POKOK hujan-hujan turut menawarkan visual yang menarik.
Muhamad Adli Salihin Samsudin

Salam estetika kepada pembaca semua. Terdapat pelbagai kategori tanaman hiasan yang biasanya digunakan dalam industri landskap di negara kita. Antaranya pokok teduhan, renek, tanaman penutup bumi dan rumput hiasan. Masing-masing mempunyai keunikan tersendiri dari segi bentuk keseluruhan, daun, warna bunga dan fungsinya.

Pada minggu ini, saya ingin berkongsi berkenaan tanaman hiasan dari kategori pokok teduhan. Pokok teduhan antara komponen utama yang mesti ada dalam menghasilkan sesuatu projek landskap di negara kita. Ia turut dikenali sebagai pokok naungan, mempunyai karakter yang berbeza antara satu sama lain.

Selain dari mempunyai sifat pembesaran berbeza, setiap pokok teduhan juga menghasilkan bunga yang pelbagai bentuk dan warna menarik. Ada juga yang menghasilkan haruman menarik perhatian. Hebat bukan?

Pokok teduhan juga biasanya ditanam untuk memberi keceriaan kepada sesuatu kawasan landskap di sekitar kita. Ia ditanam di kawasan pinggiran jalan, perumahan, komersil, taman awam dan perindustrian, bangunan pejabat atau sekolah. Saiz yang tinggi dan mempunyai silara (kanopi) yang besar, kebiasaannya menjadikan pokok teduhan ini sebagai tempat untuk berteduh daripada terik mentari dan hujan.

Selain menjadi teduhan atau naungan, ia turut berfungsi sebagai mengimbangi suhu dan iklim sesuatu tempat, menapis haba, menyumbangkan oksigen secara semula jadi dan menyerap gas pencemar seperti karbon dioksida melalui proses fotosintesis, penampan angin yang kuat terutama di kawasan lebuh raya dan dapat mengawal hakisan tanah.


DAUN pokok kasai ini memberikan impak landskap sejuk mata memandang.

Malah pokok teduhan juga menyerap pantulan cahaya yang terhasil daripada pantulan bangunan pencakar langit. Keindahan bunga atau daun pokok teduhan pula mampu memberikan impak landskap sejuk mata memandang pada kawasan tertentu.

Antara pokok teduhan yang biasa ditanam di negara kita bagi tujuan landskap termasuk pokok hujan-hujan (Albizia saman), semarak api (Delonix regia), jemerlang laut (Peltophorum pterocarpum), angsana (Pterocarpus indicus), tekoma (Tabebuaia rosea), rajah kayu (Cassia fistula), asam jawa (Tamarindus indica), kasai (Pometia pinnata) dan tembusu (Fagraea fragrans).

Namun, memandangkan setiap pokok teduhan ini mempunyai karakter pembesaran berbeza, selain pemilihan spesies yang betul dan bersesuaian, lokasi penanaman juga bergantung kepada kesesuaian spesiesnya. Antara faktor perlu diambil kira termasuk keluasan sesuatu kawasan yang hendak ditanam dan jarak tanaman dengan tanaman lain juga seharusnya betul.

Aktiviti penyelenggaraan pada pokok teduhan ini seperti pembajaan, pemangkasan dan kawalan penyakit serta serangga perosak, perlu dilakukan secara betul, berkala dan sistematik bagi memastikan pokok teduhan yang ditanam terus berada dalam keadaan subur, menarik dan tahan lama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2018 @ 8:18 AM