SAIZ pohon berbeza mengikut fungsi ruang.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Pengaruh rekaan idea penataan yang menjadikan perabot putih sebagai elemen utama antara trend kebanyakan pemilik kediaman di negara ini.

Ini bermakna antara padanan sesuai bagi menyerikan keindahan ruang berlatarkan warna itu adalah pokok hiasan hijau.

Situasi itu mendorong pemilik kediaman hari ini untuk lebih selesa menggunakan pokok pisang atau ada segelintir menggelarkan pokok hiasan berkenaan sebagai ‘sky bird.’

Pengasas Abylla Home Decor, Nabillah Hamzah menyifatkan pokok hiasan hijau sesuai untuk pelbagai ruang sama ada di ruang tamu, balkoni, bilik air atau sudut tertentu.

“Bagi mereka yang gemarkan potongan pokok tinggi, bolehlah meletakkannya di sudut kosong atau balkoni.

“Meskipun harganya agak tinggi iaitu mencecah lebih RM300, namun kebanyakan pemilik rumah masih sanggup berbelanja besar untuk menghiasi ruang kediaman mereka dengan pokok berkenaan.

“Bagi mereka yang mempunyai bajet lebih rendah, pokok jenis ‘fiddle Leaf Fig’ antara pilihan terbaik.

“Malah kini terdapat pilihan pasu atau bekas sesuai dalam membantu menyerlahkan lagi karakter pohon hijau terbabit.

“Selain pohon hijau, gubahan bunga orkid juga mendapat permintaan menggalakkan peminat dekorasi hari ini,” katanya.


MENYERLAHKAN ruang kosong.

Gubahan bunga orkid pula diletakkan berhampiran laluan utama kerana ia menambah seri suasana dengan warna ceria seperti merah jambu, ungu atau kuning.

“Tambahan pula keistimewaan material bunga hiasan kini tampak menyerupai bunga sebenar membuatkan ruang dalaman lebih ‘hidup.’

“Pada masa sama gubahan orkid tiruan juga boleh memberikan visual lebih eksklusif kepada ruang meskipun menggunakan perabot yang murah,” katanya.

Sementara itu, peminat pokok hiasan Farhana Abdullah berkata, bunga hiasan tiruan mudah dijaga selain kerja mengalih kedudukannya jauh lebih mudah berbanding bunga sebenar.

“Pokok tiruan ini sesuai sebagai hiasan dalam rumah terutama yang mempunyai elemen hijau kerana menyuntik suasana santai kepada penghuninya.

“Ditambah pula dengan rona orkid terang, suasana rumah suram bertukar menjadi ceria.

“Malah pokok hiasan kini boleh didapati dalam aneka saiz dan bentuk sesuai untuk pelbagai ruang.

“Saya menggunakan bunga hiasan seperti daun keladi umpamanya untuk hiasan di bilik air dan pada rak di dapur,” katanya.


ORKID menyerlahkan ruang terhad.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 7:30 AM