WARNA-warna lembut menjadi pendokong utama.
Faizal Zain

Salam deko buat semua. Sepanjang bulan ini saya akan bercerita berkenaan satu lagi konsep dekorasi yang namanya mungkin asing bagi masyarakat kita. Mungkin ada dalam kalangan kita yang sudah pun menzahirkannya pada ruang namun sedikit keliru dengan teknik hiasannya.

Konsep yang saya maksudkan adalah hiasan shabby chic. Apakah itu konsep shabby chic? Perkataan shabby chic dikatakan berasal dari sebuah jenama perabot yang terkenal di era 80-an yang mengetengahkan koleksi perabot ‘lusuh’ penuh gaya. Ada juga yang mempercayai ia dicetuskan seorang pereka hiasan terkenal di Amerika. Apa pun konsep shabby chic sebenar adalah idea penataan yang mengetengahkan ciri-ciri feminin dan kelembutan.


IDEA penataan yang sinonim dengan ciri-ciri feminin dan

Apabila mengangkat konsep feminin, sudah pastinya warna lembut seperti merah jambu dan ungu menjadi pendukung yang kuat. Ia nyata penataan ruang berbeza dari kebiasaan. Sementara warna perabot yang popular untuk kombinasi konsep shabby chic adalah putih atau coklat lembut dengan penyelesaian kasar bagi membangkitkan sedikit nuansa vintaj.

Konsep shabby chic ini juga boleh digabungkan dengan warna pastel yang lembut seperti merah jambu, biru muda dan putih krim. Dilengkapi juga dengan aksesori flora dan pemilihan prabot bernuansa vintaj atau klasik.


KONSEP shabby chic begitu dekat dengan jiwa wanita.

Jika diperhatikan, konsep ini kelihatan ‘anggun’ dan dekat dengan jiwa wanita hingga membuatkan mereka selesa dengan penataan ini.

Namun seiring peredaran zaman, pemilihan perabot rumah juga semakin berkembang dan menawarkan lebih banyak pilihan. Seperti yang sudah saya jelaskan bahawa konsep ini berasal dari sebuah jenama perabot ‘lusuh’ yang penuh gaya namun tidak bermakna ruang dalaman kediaman anda seperti ketinggalan zaman apabila menampil­kan konsep ini. Nantikan minggu hadapan, sambungan berkenaan konsep shabby chic!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 7:02 AM