LAMPU pendan rekaan sfera penuhi konsep planet.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Siling kediaman yang tinggi boleh menambah kesempurnaan pengudaraan kepada ruang, namun pada masa sama ia memberikan cabaran ketika pemasangan lampu.

Kini terdapat pelbagai panduan dekorasi lampu untuk ruang dengan siling tinggi namun pemilihan model lampu bergantung kepada hiasan dalaman ruang berkenaan.

Memberi pencahayaan kepada ruang bersiling tinggi dengan jarak dari lantai lazimnya lebih tiga meter secara berkesan bergantung kepada daya kreativiti dan pendekatan pelbagai tingkat. Bagaimanapun, penggunaan mentol LED antara yang terbaik sebagai lampu siling tinggi.

Menurut perunding deCasa Lighting & Decor Enterprise Nick Tan, siling tinggi lebih baik dipasang lampu pendan atau lampu yang tergantung sama ada tunggal atau kluster kerana jarak lampu dengan siling serta lantai boleh diselaraskan.

Berbanding lampu lekap pada siling, ia membuatkan sesuatu ruang terlebih pencahayaan umpama berada dalam stadium yang sarat dengan lampu limpah.

Sementara lampu pada kedudukan yang lebih rendah seperti pada paras meja menjadikan siling kelihatan lebih tinggi, gelap dan suram.

“Lampu pendan didatangkan dalam pelbagai gaya, warna dan material tertentu.

“Lampu pendan kluster mampu menyampaikan gaya dekorasi yang lebih baik untuk ruang siling tinggi berbanding lampu lekap.

“Lebih-lebih lagi pada ruang dengan gaya kontemporari atau dewan seperti ruang perjumpaan serta ruang makan,” katanya.


WARNA lampu kuning atau putih main peranan pencahayaan ruang bersiling tinggi.

Nick berkata, bagi mendapatkan lampu pendan yang sesuai, antara perkara perlu dipertimbangkan terlebih dulu adalah dekorasi dan gaya keseluruhan kediaman.

Ini kerana, ketika ini terdapat banyak model lampu pendan dengan pelbagai rekaan yang menarik hingga membuatkan pemilik buntu untuk memilih.

“Anda boleh pilih warna lampu pendan yang sama atau sedondon dengan ruang atau warna berani yang menampilkan ton bertentangan dengan ruang berkenaan.

“Lampu pendan tunggal yang besar kelihatan lebih menonjol, tetapi jangan terlepas pandang pilihan lampu pendan yang lebih kecil kerana gugusan lampu kecil pun mampu menyerlahkan ruang.

“Jarak lampu pendan digantung juga perlu diambil kira dari lantai atau permukaan meja kerana bukan sekadar membuatkan ruang semakin menarik, malah cahaya yang dihasilkan memberikan kesan diinginkan.

“Namun, perlu dipastikan lampu pendan yang digantung itu tidak menyebabkan halangan visual dalam ruang berkenaan,” katanya.

Katanya, lampu pendan moden kontemporari loft sesuai digantung dalam ruang yang menempatkan meja panjang seperti kawasan bar, dapur terbuka, ruang makan atau bilik pameran. Bagi ruang sebegini, gunakan lampu dengan cahaya kuning (warm white) untuk mewujudkan suasana santai dan selesa.

“Lampu pendan moden rekaan sfera atau bebola berkilau sesuai digantung pada siling tinggi berhampiran tangga atau ruang tamu. Guna warna lampu cahaya kuning atau putih (cahaya siang) untuk kesan yang fleksibel. Mereka yang gemarkan ruang berkonsep planet memilih lampu model sebegini kerana boleh gabung pelbagai saiz diameter.

“Satu lagi lampu pendan moden dengan rekaan burung camar sesuai dipasang pada ruang tamu, sudut bilik tidur dan balkoni. Guna lampu dengan cahaya kuning pasti mencuri tumpuan seolah-olah berada di tepian pantai,” katanya.


LAMPU pendan rekaan burung camar beri kelainan.

Tema hiasan dengan dekorasi dinding bata untuk menampilkan ruang yang menarik dan unik, Nick berkata penggunaan lampu pendan moden loft dengan rekaan roda atau rim memberi tambah nilai kepada ruangan berkonsep industri itu.

“Rekaan roda ini boleh guna sama ada lampu cahaya kuning atau putih, di samping memasangnya secara tunggal atau kluster iaitu tiga lampu pendan yang disusun melintang atau menegak. Ramai yang menggunakan lampu pendan model ini untuk ruang makan, sudut kediaman, garaj rumah dan gazebo.

“Anda juga boleh bermain dengan kesan pencahayaan dengan hanya menggantung gugusan lampu pendan rekaan yang sama pada ketinggian berbeza,” katanya yang menggunakan platform beli-belah dalam talian shopee.com.my atau Shopee sebagai medium jualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 January 2018 @ 2:01 AM