SENI seramik sering mengalami transisi mengikut keperluan semasa.
HM Digital

Perusahaan seni tembikar tradisional di Semenanjung dikatakan sudah bermula dulu lagi.

Melalui kudrat tangan dan ketelitian, terbentuk tembikar yang memaparkan keindahan warisan tradisi dan sebahagian besarnya disempurnakan oleh wanita.

Seni tembikar adalah hasil kraf tangan diperbuat daripada tanah liat yang diuli, diterap dengan pelbagai corak, diasapkan dan dibakar untuk menghasilkan satu reka bentuk berseni serta unik.

Tembikar yang lebih dikenali sebagai labu sayong berwarna hitam banyak terdapat di Sayong, Kuala Kangsar, Perak.

Dikatakan wujudnya labu hitam ini daripada buah labu tua yang dikeluarkan isinya dan dibersihkan sebelum dijadikan bekas untuk menyimpan air.

Labu sayong menekankan sifat semula jadi iaitu tanah liat dan teknik penggunaan tangan.


LABU sayong menekankan sifat semula jadi

Rekaan corak permukaannya dihiasi motif alam sekitar seperti bunga padi, pucuk rebung, bunga cengkih dan geometri.

Labu sayong tetap dikagumi dan diminati bukan kerana penggunaannya semata-mata, tapi disebabkan nilai estetikanya.

Proses membuat labu sayong dilakukan secara berperingkat.

Ia bermula dengan penyediaan tanah. Tanah itu kemudian ditumbuk menggunakan lesung kaki. Selepas itu diayak dan ditapis untuk memisahkan sampah-sarap dan ketulan batu yang ada.

Menariknya proses ini memerlukan ketelitian bagi memastikan tanah itu menjadi padat dan bebas daripada gelembung udara.

Tanah itu kemudian dibentuk menjadi silinder untuk memudahkan proses berikutnya.

Proses membentuk pula sangat penting dalam menghasilkan labu hitam kerana teknik ini yang menentukan keindahan dan kekuatan labu.

Ibu jari telunjuk turut berperanan penting dalam pembentukan permukaan labu yang masih separuh kering.

Tanah berbentuk silinder akan dilingkar menjadi satu bulatan dan diletakkan di atas pinggan.



ANTARA proses penghasilan yang memerlukan kepakaran dan ketelitian.

Lingkaran tanah dipicit sambil memusing pinggan. Proses pemicitan ini dilakukan untuk menaikkan tanah supaya terbentuk badan, leher, kepala dan muncung labu.

Sudip buluh digunakan untuk melurut permukaan labu supaya kelihatan sama dan licin. Penepek pula digunakan untuk memampatkan badan labu.

Selepas badan labu terbentuk, tanah liat yang sudah dileperkan dicantum bagi menutup bahagian yang terbuka. Tanah liat leper akan menjadi bahagian tapak labu.

Apabila labu siap, ia dilicinkan dengan sudip buluh dan digilap menggunakan batu luru. Labu dibiarkan kering sebelum dihiasi dengan motif.

Motif dihasilkan dengan menekankan kayu materai ke permukaan labu. Labu ini sekali lagi dibiarkan kering untuk dibakar.

Proses pembakaran terbahagi kepada tiga peringkat iaitu menyalai, membakar dan menyepuh. Labu yang cukup kering disalai menggunakan bahang api, sabut kelapa kering dan sedikit kayu kering yang dibakar.


PROSES membuat labu sayong dilakukan secara berperingkat-peringkat.

Labu diletakkan di atas para secara terbalik dan ditutup dengan daun pisang, daun kelapa atau tikar selepas disalai. Kayu api disusun pada bahagian bawah para lalu dinyalakan untuk proses pembakaran.

Bahang api ini akan memanaskan labu yang dimasukkan dalam unggun api.

Labu yang sudah dibakar dimasukkan dalam sekam padi untuk mendapatkan warna hitam pada permukaannya.

Kemudian bahagian bawah atau tapak labu disapu dengan damar untuk menghalang air daripada meresap keluar. Labu dibiarkan seketika dan dibersihkan sebelum digunakan.

Kini pembangunan teknologi membuatkan penghasilan seni seramik ini lebih cepat dan mengurangkan penggunaan tenaga manusia, selain terhasilnya reka bentuk moden dan kontemporari selari gaya hidup masyarakat terutama generasi muda.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 12:02 AM