LATAR taman bergaya Scandinavia.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Garapan idea dekorasi yang sempurna tidak semestinya sarat dengan perabot atau aksesori hiasan.

Segalanya terpulang kepada kreativiti anda sebagai pemilik kediaman dalam menzahirkan persekitaran menarik seperti diinginkan.

Ada yang selesa dengan idea penataan sendiri, malah ada sanggup memperuntukkan bajet tertentu bagi melantik pakar hiasan dalaman.

Kedua-dua situasi dalam matlamat yang sama, iaitu menterjemahkan sentuhan dekorasi selari cita rasa, gaya hidup dan keperluan penghuninya.

Menyedari pentingnya dekorasi sebagai ‘terapi’ ketenangan dan penghilang tekanan, IJM Land Berhad menerusi rumah contohnya Rimbun Harmoni tampil dengan suasana dekorasi serta landskap yang memberi kepuasan kepada anda.

Menurut Pengurus Kanan (Pemasaran dan Jualan) Christine Wong Wai Cheng, idea yang cuba diketengahkan itu nyata berbaloi dengan pelaburan pemiliknya.


SUSUN atur penataan yang mengujakan.

“Dalam kalangan kita sudah sedia maklum gaya dekorasi dan landskap yang memenuhi cita rasa lebih menarik perhatian.

“Ini kerana kesibukan dan tekanan bekerja seharian pasti hilang dalam sekelip mata sebaik sampai ke rumah.

“Ini ditambah dengan pemilihan gaya dekorasi yang lebih mesra pengguna,” katanya ketika ditemui di kediaman contoh itu di Seremban 2 Height, Negeri Sembilan.

Christine berkata, bagi memenuhi keperluan dan cita rasa berbeza masyarakat negara ini dua kediaman contoh itu diketengahkan dengan dua gaya dekorasi berbeza.


RUANG bawah tangga dilengkapi rak pelbagai guna.

Bagi Rimbun Harmoni jenis A (20 kaki x 70 kaki ) penataan Scandinavia lebih diberi keutamaan.

Konsep reka bentuk Scandinavia sinonim dengan gaya penataan bercirikan ringkas dan minimalis.

Reka bentuk ini dikatakan muncul sekitar 1950-an dan meluas di lima negara Nordik iaitu Finland, Norway, Sweden, Iceland dan Denmark.

Sarat dengan fungsi, reka bentuk Scandinavia memberi kesan dalam sesebuah ruang tanpa sebarang elemen berat dan mengutamakan keperluan saja.

Penghasilan hiasan halus berkualiti bermula daripada pergerakan seni awal abad ke-20. Frasa reka bentuk Scandinavia berasal daripada rancangan reka bentuk di Amerika Syarikat dan Kanada sekitar 1954 dan 1957.


PADUAN warna lembut dan putih bersih.

“Malah penggunaan warna yang dilihat mampu menarik pasangan atau generasi muda. Putih, kelabu, kuning dan hitam menjadi warna utama pada segenap ruang. Apatah lagi putih yang menjadi warna dominan membuat visual ruang lebih luas dan selesa,” katanya.

Perabot dan aksesori hiasan praktikal menjadi keutamaan.

Sofa putih, sepasang kerusi santai dan permaidani sebagai penambah keselesaan membuatkan ruang tamu lebih eksklusif.

Dalam memperincikan kediaman contoh Rimbun Harmoni jenis B (22 kaki x 70 kaki) pula, nyata konsep moden dan kontemporari melengkapkan penataan ruang.


SUASANA privasi di ruang tamu Rimbun Harmoni jenis B.

Aura moden dan kontemporari yang sinonim dengan tata hias ringkas, tidak terlalu sarat dengan perhiasan dan mudah diubah suai reka letaknya kini di depan mata.

“Dekoratif panel dinding dalam warna hitam, bergabung dengan sofa kelabu dan pencahayaan privasi antara kekuatan ruang tamu kediaman contoh.

“Tidak hanya ruang tamu kerana suasana selesa dan praktikal dapat dinikmati dari segenap ruang dengan kelainan tersendiri,” kata Christine.


KABINET dapur eksklusif.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 11:36 AM