BILIK anak pasti comel dengan rak daripada susunan gendang kecil.
Susunan Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Muzik dan masyarakat tidak dapat dipisahkan kerana ia memberi ketenangan jiwa kepada seseorang. Ini kerana jiwa seseorang akan tenteram terutama apabila mendengar muzik kegemarannya.

Sebenarnya, muzik bukan saja menjadi halwa telinga, malah mampu menawarkan sesuatu yang istimewa kepada setiap orang khususnya sentuhan dekorasi kediaman.

Kreativiti dalam mencipta ruang menjadikan muzik sebagai santapan mata yang turut memberikan kesan tenang dan selesa.

Caranya, gunakan perabot dan dekorasi berinspirasikan muzik. Dram atau gendang antara alat muzik yang paling mudah dijadikan perabot.

Umpamanya gendang kecil yang sesuai boleh dijadikan rak gantung dalam bilik kanak-kanak.

Selain rak, gendang juga boleh dijadikan meja kopi atau meja katil. Namun, penting untuk anda ambil tahu setiap material alat muzik itu.


MEJA daripada gendang kayu lama sesuai untuk konsep vintaj.

Gendang kayu lama antaranya sesuai dijadikan meja untuk bilik berkonsep vintaj.

Malah gendang juga mampu memberi kesan iluminasi kepada kediaman apabila ia dijadikan lampu.

Sudut bilik tidur anda pula pasti kelihatan lain daripada yang lain dengan lampu berdiri berasaskan gendang.

Lampu daripada gendang juga boleh digantung untuk memberikan pencahayaan menyeluruh kepada ruang.

Sementara itu, meja kopi berlatarkan piring hitam lama juga bukan sesuatu yang kita sering lihat dan menjadikan rekaan itu elegan dan praktikal sekali gus dikagumi tetamu.

Inspirasi lain yang membuatkan mata tidak jemu memandang adalah rak majalah daripada piring hitam lama ini.

Guna empat atau lima piring hitam dan dipanaskan pada suhu tertentu untuk memudahkan ia dilentur bagi membentuk ruang menempatkan majalah.

Susun piring hitam yang dilipat separa itu dengan melekatkan antara satu sama lain.

Kembangkan imaginasi anda dan jadikan piring hitam lama itu sebagai jam dinding.

Apa yang anda perlukan adalah pen, gunting, gam dan mekanisme jam (boleh guna jam loceng).

Bentukkan piring hitam itu menjadi jam mengikut kehendak anda. Anda juga boleh menampal butang atau hiasan berkilat sebagai aksesori.


MEJA biasa jadi luar biasa dengan kemasan nota muzik.

Helaian nota muzik juga boleh dijadikan dekorasi yang menarik dan unik.

Tampal ia pada permukaan meja atau buat ukiran nota muzik pada permukaan meja kayu itu sebelum disapu varnis untuk mengekalkan dan mengilatkan perabot.

Tidak dinafikan gitar juga antara instrumen muzik paling popular.

Jika anda memiliki gitar rosak, jangan buang sebaliknya boleh dijadikan rak yang menarik untuk menyimpan barangan peribadi.

Bukan saja rak, gitar yang tidak boleh digunakan lagi juga sesuai sebagai barangan hiasan indah di rumah.

Gunakan pecahan jubin, butang, manik, barang kemas lama atau apa saja yang terfikir di minda dan tampal semuanya pada permukaan gitar itu.

Gantung pada dinding sebagai hiasan unik hasil kreativiti anda.


MANFAAT gitar rosak jadi perabot unik.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 2:31 AM