KOTAK hiasan antara barangan deko popular di Syria.
RAOUF sedang membuat lakaran.
PERABOT bermotif bunga.
Nurul Husna Mahmud
Nurul_husna@hmetro.com.my


Seni bina Islam mempunyai nilai estetika tersendiri apabila menekankan penggunaan geometri, kaligrafi dan motif yang menampilkan flora atau fauna sebagai perincian pada seni hiasan dalaman.

Daripada struktur, kedudukan setiap bahagian hinggalah penggunaan warna pada perincian, seni bina Islam menekankan semua aspek yang perlu mematuhi syariah.

Perunding hiasan dalaman Damascene Art, Ziad Baydoun menyifatkan seni hiasan dalaman sebenarnya sangat praktikal.

Beliau turut mengambil contoh susun atur rumah di negara asalnya iaitu Damsyik, Syria apabila ruang asasnya meliputi laman dan ruang umum iaitu salemleik serta haremleik khusus untuk wanita.

“Seni bina Islam bukan sekadar seni sebaliknya mempunyai kebaikan dan hikmah tersendiri pada setiap motif serta konsep yang diperkenalkan sejak ratusan tahun.

“Selain dengan Pencipta dan patuh syariah, setiap konsep diperkenalkan mempunyai makna tersendiri.

“Sebenarnya seni bina Islam bukanlah bersifat eksklusif, sebaliknya konsepnya lebih praktikal. Ramai beranggapan seni hiasan Islam hanya boleh dinikmati atau sesuai untuk bangunan seperti masjid mahupun pusat pembelajaran agama semata-mata. Sebenarnya kediaman juga boleh dizahirkan menerusi konsep ini pada ruang tertentu.

“Umpamanya, pemilik perlu memastikan kedudukan bilik air tidak menghadap kiblat.

“Selain itu ruang peribadi haruslah terlindung dan selesa seperti mana susun atur ruang di rumah penduduk asal di Syria yang mana kami mempunyai ruang khusus iaitu salemleik sebagai ruang umum sementara haremleik untuk wanita atau mahram keluarganya saja,” katanya.

Beralih kepada perincian pula Ziad berkata, semestinya penggunaan geometri dan bunga tertentu pada siling, dinding serta perabot di kediaman antara ciri biasa yang digunakan dalam seni bina Islam.

“Kembali kepada ruang wanita haremleik, penggunaan motif seperti bunga melambangkan kaum itu sendiri antaranya lili, melur dan teratai sering menjadi pilihan pada dekorasi ruang terbabit.

“Sementara motif geometri atau tulisan kaligrafi untuk nama dan ayat suci juga diletakkan pada ruang tamu dan bilik tidur.

“Tulisan khat digunakan biasanya nabati, khufi mahupun sulus. Ini penting untuk menyerlahkan cita rasa dan dilihat sebagai melambangkan personaliti pemilik kediaman itu sendiri,” katanya.

Tidak ketinggalan Ziad turut berkongsi berkenaan bingkisan seni tersohor warisan budaya negaranya iaitu ajami.

Seni itu merujuk kepada pembuatan kerja tangan menerusi penghasilan huruf Arab dan corak bunga tiga dimensi di atas kayu.

Ziad berkata, seni itu berasal ratusan tahun iaitu antara warisan seni Islam tinggalan zaman Ottoman yang cuba dipelihara olehnya.

Tambah Ziad, bapanya Abdul Raouf Baydoun antara artisan tersohor seni berkenaan menyifatkan seni itu wajar dipelihara kerana perincian menggabungkan semua elemen seni estetika Islam dalam satu karya.

“Bagi mereka yang mempunyai peruntukan tinggi dalam pengubahsuaian rumah mereka atau ruang tertentu dalam kediaman, saya cadangkan untuk mencuba ajami.

Kerja tangan kayu ini apabila diletakkan pada hiasan siling atau kemasan dinding boleh menjadi satu sudut mempunyai nilai estetika tinggi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Disember 2017 @ 10:35 AM