PALMA botol.
Muhamad Adli Salihin Samsudin

Salam estetika kepada pembaca ruangan ini. Minggu ini, saya ingin berkongsi informasi berkenaan salah satu pengkelasan jenis tanaman hiasan yang biasa digunakan dalam menghasilkan taman menarik. Tanaman hiasan itu bukan sekadar pelengkap bagi penghasilan taman, malah antara kombinasi tanaman yang menjadi kemestian dalam seni reka bentuk taman. Ini kerana, keunikan bentuk dan karakternya juga menjadikan tanaman dari jenis ini begitu popular serta banyak digunakan.

Tanaman hiasan dimaksudkan adalah daripada kategori palma. Dari segi pengkelasannya, palma berada dalam famili Arecaceae. Palma sering dikaitkan sebagai tanaman hiasan ‘mewah’ kerana harganya yang mahal berdasarkan spesies dan saiz. Ada yang menggelarnya pokok pinang, pinang hiasan dan kelapa hiasan.

Ada pelbagai jenis spesies palma di negara kita. Sama ada digunakan sebagai tanaman hiasan taman atau ditanam untuk segmen perindustrian utama seperti pokok kelapa (Cocos nucifera) dan pokok kelapa sawit (Elaeis guaineensis). Dari segi morfologi, palma hiasan ini mempunyai tiga segmen iaitu batang, upih dan pelepah.


KEHIJAUAN persekitaran turut disokong palma diraja.

Namun, agak sukar untuk seseorang itu mengecam jenis palma yang hendak digunakan kerana bentuk batang bagi kebanyakan tanaman ini adalah sama. Caranya mudah saja iaitu dengan meneliti keseluruhan bentuk pelepah dan daunnya. Perbezaannya sangat ketara pada setiap spesies. Pada masa sama terdapat juga perbezaan dari segi warna batang yang kita boleh dikenal pasti secara langsung. Bagaimanapun, palma hiasan boleh ditanam di pinggiran jalan raya, taman awam, kawasan perumahan, pusat peranginan dan premis perniagaan. Ia boleh digabungkan dengan tanaman hiasan lain bagi menghasilkan penataan landskap dan komposisi yang menarik.

Antara palma hiasan yang popular ialah palma diraja (Roystonea regia), palma ekor musang (Wodyetia bifurcata), palma serdang (Livistonia rotundifolia), palma Manila (Vietchia merrillii), pinang makan (Areca catechu), palma merah (Cyrtotachys renda) dan palma botol (Hyphorbe lagenicaulis). Beberapa aspek penting perlu diambil kira dalam memastikan palma yang ditanam kekal subur dan menarik iaitu pembajaan serta kawalan serangan perosak terutamanya kumbang. Kumbang biasanya mengorek batang palma itu dan makan pucuk muda yang berbentuk seperti lembing di tengah bahagian pelepah daunnya itu. Jika tidak dikawal, ia boleh mengakibatkan tanaman rosak dan mati.

Kawalan perosak dan penyakit untuk tanaman palma mestilah dilakukan dengan sistematik bagi mengelakkan serangan merebak ke bahagian tanaman hiasan yang lain. Disebabkan tanaman palma ini mempunyai keunikan dan karakter tersendiri, ia berupaya menjadi pokok teduhan di samping menjadi komponen yang sangat penting dalam menghasilkan taman yang menarik dan menghasilkan impak estetika luar biasa.


KEINDAHAN landskap tampil dalam variasi tersendiri apabila adanya palma merah ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 7:46 AM