CORAK bantal hiasan yang berbeza-beza juga mampu menyerlah keceriaan ruang.
CIPTA kelainan dengan kreativiti.
Faizal Zain

Salam deko buat semua. Alhamdulillah nampaknya kita sudah pun berada di penghujung Ramadan. Di minggu terakhir ini pastinya ramai yang sudah menyediakan keperluan menyambut Aidilfitri, namun ada juga dalam kalangan kita masih sibuk dengan persiapan terakhir untuk meraikan tetamu.

Pada minggu lalu saya sudahpun kongsikan beberapa panduan dalam menata hias kediaman menjelang Aidilfitri seperti tip penyusunan semula perabot, mengecat semula perabot lama, teknik pencahayaan dan pemilihan langsir.

Jadi pada minggu ini saya akan kongsikan beberapa lagi tip yang bermanfaat buat anda dalam menata hias kediaman dengan kadar kos sederhana dan dalam erti kata lain menghias sambil berjimat. Bagi menaikkan seri pada ruang tamu atau ruang makan, cara paling mudah adalah dengan meletakkan bunga, sama ada bunga tiruan atau bunga segar. Terdapat banyak pilihan dan bunga tiruan boleh bertahan lama dan ditukar gubahannya. Bunga segar pula boleh dibeli sehari sebelum Aidilfitri untuk menceriakan suasana di pagi raya.

Bunga segar dilihat lebih menyerlah kerana selain menyegarkan, harumannya dapat memberikan suasana yang lebih segar. Namun, bunga tiruan pula dapat bertahan lebih lama. Jika anda sudah memiliki bunga-bungaan apa kata rendam dan basuh terlebih dulu kemudian cuba gubah semula dengan gaya baru supaya memberilan kelainan jika anda memilih untuk tidak membeli bunga-bungaan baru.

Salah satu cara yang boleh dicuba dan menjimatkan kos dalam mengubah suasana adalah dengan sentuhan kitar semula. Contohnya seperti botol-botol lama dijadikan sebagai hiasan di atas para atau di dalam kabinet hiasan.

Antara kita kadang kala menyimpan banyak koleksi pinggan mangkuk lama. Jadi apa kata ambil beberapa darinya untuk dijadikan hiasan dengan sedikit kreativiti. Cuba jadikan pinggan mangkuk itu sebagai hiasan dengan membuat lukisan atau corak ke atasnya menggunakan pewarna seramik yang boleh anda beli dari kedai kelengkapan seni atau kedai alat tulis. Hiasi elemen itu dengan corak bunga atau gambar pemandangan supaya ia tampil berbeza.

Kemudian cuba buka almari anda, pasti ramai di antara kita mempunyai banyak cadar lama yang sudah tidak digunakan lagi. Ambil cadar lama itu untuk dijahit dan dijadikan bantal-bantal kecil yang boleh anda letakkan di atas sofa atau ruang santai.

Jahit dan rekalah dengan pelbagai saiz dan bentuk bagi menyerlahkan suasana dan kreativiti anda. Nah! lihat semuanya boleh dilakukan dengan kadar bajet minimum jika anda menggunakan peluang yang ada dan dapat memperuntukkan sedikit masa bagi mengubah kediaman anda.

Harapan saya semoga perkongsian tip berjimat dalam hiasan raya pada dua minggu berturut-turut ini dapat memberikan anda sedikit idea dalam sentuhan dekorasi tan mengeluarkan bajet yang tinggi untuk kediaman kelihatan menarik di pagi Syawal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 Jun 2017 @ 8:22 AM