DEKORASI sesuai penting untuk meraikan tetamu Syawal.
Faizal Zain

Salam deko. Suasana Aidilfitri masih terasa dan kini ramai dalam kalangan kita merancang mengadakan rumah terbuka. Selepas beraya bersama sanak saudara di kampung, inilah masanya untuk menjamu dan meraikan jiran, sanak saudara dan teman di kota.

Jadi, jika anda ingin mengadakan rumah terbuka Syawal, meja makan menjadi tempat paling penting selain menyajikan pelbagai menu hidangan. Pastikan penataan dilakukan dengan baik supaya tetamu yang datang selesa dan mencoretkan kenangan terindah.

Perkara pertama yang perlu anda lakukan adalah mengumpulkan semua barang yang diperlukan untuk menghias meja makan supaya ia kelihatan menarik. Bermula dengan alas meja, pinggan mangkuk, lilin hiasan, bunga meja, hiasan bunga meja atau hiasan lain serba ringkas yang tentunya menambahkan keindahan di ruang makan.

Berikut adalah perkara yang boleh anda lakukan bagi menghias meja makan untuk jamuan majlis rumah terbuka:

1. Gunakan peralatan yang ringkas dan menarik, namun tetap elegan untuk pinggan serta piring utama. Anda juga boleh memberikan sedikit kelainan dengan memilih pinggan rekaan bergelombang, berbentuk daun dan berwarna-warni. Anda juga boleh pilih satu jenis warna saja jika ingin menyesuaikannya dengan tema rumah sepanjang Syawal. Elakkan pinggan mangkuk kaca sumbing dan pinggan mangkuk plastik yang retak. Ini kerana ia memberikan imej buruk jika kita melayan tetamu dengan keadaan pinggan mangkuk yang kurang sempurna.

2. Peralatan makan alternatif seperti pinggan dan cawan kertas boleh juga digunakan jika anda ingin lebih ringkas serta cepat. Ini kerana anda hanya sekadar membuangnya saja selepas digunakan. Namun jika anda memilih pinggan dan cawan kertas, dapatkan dari jenis yang berkualiti dan menarik. Janganlah pilih daripada jenis yang nipis dan murah kerana kurang tahan serta mudah rosak boleh menyebabkan tetamu tidak selesa ketika menjamu hidangan.

3. Kemudian jangan lupa sediakan tisu di beberapa sudut. Jangan biarkan tetamu tercari-cari dan meminta tisu kerana jika perkara ini berlaku ia mencerminkan sikap tuan rumah kurang peka atau tidak membuat persediaan awal untuk majlis rumah terbuka.

4. Pastikan alas meja anda sentiasa berada di dalam keadaan bersih dan kemas. Jika alas meja berkedut selepas dibasuh pastikan anda menggosoknya terlebih dahulu sebelum diletakkan di atas meja. Bersihkan meja makan daripada segala tumpahan makanan supaya tetamu seterusnya selesa bertandang ke rumah anda. Paling selamat sediakan beberapa helai alas meja untuk berdepan situasi tidak dijangka. Tidak semestinya alas meja baru, memadai dengan yang sedia ada asalkan bersih. Antara alternatif lain adalah dengan letakkan alas plastik di atas alas meja anda bagi tujuan pembersihan yang lebih mudah.

5. Akhir sekali, lilin beraroma jangan dilupakan. Ini kerana rumah anda yang penuh dengan pelbagai juadah mungkin mengundang bau-baun yang kurang menyenangkan bagi sesetengah tetamu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Julai 2017 @ 10:49 AM