MONUMEN hebat Muzium Hagia Sophia.
Rashidah Ibrahim
rencana@hmetro.com.my


Sebuah dom ‘ibu’ diiringi beberapa ‘anak’ dom yang dibina bertingkat, diperlengkap dengan empat menara tinggi dan runcing seakan-akan pensel antara gambaran reka bentuk Muzium Hagia Sophia, Istanbul, Turki.

Sebelum dijadikan muzium, bangunan itu adalah masjid. Diamati dari luar, reka bentuknya nampak kompleks.

Muzium Hagia Sophia dulunya tempat ibadat dua agama berlainan, iaitu Islam dan Kristian pada zaman berbeza.

Berfungsi kira-kira 500 tahun sebagai tempat ibadat Islam, menjadi model kepada masjid lain di kota itu antaranya Masjid Sultan Ahmed (Masjid Biru), Masjid Suleymaniye dan Masjid Rustem Pasha.

Sepanjang meniti zaman, bangunan itu mengalami kerosakan demi kerosakan termasuk dibakar dalam rusuhan awam pada 404 berikutan pertikaian di antara Maharaja Arkadios (395-408) dengan Maharani Eudoksia.

Pada zaman Raja Constantine, bangunan itu dikenali Megale Ekklesia . Selepas abad kelima, dipanggil Hagia Sophia (Holy Wisdorm), pusat ibadat dan tempat Raja Byzantine dinobatkan.

Pembinaan kedua berlangsung ketika pemerintahan Raja Theodosios II (408-450) pada 415, menampilkan struktur ‘basilica’ mengandungi lima ‘naves’ dan pintu masuk monumental, berbumbung kayu.

Pada 13 Januari 532, ia diruntuhkan oleh rusuhan awam (Nika revolts) iaitu tahun kelima pemerintahan Raja Justinanos (527-565) kerana isu politik.

Kesan peninggalannya ditemui dua meter dalam tanah oleh ekskavasi diketuai A M Scheinder dari Institut Arkeologi Jerman Istanbul.

Pembinaan ketiga oleh arkitek Isidoros (Milet) dan Anthemius (Tralles) memenuhi arahan Raja Justinianos, bermula 23 Februari 532.

Bangunan baru menggabungkan reka bentuk ‘basilica’ dengan dom berpusat.

Ia dibina menggunakan batu marmar terbaik, dibawa dari serata ceruk empayar itu.

Difahamkan, tiang marmar diambil dari bandar purba, sekitar Anatolia, Syria dan dari kuil di Baalbeek, Heliopolis, Ephesus, Delphi serta Tarsa.

Kemasan dinding dalaman dibuat daripada blok marmar yang dicantum membentuk simetri.

Dinding utama, dom, bilik kebal dan gerbang pula daripada bata. Pembinaan itu siap dalam masa lima tahun membabitkan khidmat 100 tukang adiguru dan 10,000 buruh.

Nama Hagia Sophia (Sacred Wisdom) hanya diguna selepas abad kelima.

Melayari arus zaman, pemuliharaan dan pengubahsuaian terus dilakukan.

Banyak struktur musnah dalam gempa bumi, Pada 558 separuh daripada binaan dom runtuh, dibina semula Isidores.

Dom ditinggikan 6.25 meter dan bangunan itu dibuka semula pada 562 namun kembali rosak kerana kelemahan strukturnya.

Kebanggaan Kristian dengan kemegahan gereja itu berakhir dengan kejatuhan Constantinople ke tangan Empayar Uthmaniyyah apabila Mehmed II, menguasai tempat itu yang kemudian dinamakan Istanbul pada 1453.

Baginda mengetuai solat Jumaat di situ dan mengarahkan bangunan itu diubah suai menjadi masjid. Mimar Sinan diberi tanggungjawab memulihara bangunan itu.

Sinan mereka bentuk dan memasang menara lambang masjid di luar selain mihrab dan mimbar, di dalam.

Atas arahan Mehmed II, loceng, altar dan barang berunsur Kristian dibuang, lukisan asal pada dinding ditutup dengan tampalan berunsur Islam dan tempat wuduk dibina.

Hagia Sophia kekal sebagai masjid hingga 1935 apabila fungsinya ditukar muzium oleh Pengasas Turki Moden dan presiden pertama negara itu Mustafa Kamal Ataturk, pemerintah Republik Turki (1923-1938).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 4:27 AM