadikannya antara tanaman paling rendah dan paling akhir ditanam.

Bagaimanapun, serakan akarnya yang merayap secara mendatar, kuat dan mantap, sekali gus membolehkannya bertindak mengawal pertumbuhan rumpai yang boleh mencacatkan pemandangan di kawasan taman. Tanaman tutup bumi bukan hanya ditanam di kawasan taman semata-mata. Ia turut ditanam di kawasan perladangan terutamanya ladang kelapa sawit.

Antara tanaman tutup bumi yang biasa digunakan dalam segmen landskap negara untuk kawasan terbuka, pinggir jalan dan lereng bukit adalah kekacang pintoi (Arachis pintoi), creeping daisy (Wedelia trilobata), red Ivy (Hemigraphis alternata), ros Jepun (Portulaca grandiflora) dan Brazilian Red (Althenanthera dentata).

Sementara itu, kerja penyelenggaraan mestilah dilakukan dengan teknik yang betul dan konsisten. Jika tidak dilakukan dengan kaedah yang betul, kawasan ditanam dengan tanaman penutup bumi ini mungkin dipenuhi rumpai liar yang mendominasi dan mengganggu pertumbuhan tanaman itu.

Ini sedikit sebanyak boleh mencacatkan pemandangan. Namun fungsi tanaman itu yang unik dan keadaan morfologinya yang menarik, menjadikan ia sebagai satu kemestian dalam aktiviti landskap di sekeliling kita.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 7:36 AM