AROMA kopi turut berfungsi menyerap bau.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@yahoo.com

Bau sampah, hanyir muntah dan cat mendatangkan rasa kurang selesa buat penghuni kediaman.

Kadangkala bau ini membuatkan kediaman bukan lagi ruang selesa untuk berehat.

Dalam usaha menyingkirkan semua bau, pemilik kediaman ada kalanya terpaksa mengeluarkan belanja tinggi untuk membeli produk wangian bagi mengatasi masalah berkenaan.

Kali ini penulis ingin berkongsi tip yang boleh dicuba bagi menyingkirkan bau kurang selesa dengan cara alami atau menggunakan bahan sedia ada di rumah.

Cuka

Cuka yang dicampur dengan air boleh meneutralkan bau makanan pada senduk kayu. Caranya ialah dengan merendam peralatan dapur diperbuat daripada kayu ke dalam air yang dicampur cuka untuk beberapa ketika. Kemudian cuci seperti biasa dengan air sabun dan bilas. Cuka juga sesuai untuk menghilangkan bau asap rokok. Isikan cuka makan ke dalam beberapa mangkuk dan letakkan di ruang yang berbau asap rokok selama semalaman. Keesokan hari, bau berkenaan pasti hilang.


CUKA membantu menghilangkan bau asap rokok.

Serbuk penaik

Serbuk penaik boleh menyerap bau kurang enak di dalam peti ais. Caranya letakkan sekotak serbuk penaik itu di rak kedua. Selain bau kurang enak di peti ais, serbuk penaik itu mampu menghilangkan bau asap rokok. Anda boleh lakukan kaedah sama dengan meletakkan serbuk berkenaan di ruang yang terkena bau asap rokok.

Bawang

Bawang boleh digunakan untuk menyerap bau ‘tajam’ cat. Anda hanya perlu letakkan mangkuk yang mengandungi bawang Bombay yang dibelah dua dan direndam air di ruang berkenaan.

Ada juga petua menggantungkan bawang putih pada kipas lalu dihalakan secara langsung pada dinding baru dicat. Selain bawang, kaedah menggunakan air masin (bergaram) juga antara yang boleh dicuba.

Hampas kopi dan teh

Kopi dan teh mempunyai aroma menyenangkan. Tidak hairanlah teh boleh ‘melenyapkan’ bau hamis pada kuali ketika menggoreng. Rebus hampas teh dalam periuk atau kuali yang berbau hamis itu kira-kira 20 minit.

Kopi pula antara bahan yang boleh digunakan untuk meneutralkan bau hapak dalam kabinet. Selain itu, arang juga sesuai menggantikan kopi.


HAMPAS teh mampu ‘melenyapkan’ bau hamis pada kuali.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 7:50 AM