Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Ruang yang sempit tidak membataskan idea untuk menampilkan seni taman. Apatah lagi usaha dan kreativiti pada ruang terhad berupaya menyerlahkan identiti tersendiri.

Menerusi program hijau Zon Bersih Mini anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), penghuni perumahan Taman Tanjung Api-Api, Seksyen 30, Shah Alam, Selangor memanfaatkan sepenuhnya ruang sempit sekitar kawasan kediaman mereka.

Hasilnya, suasana persekitaran kawasan perumahan itu menawarkan suasana hijau, semula jadi dan mendamaikan.

Bukan itu saja, di kawasan sekitarnya turut dihiasi pelbagai pokok bunga hiasan seperti ros Jepun yang cukup mengasyikkan pemandangan.


ANTARA hiasan dekorasi taman yang menarik dihasilkan oleh penduduk Taman Tanjung Api-Api.

Malah rimbunan sayur-sayuran, herba dan pokok buah-buahan secara langsung memperindahkan landskap kawasan perumahan itu.

Biro Pembangunan Kebun Komuniti dan Landskap Taman Tanjung Api-Api Herman Syah Abdul Rahim berkata, pihaknya turut memanfaatkan parit monsun di perumahan berkenaan dengan menjadikannya kolam ternakan ikan.

“Parit monsun dibersihkan dan airnya dirawat untuk memelihara ikan seperti talapia, sepat, keli, belut, puyu dan haruan. Dalam kolam juga dibiakkan pokok lumut untuk ikan mencari makan.


PARIT monsun yang dirawat untuk kolam ikan dihias dengan barangan kitar semula.

“Tebing parit monsun tidak dibiarkan kosong, sebaliknya kami tanam pokok bunga untuk mengindahkan kolam ternakan ikan. Bunga yang ditanam juga bertujuan menjadi tempat lebah yang kami pelihara menghisap madu.

“Selain itu, kami turut memelihara beberapa spesies burung dan membina sangkar yang diinspirasikan daripada rumah lama Selangor. Terdapat tiga rekaan berlainan rumah lama Selangor bertujuan mendidik generasi baru,” katanya.


SANGKAR burung diinspirasi daripada rumah lama Selangor.

Herman Syah berkata, bagi menjimatkan kos pihaknya menggunakan barangan kitar semula untuk memperindahkan kawasan kebun komuniti berkenaan.

“Barang terbuang seperti botol plastik dan tin diguna semula untuk dijadikan sebagai pasu tanaman sayur serta herba. Selain disusun atas tanah, ada juga yang digantung pada tiang dan pagar.

“Tayar lama turut dikitar dijadikan pasu bagi pokok bunga di tebing parit monsun. Kami mengecat tayar ini dengan warna terang supaya kelihatan menarik walaupun dipandang dari jauh.

“Penggunaan bahan kitar semula ini dianggap kaedah paling sesuai untuk bercucuk tanam terutama di kawasan kediaman yang mempunyai ruang terhad,” katanya.


LAMAN herba diperindahkan dengan laluan pejalan kaki daripada kerikil dan buluh.

Katanya, projek itu bukan saja membantu meringankan ekonomi penghuni perumahan berkenaan apabila hasilnya dapat dinikmati sekali gus membantu mengurangkan kos perbelanjaan dapur.

Pada masa sama mencorakkan reka bentuk landskap dalam suasana ceria di kawasan sekitar.

“Walaupun masing-masing mempunyai kerja tetap, kami masih boleh mengusahakan kebun komuniti kerana tugasan dapat dibahagikan dengan baik.

Jadual pengurusan dan penyelenggaraan bulanan Kebun Komuniti disediakan bagi membantu penduduk sekitar melaksanakan tanggungjawab mereka.


HIASAN burung nuri daripada tayar terpakai.

“Daripada kawasan itu terbiar semak, lebih baik kita bersama-sama berbudi kepada tanah mengusahakannya. Kebun komuniti banyak faedahnya apabila memudahkan penduduk mendapatkan bekalan sayur-sayuran segar, menguatkan semangat kejiranan dan berupaya menjana pendapatan untuk kegiatan masyarakat.

“Misalnya, bayam yang ditanam dijadikan keropok bayam sebelum dijual kepada komuniti luar, sementara ikan yang dipelihara dalam parit monsun pula dijadikan pekasam,” katanya.


DEWAN daripada kayu palet untuk kegiatan masyarakat.

Beliau berkata, program hijau itu berjaya menjadi platform kepada komuniti setempat untuk berekreasi dan berkomunikasi antara satu sama lain, di samping melahirkan minat masyarakat di taman perumahan terhadap bidang pertanian dan ternakan.

“Usaha ini memberi kepuasan kepada kami selain dapat mencantikkan kawasan rumah. Malah, kami turut membina dewan daripada kayu palet untuk menjalankan kegiatan masyarakat.

“Turut disediakan ruang membaca untuk kanak-kanak dan kerusi beristirahat kepada penghuni melepas lelah sebaik berkebun,” katanya.


RUANG membaca daripada kayu pelet untuk galak kanak-kanak gemar membaca.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 2:48 AM