REKA letak hiasan ringkas.
INSPIRASI idea di ruang makan dan dapur.
NUR Adlina bersama Syahrul di kediaman mereka.
Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Jika Mohamad Syahrul Ariff Shah, 33, mampunyai persepsi dekorasi tersendiri tidak terkecuali isterinya Nur Adlina Mohd Nooramin Kaw, 32.

Malah Nur Adlina tidak menyangka perkongsian dekorasi kediaman mereka menarik perhatian peminat di laman sosial.

Menurut Adlina, dia sekadar suka-suka memuat naik foto ruang kediamannya itu apatah lagi suaminya seorang pereka dalaman.

“Selepas perkongsian itu, saya mendapat banyak komen positif daripada pengguna laman sosial malah selepas itu ramai yang menghubungi suami untuk bertanya lanjut berkenaan khidmat dekorasi kediaman mereka.

“Niat saya hanya mahu berkongsi dan memberi idea kepada pemilik kediaman kos rendah untuk menghias kediaman atau ‘meminimalis’ ruang supaya sedap mata memandang,”katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Desa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Adlina, pemilik kediaman jenis flat sememangnya mempunyai ruang terhad.

Penggunaan perabot yang minimalis antara dicadangkan supaya kediaman sentiasa kemas.

“Bagi mengelakkan ruang tamu kelihatan ‘kosong,’ saya sarankan supaya anda menggunakan perabot ‘L shape’ berbanding perabot yang mempunyai enam kerusi.

“Ini kerana perabot lengkap enam kerusi akan ‘memakan’ banyak ruang berbanding ‘L shape’ yang hanya diletakkan di sebahagian ruang tamu. Itu belum termasuk meja makan.

“Begitu juga pemilihan perhiasan dinding yang perlu dititik beratkan.

“Memadai satu dua saja memandangkan ruang yang agak terhad,” katanya.

Tidak hairanlah kediaman pasangan ini tampil kemas, bersih dan teratur. Begitu juga susun atur barangan hiasan dan perabot.

Pasangan yang belum dikurniakan cahaya mata ini sentiasa memastikan ruang kediaman mereka berada dalam keadaan baik dan sedap mata memandang.

“Kebetulan kami mempunyai Gangguan Obsesif Kompulsif (OCD) yang tidak boleh lihat kediaman berselerek atau bersepah.

“Sekurang-kurangnya selepas seharian penat bekerja, sedikit terubat apabila lihat kediaman kemas dan tersusun,” katanya.

Adlina berkata, dulu kediaman itu disewakan sebelum didiami sepenuhnya bersama suami. Ketika itu kediamannya berbeza berbanding sekarang.

“Kami mula mendiami sepenuhnya kediaman ini bermula tahun ini.

“Bermula saat itu juga kami ambil keputusan untuk ubah suai dengan konsep moden kontemporari,” katanya.

Lantas ia mengambil tempoh masa kira-kira 40 hari untuk disiapkan.

Kos yang diperuntukkan kira-kira RM35,000 termasuk cat, perabot dan peralatan rumah lain.

“Kami turut tukar tingkap asal rumah ini iaitu nako kepada tingkap berbingkai bagi menjimatkan lagi ruang dan nampak lebih luas,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 1:12 PM