SEDIA kerusi tambahan, tempatkan pada sudut ruang makan sebagai persediaan terima tetamu serentak.
HIASAN ringkas di meja kopi ruang tamu sudah memadai kerana apabila menjelang Aidilfitri, ia pasti diserikan dengan kuih muih.
Hartini Mohd Nawi
hartini@hmetro.com.my


Dalam persiapan menyambut tetamu Aidilfitri, tentunya pelbagai aspek diambil kira supaya lebih memberikan keselesaan dan tanda penghargaan seikhlas mungkin.

Daripada kemasan di ruang tamu, meja kopi dihiasi kuih-muih hingga sajian menyelerakan di atas meja ruang makan semuanya buat tetamu sama ada sanak saudara, sahabat handai atau jiran tetangga.

Ruang tamu

Pada saat ini, sudah pasti langsir sudah siap digantung dengan rekaan tersendiri.

Pemasangan kertas dinding juga tidak terkecuali biarpun memerlukan anda mengeluarkan bajet tertentu, namun elemen hiasan ini boleh bertahan lama jika tahu penjagaannya.

Elakkan permukaan kertas dinding yang basah atau lembap. Lap debu atau kotoran menggunakan kain gentian mikro kering.

Anda juga boleh gunakan penyedut hampagas untuk membuang segala debu dan habuk.

Pada sofa pula, tempatkan bantal hiasan menarik atau basuh yang sedia ada supaya kelihatan lebih bersih dan segar.

Tempatkan permaidani dengan warna atau corak sesuai. Hantar ke kedai dobi jika permaidani sedia ada perlu dicuci. Lakukan gerak kerja membersihkan habuk pada permaidani sedia ada bersama keluarga kerana pada waktu begini semua berkumpul untuk menyambut Aidilfitri.

Tambahkan tikar atau hamparan permaidani lain jika ruang mencukupi sebagai persediaan menerima tetamu serentak.

Di meja kopi pula, letakkan balang berisi aneka kuih raya dalam dekorasi ringkas sesuai dengan saiz meja berkenaan. Tempatkan gubahan ringkas sebagai penyeri.

Gubahan bunga segar antara bonus yang menambahkan aura ruang.

Ruang makan

Menjadi satu kemestian meraikan tetamu dengan sajian pelbagai juadah yang menyelerakan.

Ada juga tetamu sekadar menjamah kuih raya di ruang tamu, tidak kurang yang tertarik dengan juadah di meja makan.

Langkah selamat, sediakan beberapa kerusi tambahan dan tempatkan pada sudut ruang makan itu sebagai persediaan menerima tetamu serentak.

Menghidangkan makanan dalam set pinggan mangkuk eksklusif antara penghargaan anda buat tetamu.

Namun, tidak salah menggunakan set pinggan biasa memadai ia bersih, tidak sumbing atau retak.

Malah penggunaan pinggan mangkuk plastik atau kertas juga antara penyelesaian untuk meraikan tetamu serentak dan menggurangkan kerja-kerja membasuh pinggan di dapur.

Tidak berseri meja makan tanpa kehadiran bunga sama ada segar atau hiasan dalam gubahan ringkas.

Bilik air

Pastikan bilik air sentiasa bersih dan lantai tidak licin bagi mengelakkan tetamu terjatuh.

Luangkan sedikit masa untuk membersihkan ruang ini. Buang semua botol mandian, syampu, berus atau ubat gigi yang tidak digunakan lagi.

Sental daki pada mangkuk tandas dan sinki. Gantung hiasan ringkas pada dinding.

Bilik tidur tetamu

Ilhamkan penataan ringkas tetapi menarik dan segar untuk bilik tidur tetamu.

Tidak semestinya cadar dan sarung bantal perlu dibeli baru. Memadai dengan kelengkapan tidur sedia ada asalkan bersih.

Elakkan memberi gambaran bilik itu seolah-olah ruang penyimpanan dengan menempatkan pelbagai jenis kotak atau barangan tidak digunakan.

Ruang selamat

Tidak kira ruang tamu, ruang makan atau bilik tidur sekali pun, pastikan dekorasinya menepati ciri-ciri keselamatan khususnya kanak-kanak.

Perabot yang dipilih pula tidak berbucu tajam selain menggunakan cat dan bahan bebas toksik.

Lantai licin pula lebih berisiko untuk mudah terjatuh dan pemilihan karpet sesuai perlu diambil kira.

Pastikan setiap soket mempunyai penutup bagi mengelakkan anak bermain dengan punca kuasa elektrik.

Almari berlaci tanpa pemegang sangat sesuai bagi mengelakkan jari si kecil mudah tersepit.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 5:43 AM