ANTARA bonsai tercantik di dunia.
KEUNIKAN pokok bonsai.
Susunan Hidayatul Akmal Ahmad
hidayatulakmal@hmetro.com.my


Bonsai ialah seni menghidupkan pokok miniatur di dalam bekas pasu hiasan.

Seni ini memerlukan pengamalnya menanam spesies tertentu di dalam pasu bersaiz kecil, mengawal tumbesarannya dan mengubah bentuk semula jadi susunan dahan, ranting, daun selain banirnya iaitu akar yang tumbuh pada pangkal pokok mengikut gaya dikehendaki.

Teknik ini bukanlah pemandulan pokok atau penggunaan hormon kerana ia tidak membabitkan pengubahsuaian genetik pokok terbabit.

Ketinggian bonsai biasanya antara 120 hingga 140 sentimeter (sm) dan jika melebihi ukuran ini, ia tidak lagi dianggap bonsai tapi dikelaskan sebagai pokok hiasan.

Perkataan ‘bonsai’ adalah dalam sebutan Jepun yang berasal daripada perkataan Cina iaitu ‘penzai’ bermaksud pokok dalam bekas.

Bonsai adalah gabungan dua perkataan iaitu ‘bon’ yang bererti bekas kecil sementara ‘sai’ ialah pokok.

Walaupun ada pokok bonsai yang berusia lebih 700 tahun, usia itu bukanlah faktor utama bernilainya pokok berkenaan kerana paling penting adalah kecantikannya.

Bonsai yang terbaik mempunyai mirip pokok sebenar dalam bentuk mini. Meskipun seni bonsai sering dikaitkan dengan masyarakat Cina, kini semakin meluas peminatnya yang turut aktif menceburi seni berkenaan.

Malah ada juga yang pernah menerima pengiktirafan dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan.

Pokok bonsai mungkin kelihatan sama pada pandangan orang biasa namun tidak bagi golongan yang mahir dengan seni ini.

Setiap bonsai memiliki ciri berbeza dan gaya tersendiri yang membuatkannya unik.

Masyarakat Cina dan Jepun sangat gemar membuat klasifikasi bonsai walaupun terdapat pelbagai jenis gaya yang sudah dicipta sebelum nama khas diberikan.

Artis bonsai pada mulanya mereka bentuk pokok ini dan kemudian pemerhati mengumpulkannya dalam kategori yang boleh dikenal pasti bagi memudahkan rujukan dilakukan.

Gaya bonsai dirangka pada dasarnya untuk memudahkan peminat merujuk berdasarkan kepelbagaian rekaan berbanding menerangkannya secara terperinci.

Klasifikasi gaya bonsai berdasarkan bilangan batang atau pokok dalam komposisi bonsai.

Umumnya gaya asas bonsai terbahagi kepada tiga jenis iaitu gaya batang tunggal, gaya batang berganda dan gaya pokok berganda atau pokok berkumpulan.

Hasil seni bonsai yang menarik sangat bergantung kepada kesesuaian jenis pokok yang dipilih untuk dijadikan bonsai.

Sesetengah pokok sememangnya berasa dari Malaysia atau sekitar Asia Tenggara.

Selain itu ada juga sebilangannya adalah spesies pokok dari benua Amerika, Eropah dan Afrika.

Antara ciri-ciri penting yang perlu ada pada pokok untuk dijadikan bonsai ialah tahan lasak, mempunyai jangka hayat yang panjang, berdaun kecil dan mudah serasi dengan persekitaran.

Jenis bonsai:

- Tegak lurus (Chokkan)

- Tegak berkelok-kelok (Moyogi)

- Sapu terbalik (Hokidachi)

- Condong (Shakan)

- Tertiup angin (Fukiganashi)

- Melata (Kengai)

- Separa melata (Hankengai)

- Batang kembar (Sokan)

- Batang Banyak (Takan)

- Kelompok (Yos-ue)

- Akar atas batu

- Tumbuh dalam batu

- Menonjolkan akar (Neagari)

- Batang Bergelung (Bankan)

- Pohon sasterawan (Bunjinki)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Disember 2017 @ 1:06 PM